Tuesday, April 14, 2009

Anda Mampu Mengubahnya...

Politik "huru-hara" di Thailand mungkin tidak mendatangkan kesan secara langsung dalam kehidupan kita sebagai rakyat biasa. Namun kita harus mengambil iktibar kerana sentimen politik semasa di negara kita tak kurang juga “hangatnya”.
Berakhirnya pilihanraya kecil baru-baru ini tidak banyak membantu mengurangkan perdebatan politik semasa, seolah-olah pilihanraya sudah terlalu hampir maka politik kepartian mesti terus diperjuangkan sentiasa dan setiap masa.

Kita rakyat jelata tak perlulah terlibat sama menghangatkan suasana. Mungkin setiap ahli parti ataupun penyokong yang bertanggungjawab dan cintakan negara boleh menghantar memorandum kepada pemimpin masing-masing supaya menghentikan semua sandiwara yang berlaku, beringat serta fokus kepada agenda semasa yang lebih penting. Dalam memorandum tersebut bolehlah dengan jelas mengugut pemimpin sendiri yang kita akan keluar parti dan tak mahu pangkah lagi dalam pilihanraya akan datang jika kepimpinan masih sibuk dengan perebutan kuasa dan mengabaikan tanggungjawab sebenar sebagai wakil rakyat. Atau mungkin juga perlu dibuat laporan polis jika memorandum yang dihantar “tak jalan”. Usaha-usaha sebegini seharusnya mendapat kerjasama dari pihak media supaya ianya lebih efektif.

Pelikkan bunyinya? Susah nak diterima akal. Mungkin kita boleh fikirkan cara yang lebih sesuai. Lihat sajalah “trend” semasa; yang menghantar memorandum atau buat laporan semuanya dari parti lawan/berbeza. Kesimpulannya tetap sama, tiada perubahan. Langsung tak efektif dan hangat-hangat tahi ayam. Cukup seminggu, senyap…

Apalah nilai modal politik yang ingin didebatkan menjelang pilihanraya yang hanya akan berlangsung tiga hingga empat tahun lagi bilamana ketika itu negara kita tersungkur akibat tekanan ekonomi yang merudum, pekerja hilang pekerjaan manakala prospek untuk mereka yang baru memasuki alam perkerjaan sudah tiada? Pastinya sudah terlambat untuk sesiapa sahaja menunjukkan karisma serta jalan penyelesaian lebih-lebih lagi apabila sekadar untuk memenangi hati rakyat ketika pilihanraya.

Maka inilah masanya kita bersatu mencari penyelesaian kegawatan ekonomi yang melanda. Kalau tak tahu apa nak disumbangkan, diam-dia saja. Jangan nak membuat onar satu negara. Ataupun jika pemimpin tak mahu berubah, kita sendiri yang merubah cara sokongan kita!