Thursday, May 28, 2009

Kehidupan Adalah Ujian



Ujian berlaku setiap masa dan tidak mengenal siapa diri kita. Selagi diberi peluang untuk hidup di muka bumi ini, ujian pasti akan hadir mewarnai kehidupan setiap hamba-Nya.

Kita mungkin bangkit awal dari tidur setiap pagi; bersiap dan bergegas keluar rumah untuk mencari rezeki.
Di pertengahan perjalanan, berlaku kesesakan yang tidak dijangka yang akhirnya menyebabkan kita terlewat sampai ke tempat kerja. Lantas kita menyalahkan keadaan dan mula hilang tumpuan.

Sering juga berlaku keadaan dimana ketika kita fokus menyiapkan kerja, ada pula rakan yang sibuk berbual dan bergelak ketawa seolah-olah tiada kerja yang hendak dibuat apalagi menghormati orang lain yang sedang bekerja. Sedikit sebanyak pasti kita merungut dan berasa sakit hati.

Tulisan diatas hanyalah beberapa contoh ujian yang sering kita hadapi dan rungutkan saban hari. Tiada sesiapapun terlepas dari ujian sebegini. Allah menjanjikan ganjaran besar bagi hamba-Nya yang bersabar dan bertawakal.

Firman Allah dalam surah Az-Zumar ayat 10 yang bermaksud " Sesungguhnya orang-orang yang bersabar sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira ".

Rasulullah SAW juga ada bersabda yang bermaksud:”Sesungguhnya orang mukmin akan menerima tekanan hidup kerana tidak ada satu bencana sama ada kerana terkena duri atau yang lebih besar, tidak juga ketakutan, melainkan Allah akan mengangkat darjatnya satu darjat dan menghapuskan satu kesalahan dengan kesabarannya menghadapi bencana dan kesusahan tersebut.” - Riwayat al-Hakim

Jadi apa masalahnya dengan ujian ini?

Ketahuilah, kesenangan dan segala kemudahan itu juga adalah satu ujian..

Monday, May 25, 2009

Terima Kasih!!



Hari ini genap 6 tahun perkahwinan saya dan isteri. 11 bulan sebelum detik bersejarah itu, kami bertemu buat kali pertama melalui pertemuan yang diaturkan seorang rakan sekerja saya dan isterinya (kini biras dan kakak ipar saya!). Saya tak pernah mengetahui dan mengenali isteri saya mahupun keluarganya sebelum pertemuan itu.

Nak dijadikan cerita, selepas beberapa kali dipujuk, akhirnya saya bersetuju untuk ditemukan dengan calon yang dikatakan sesuai untuk saya dengan tujuan mengenali satu sama lain. Katanya kalau serasi boleh pergi lebih jauh lagi, kalau tidak, kira kawan saja lah!

Saya telah dijemput untuk datang ke rumah, berkenalan dengannya dan ahli keluarganya. Tuhan saja yang tahu perasaan saya ketika itu; bertemu buat kali pertama bukan setakat dengan tuan punya badan, malah perlu berhadapan keluarganya sekali! Silap hari bulan, boleh jadi juga pertemuan terakhir antara kami semua! Hehe..

Syukur Alhamdulillah, saya berjaya melepasi ujian awal dengan jayanya walaupun saya tak tahu setakat mana pandangan dirinya dan ahli keluarganya terhadap saya selepas pertemuan pertama itu. Sekurang-kurangnya saya tak buat perkara yang pelik dan bukan-bukan selepas melihat wajahnya buat pertama kali begitu juga keramahan diri dan ahli keluarganya. Semuanya dalam kawalan dan bukan lakonan. Yang paling utama adalah diri saya. Walaupun tak dapat tidur pada malam itu, saya sangat gembira dapat berkenalan dengan mereka semua!!

Sejak dari itu, kami mula mengorak langkah mengenali hati budi masing-masing. Kami jarang berjumpa memandangkan isteri saya ketika itu bekerja di Mersing manakala saya di JB. Kami banyak beinteraksi melalui telefon dan SMS. Dalam tempoh 4 bulan perkenalan, kami memutuskan untuk mengikat tali pertunangan. Kami sepakat; kalau setakat nak berkawan, tak perlu berhubung setiap hari, jika tidak, itu namanya suka sama suka, maka batasan kena pelihara, hati keluarga kena jaga. Kalau betul serius, teruskan saja, jangan buang masa!

Tempoh bertunang tidak ditetapkan, namun kami menjangkakan sekurang-kurangnya setahun berdasarkan situasi semasa ketika itu.
Kami terus “berkenalan”. Sehingga satu peringkat, kami merasakan tiada apa lagi yang perlu dihuraikan, selebihnya perlu dilalui dan diterjemahkan melalui alam perkahwinan.
Lebih lama bertunang lebih banyak ruang untuk melakukan kesilapan selain boleh mendatangkan “fitnah”. Batas pergaulan wajib dijaga.
Kami sering mengingatkan diri masing-masing betapa pergaulan sebelum bernikah ini sesungguhnya akan memberi kesan kepada zuriat kami begitu juga dengan keharmonian hidup bekeluarga kelak. Jika dijaga dengan baik, InsyaAllah, baiklah semuanya. Begitu juga sebaliknya. Akhirnya kami membuat keputusan untuk bernikah lebih awal dari yang dijangkakan iaitu selepas hanya 7 bulan bertunang.

Semuanya menjadi kenangan manis buat kami berdua. Selepas 6 tahun bersama, kami dikurniakan dua orang Puteri yang menjadi penyeri hidup kami. Terima kasih buat Isteri dan anak-anak untuk 6 tahun yang cukup bermakna ini. Tak lupa juga buat Kakak Ipar dan Suami. Terima kasih banyak-banyak!!

Monday, May 18, 2009

Bersyukurlah...



Beruntungnya aku
Hidup dalam kesenangan dunia
Jika dibandingkan dengan jutaan hambaNya
Yang papa, kedana
Yang tidak memiliki apa dan sesiapa
Kecuali Mu ya-Tuhan

Beruntungnya aku
Dikalangan hambaNya yang beruntung
Aku punya kehidupan yang indah
Keluarga yang bahagia
Rezeki yang melimpah ruah
Ditemukan jodoh yang setara
Dikurnia zuriat yang sempurna akalnya
Ketika ramai yang berduka dan merana

Beruntungnya aku
Diperkenalkan Tuhan dengan berbagai ragam dunia
Dikala ramai hambaNya hanya melihat puncak tinggi melangit
Melupai tanah yang dipijak dan dihinjak
Menghindari segala kotor dan onar dunia

Beruntungnya aku
Hidup dicelah kegelisahan dan kepuraan
Kebencian dan penindasan
Yang memberi kesan
Dalam mengejar impian hakiki

Beruntungnya aku
Mengenal itu dan ini
Baik dan buruk
Pahala dan dosa
Syurga dan neraka dunia
Disaat ramai hambaNya yang lalai
Dan terkapai

Beruntungnya aku
Diberi ruang dan peluang
Dan peluang-peluang yang tak pernah putus
Dari-Mu Tuhan
Yang tak disedari hamba-hambaMu
Yang dilupai dan disia-siakan,
Diabaikan

Beruntungnya aku
Jika Menjadi hambaMu
Yang bersyukur
Dan tau malu

Beruntungnya aku..

al-Hatt
6 Nov 2008.

Friday, May 15, 2009

Selamat Hari Guru!!

Belum terlewat untuk Galeri Nurani mengucapkan selamat Hari Ibu kepada semua ibu-ibu terutamanya buat ibu saya yang dikagumi. Esok 16 Mei, Hari Guru. Saya tidak menyimpan banyak kenangan berkenaan sambutan Hari Guru ketika zaman persekolahan dulu.

Isteri saya seorang guru. Melihat kepada beban kerjanya, komitmen serta kesungguhannya tak kira masa dan keadaan, pengorbanan serta susah payah memikirkan perihal murid, membuatkan saya teringat kepada guru-guru saya ketika sekolah dahulu.

Hidup dikatakan hidup bilamana kita melalui kehidupan itu. Sewaktu kecil, kita susah nak dengar nasihat ibu bapa. Bila dah berumah tangga, barulah kita merasai perit jerih bergelar ibu dan bapa, semestinya baru kita memahami hati dan perasaan ibu bapa kita dulu. Begitu juga halnya kepada guru-guru. Kebetulan isteri saya seorang guru, secara tidak langsung saya juga merasai liku hidupnya bergelar guru dan baru saya mengerti dengan sebenarnya hati dan perasaan guru-guru saya dulu.

Ucapan jutaan terima kasih dan doa semoga segala usaha dan pengorbanan anda diberkati, menikmati kehidupan yang harmoni dan sentiasa dilimpahi rahmat. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas segala jasa yang baik.

Selamat Hari Guru...

al-Hatt

Wednesday, May 13, 2009

Apa Khabar Gaza?



Gaza kian lenyap dari paparan dada-dada akhbar harian mahupun berita perdana.
Namun ianya sama sekali bukan bermakna pengganas telah menghentikan keganasannya.
Proses Israelisasi terus dirancang dan terus berlaku.
Tak siapapun mampu mengagak apa yang akan berlaku seterusnya dan bila pula kesudahannya..