Monday, August 31, 2009

Merdeka!!


52 Tahun Merdeka
Banyak yang telah kita kecapi
Banyak lagi yang masih belum tercapai..
Selamat menyambut hari kemerdekaan ke-52.
Semoga Allah memberkati bumi bertuah ini selamanya..

Thursday, August 27, 2009

Ramadan di Gaza


Ramadan ini indah
Puas menahan lapar dan dahaga
Dihidangkan dengan seribu satu kenikmatan ketika berbuka
Mampu pula bertarawih bersama
Beramal
Di rumah Allah yang indah lagi permai
Bebas dan bermaruah

Di Gaza
Mereka bergelut untuk hidup
Rumah musnah dibom pengganas
Masjid rosak teruk
Hospital kekurangan ubat dan katil
Sekolah turut menjadi mangsa
Jalan, jambatan dan segala kemudahan
Terus terbiar dan dibiarkan dunia

Ramai kanak-kanak bersendirian
Menyambut Ramadan tanpa ibu dan bapa disisi
Ada juga yang sebatang kara
Menangis sayu
Merenung masa depan
Dikelilingi tembok pemisah
Dipenjara tanpa belas kasihan
Dan dihina keji

Yang sakit terus menderita
Yang hidup terus merana
Benafas dalam sekatan dan kezaliman
Tiada lagi tempat yang selamat
Semuanya terdedah bom pengganas
Menunggu masa untuk diletup dan ditinggalkan
Ketakutan

Jika oksigen perlu dibeli
Pasti mereka semua sudah mati
Bantuan sengaja dihalang
Bekalan makin berkurang
Ekonomi terus merudum
Harga barang tinggi melambung

Gaza
Mereka memang benar-benar kuat
Berhadapan ujian yang berpanjangan
Sementara dunia hanya mampu bertegang urat
Sambil terus melihat Gaza dihapuskan
Sedikit demi sedikit
Dari buminya sendiri.

Rungutlah atas segala kesulitan yang kau hadapi
Juga kesusahan yang kau lalui
Yang pasti,
Ramadan di Gaza tak seindah disini..

al-Hatt
27/8/09

Sunday, August 23, 2009

Adab Berbuka Puasa


Saya ingin berkongsi artikel berkenaan adab ketika berbuka yang ditulis Dr. Asri di blognya disini. Berikut merupakan antara petikan dari artikel tersebut.

Adab Berbuka Puasa-Menurut Sunah Rasulullah S.A.W.
1. Menyegerakan berbuka apabila masuknya waktu atau disebut ta'jil al-Iftar. Ini berdasarkan hadis-hadis yang menyebut perkara ini, antaranya: daripada Sahl bin Sa'ad bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda:
"Manusia sentiasa dalam kebaikan selagi mereka menyegerakan berbuka puasa." (Riwayat Bukhari & Muslim).
2. Berbuka puasa dengan rutab (kurma yang telah masak), atau tamar (kurma yang sudah kering), atau air. Di dalam hadis daripada Anas katanya:
"Bahawa Rasulullah s.a.w. berbuka puasa dengan beberapa biji rutab sebelum bersolat. Sekiranya tiada rutab, maka dengan beberapa biji tamar, dan sekiranya tiada tamar, maka Baginda minum beberapa teguk air." (Riwayat Imam Ahmad & Tirmizi).

3. Menyegerakan solat Maghrib selepas berbuka dengan tamar atau air, sekiranya makanan belum dihidangkan. Adapun sekiranya makanan telah dihidangkan di depan mata, maka dimakruhkan meninggalkan makanan untuk menunaikan solat. Ini berdasarkan dengan apa yang dinyatakan dalam hadis-hadis baginda Nabi s.a.w. antaranya: Daripada Anas bin Malik r.a.: bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Apabila telah dihidangkan makan malam, maka mulakanlah ia sebelum kamu menunaikan solat maghrib, dan jangan kamu tergopoh-gapah ketika makan malam kamu." (Riwayat Bukhari & Muslim).

4. Makan dengan kadar yang tidak berlebihan ketika berbuka. Ini bertepatan dengan firman Allah S.W.T. maksudnya:
Dan makan dan minumlah kamu dan jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Dia tidak suka orang yang berlebih-lebihan. (Surah al-'Araf:31).

Di dalam hadis Baginda s.a.w. menyebut:
"Anak Adam itu tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak Adam itu beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya (memberi kekuatan kepadanya). Sekiranya tidak dapat, maka satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan." (Riwayat Tirmizi).

5. Berdoa ketika berbuka. Ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w.:
"Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu, doa yang tidak ditolak ketika dia berbuka." (Riwayat Ibn Majah).

6. Berdoa kepada sesiapa yang menjamu kita berbuka, kata Anas r.a:
"Baginda s.a.w. pernah datang kepada (rumah) Saad bin Ubadah. Dia menghidangkan roti dan minyak. Baginda pun makan dan bersabda: "Telah berbuka puasa di sisi kamu mereka yang berpuasa, telah makan makanan kamu mereka yang baik dan telah berselawat ke atas kamu para malaikat." (Riwayat Abu Daud).
Maka berdoalah kepada mereka yang menjamu kita berbuka puasa. Ini adab yang sangat baik.

Demikian senarai adab-adab yang terkandung di dalam sunah Nabi s.a.w. Semoga pengalaman adab-adab ini menambahkan lagi pahala puasa kita.




Friday, August 21, 2009

Salam Ramadan!

InsyaAllah, jika dipanjangkan umur, esok kita akan mula berpuasa sebulan Ramadan. Tiada kata yang selayaknya diucapkan melainkan melahirkan kesyukuran dan mengakui keagungan Tuhan yang Maha Pemurah lagi Bijaksana yang mengurniakan hamba-Nya bulan yang amat-amat menakjubkan dan mengujakan ini.
Uniknya Ramadan, kita akan lihat dengan jelas betapa ianya mampu menukar cara dan gaya hidup umat Islam seharian. Masjid & surau pasti dipenuhi terutamanya sepanjang malam Ramadan yang kebiasaannya "lengang dan aman damai". Bagi yang "berat" berpuasa sunat (sebulan sekali pun payah!), tiba-tiba mendapat kekuatan untuk mengharunginya selama sebulan. Tambah pelik, yang merokok pun boleh menahan ketagihan sepanjang waktu berpuasa. Tak kurang juga ada yang berjaya berhenti merokok. Bagi yang berazam untuk berhenti merokok bersempena Ramadan yang mulia ni, saya mendoakan moga hasrat mulia anda dikabulkan. Amin.
Pendek kata, bulan Ramadanlah bulan dimana kita dapat lihat umat Islam berjaya melaksanakan tuntutan agama sehabis sempurna; berpuasa disiang hari, memperbanyakkan amalan sunat; aktif membaca al-Quran, bersedekah, berjemaah di Masjid, termotivasi untuk membuat kebaikan dan mencegah kemungkaran dan bermacam-macam lagi. Hebatnya Ramadan. Jumpa lagi..

Sunday, August 9, 2009

Bahaya matlamat menghalalkan cara

Saya sekali lagi dengan bangganya ingin berkongsi artikel tulisan Dr. Redhuan Tee di Utusan Malaysia di sini. Apa yang boleh saya katakan, tulisan ikhlas beliau hanyalah untuk menyatakan kebenaran dan menegakkan keadilan khasnya buat agama Islam dan kaum melayu secara amnya. Artikel beliau kali ini pasti akan terus dikritik malah diputarbelitkan bagi menimbulkan kebencian. Namun, kritikan dan cacian itu akhirnya pasti akan membuka ruang kepada jalan kebenaran yang beliau perjuangkan.

Monday, August 3, 2009

Bila Kacang Lupakan Kulit

Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih dan tahniah buat Dr. Mohd. Redhuan Tee atas keikhlasan dan inisiatif beliau dalam usaha menyedarkan bangsa Malaysia.
Komen saya; janganlah dihiraukan sangat dengan segala bentuk kritikan, cacian serta tohmahan sementara semuanya itu sebenarnya akan meningkatkan lagi populariti Dr. (walaupun bukan itu yang dipinta; hanya keredhaan Allah yang dicari) dan sekaligus menjadi kayu ukur bahawa “suara” Dr. sebenarnya semakin didengari serta diikuti semua lapisan bangsa.

InsyaAllah, hasrat murni Dr. akan termakbul. Selamat maju jaya Dr.!!