Thursday, November 26, 2009

Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Adha 1430H


Selamat menyambut Hari Raya Aidil Adha 1430H buat tetamu Galeri Nurani dan juga kepada saudara-saudara kita yang menjadi tetamu Allah S.W.T di tanah suci kali ini.

Peluang menyambut & meraikan hari yang mulia ini (juga dikenali sebagai Hari Raya Haji & Hari Raya Korban) haruslah digunakan sebaiknya dengan memperbanyakkan doa, bertakbir, solat serta menyembelih korban. Diharapkan ianya menjadi tanda bukti keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah S.W.T, disamping memperingati pengorbanan Nabi Ibrahim A.S dan Nabi Ismail A.S..




Tuesday, November 17, 2009

HUJAN


Semalam aku ke KL
Banyak yang aku lalui
Sepanjang perjalanan, pergi dan balik, hujan mencurah
Sesekali terasa bahayanya; jalan licin, penglihatan terbatas yang menggangu pemanduan
Konsentrasi jadi panduan, tawakal jadi pegangan

Hati terdetik, pasti akan ada kawasan yang ditenggelami air jika hujan berterusan begini
Pasti juga banyak kemalangan jalanraya yang akan berlaku jika pemandu tidak berhati-hati
Mungkin juga tekanan keatas jalanraya itu sendiri menghasilkan lubang-lubang kecil yang akan membesar seperti yang kelihatan di mana-mana
Kawasan-kawasan tadahan menjadi penuh dan melimpah ruah
Bukan parit dan longkang malah sungai-sungai besar juga sudah hilang parasnya
Hasil basuhan juga tidak kering nampaknya
Yang suka berkeliaran pasti hanya memerap dirumah
Menunggu hujan berhenti dan mengharapkan masa tak berubah

Diperjalanan,
Ramai yang berhenti berteduh sementara menunggu hujan reda
Ramai juga yang terperangkap dalam kesesakan jalanraya
Yang menunggu bas serta teksi mula tak keruan.
Melihat hari yang semakin kelam sementara matahari langsung tidak kelihatan.
Yang ada hanya air dan hujan.
Berterusan membasahi bumi yang kekeringan.

Setelah hujan berhenti lewat petang itu
Lalu-lalang mula dipenuhi manusia
Trafik mula lancar
Masing-masing tak sabar untuk tiba ke destinasi
Dan menghabiskan sisa-sisa hari

Dan hanya itu yang mampu kufikirkan
Tentang hujan yang diturunkan Tuhan
Aku lihat kesusahan
Aku nampak keresahan..itu sahaja..
Sebenarnya aku lupa akan nikmatnya,
Hujan..

al-Hatt
17 Nov 09

Thursday, November 12, 2009

"0"


Pada satu ketika
Ketika mendung berarak
Wajah serupa melintasi fikiranku
Seperti mencari sesuatu
Ke sana dan ke mari
Pergi dan pulang kembali

Di alam nyata
Mendung semakin menebal
Tanda-tandanya mula menggertak benakku
Sesekali pancarannya menerangi alam
Dan kulihat
Wajah itu mula yakin dengan langkahannya
Menuju ke arah yang di tuju
Riak-riak sendu kelihatan
Akhirnya bertemu
Cahaya di hadapan yang disangka hampir
Kejar dan terus mengejar
Makin kejauhan
Ditinggalkan

Wajah itu semakin lesu
Dia tahu arah yang dituju
Dia yakin dengan kewujudan Tuhan yang satu
Dia tahu
Tapi tak mampu mengejarnya
Dan terus bertanya
Mengapa dan mengapa
Namun jawapannya serupa..

Kosong.

Al-Hatt
25 Jan -08

Tuesday, November 10, 2009

Banjir..


Lama rasanya tak menulis blog. Macam-macam ada kat kepala ni, tapi bila tiba masa nak menulis, nak mulakan ayat pun payah!

Musim banjir telah tiba di sebelah utara dan pantai timur semenanjung. Melihat di kaca TV, saya yang tak pernah mengalami banjir besar (paras buku lali pernah la..) tak dapat membayangkan bagaimana keadaan sebenar mangsa banjir; bagaimana hidup di pusat pemindahan, mana nak uruskan anak-anak, keadaan ibu yang sarat mengandung, tak kurang juga yang baru lepas bersalin, orang tua, yang sedang sakit.. Itu belum lagi masuk bab kemusnahan harta benda, kehilangan nyawa dan lain-lain lagi. Kita yang terselamat dari menjadi mangsa banjir mungkin tak terfikir akan kesusahan yang mereka alami seperti yang saya sebutkan tadi. Hanya mereka yang melaluinya akan merasa kaperitan dan kepayahan ujian tersebut.

Bagi yang termampu bolehlah menghulurkan bantuan, tak kiralah dalam bentuk apa pun. Paling tidak, doakan mereka (mesti buat!).
Allah berfirman di dalam Al-Quran; "Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan yang sabar dan dengan mengerjakan solat; dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk." ( al-Baqarah: 45)Tentu ada hikmah yang besar bukan sahaja bagi mangsa banjir malah untuk mereka yang tak terlibat. Seharusnya kita menginsafi dan bermuhasabah bahawa ujian yang menimpa orang lain adalah juga peringatan buat diri kita sendiri..