Saturday, April 24, 2010

Suka & Duka

“Aku sering mengeluh bila diuji
Memang selalunya begitu, aku tak tipu
Ujian yang kecil sibuk diperbesarkan
Kemanisan yang diterima dibiar-biarkan
Itulah hakikat diri ini..”

Lama tak bersua. Seperti biasa, kesibukan bekerja seharian menjadi alasan utama.
Cuma kali ni sedikit berbeza bilamana saya dan keluarga amat-amat berbesar hati dan bersyukur menerima kehadiran orang baru dalam keluarga kami.
Lain dan tak bukan, anak bongsu yang juga putera sulung buat saya dan isteri.

Memandangkan lama tak “berbaby” (selepas hampir 4 tahun), kelahiran Muhammad Hadif (nama diberi) memanglah amat dinantikan. Bak kata isteri, sejak hari pertama disahkan mengandung dah rasa tak sabar-sabar lagi! Syukur Alhamdulillah, semuanya selamat.

Dalam pada kami bergembira, selang beberapa hari kemudiannya, kami menerima pula berita sedih akan kematian bayi dalam kandungan saudara sepupu sebelah isteri saya.
Terkedu seketika. Saya tak mampu berkata apa-apa selain menyedari bahawa diri ini amat kerdil.

Diberitakan, bayi sulung pasangan yang telah lama menanti kehadiran cahayamata itu telah mati akibat “kelemasan”. Timbul cerita mengatakan kejadian berlaku akibat kecuaian pihak hospital yang gagal mengesan masalah dari awal selain juga telah membuat keputusan yang salah. Wallahua’lam.

Hanya simpati dan salam takziah yang dapat saya hulurkan. Doa buat pasangan yang diuji Tuhan; Anak itu pasti ke Syurga Ilahi. Dengan izin Allah, kesedihan yang dialami ketika ini akan memberi kegembiraan diakhirat nanti. Bersabarlah.

Sunday, April 4, 2010

H1N1 kembali..

Maksud Firman Allah s.w.t :
"Setiap yang bernyawa akan merasai mati dan sesungguhnya pahala kamu akan dibalas pada hari Kiamat."
( Surah Ali Imran ayat 185 )

Hanya simpati yang mampu kita lafazkan apabila membaca berita sedih seperti dibawah ini. Bayangkan bagaimana agaknya untuk berhadapan dengan ujian sebegini jika melanda diri sendiri?
Semoga Allah SWT memberi kekuatan dan melindungi Saudara Murtaza sekeluarga.

Hilang isteri, mertua akibat H1N1 (klik)

Oleh Norizan Abdul Muhid
pengarang@utusan.com.my
--------------------------------------------------------------------------------
JASIN 3 April - Murtaza Samat, 29, terpaksa menerima hakikat kehilangan isteri dan ibu mertuanya dalam tempoh selang beberapa hari sahaja akibat serangan selesema babi atau virus influenza A (H1N1).
Rabu lalu, kakitangan swasta itu kehilangan ibu mertuanya, Maimunah Dimah, 54, disusuli isterinya, Sumarni Mat Nor, 30, semalam.
Murtaza berkata, isterinya sepatutnya melahirkan anak pada 14 April ini namun selepas mengadu sakit badan, demam dan batuk yang agak teruk, dia membawanya ke Hospital Melaka (HM) pada Rabu lalu.
Ekoran itu, katanya, isterinya terpaksa menjalani pembedahan untuk melahirkan anak pada hari berkenaan.
''Selepas itu, dia terus tidak sedarkan diri sehinggalah dia meninggal dunia semalam.
''Sumarni sempat berpesan supaya menjaga ibunya tanpa mengetahui ibunya sudah meninggal dunia pada hari dia melahirkan anaknya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Batu 14 1/2, Jalan Jasin-Merlimau di sini hari ini.
Murtaza berkata, dia terkilan kerana isteri dan ibu mertuanya tidak sempat melihat anak keduanya.
Menurutnya, ibu mertuanya yang tinggal bersamanya menghidap penyakit kencing manis dimasukkan ke HM selepas mengalami batuk dan sukar bernafas pada Isnin lalu.
''Bagaimanapun, keadaannya agak stabil dan dikuarantin di wad khas HM malah dia kelihatan sihat.
''Namun Rabu lalu, dia disahkan meninggal dunia sebelum sempat melihat cucu yang lahir pada hari yang sama dia pergi meninggalkan kami,'' ujarnya.
Murtaza berkata, dia tidak menyangka kehilangan dua insan tersayang dalam hidupnya itu berpunca daripada penyakit tersebut.
Bagaimanapun katanya, dia tetap bersyukur kerana anak kedua yang belum diberikan nama itu disahkan sihat dan tidak menghadapi sebarang masalah kesihatan.
''Kini, apa yang merunsingkan saya ialah anak sulung saya, Noraina Batrisyah yang baru berusia dua tahun.
''Sehingga kini, dia masih tidak mengetahui kematian ibunya dan beranggapan isteri saya itu sedang tidur," katanya.
Jenazah Sumarni selamat dikebumikan di Muar, Johor semalam manakala ibu mertuanya di Sepang, Selangor.