Saturday, November 30, 2013

Permainan Akhir Zaman

Sumber: Utusan Online

11,000 kanak-kanak maut perang di Syria


Sebahagian besar mangsa serangan gas saraf di Ghouta di pinggir Damsyik pada Ogos lalu merupakan golongan kanak-kanak. - Agensi

BEIRUT 24 Nov. - Lebih 11,000 kanak-kanak terkorban dalam perang saudara di negara ini yang berlanjutan hampir tiga tahun, menurut kumpulan pemikir Penyelidikan Oxford yang beribu pejabat di London, baru-baru ini.
Majoriti kanak-kanak tersebut terbunuh dalam serangan bom atau peluru di kawasan perumahan mereka selain beratus-ratus serangan hendap.
Menurut laporan tersebut, bedilan serta serangan udara yang berlaku turut mengorbankan bayi.
Data terkumpul mendapati, seramai 11,420 mangsa yang terkorban berumur 17 tahun ke bawah, manakala 389 kanak-kanak dibunuh oleh penyerang hendap.
Daripada laporan itu, seramai 764 kanak-kanak turut dihukum bunuh, manakala lebih 100 yang lain termasuk bayi, diseksa.
Laporan itu juga mendapati, lebih ramai kanak-kanak lelaki dalam lingkungan 13 hingga 17 tahun maut, berbanding kanak-kanak perempuan.
Dalam laporan tersebut, wilayah Aleppo mencatat bilangan kematian paling tinggi melibatkan kanak-kanak iaitu sebanyak 2,223 orang.
Penulis bersama laporan itu, Hana Salama berkata, cara kanak-kanak di Syria meninggal dunia amat menakutkan.
"Mereka mati akibat dibom di rumah, semasa beratur menunggu giliran untuk mengambil roti dan semasa berada di sekolah.
"Selain itu, ada di antara kanak-kanak maut akibat diserang penembak tepat, dihukum mati, diseksa dan dipaksa menghidu gas beracun," katanya.
- AGENSI

alHatt:
Apalah dosa kanak-kanak tersebut hingga dibunuh sebegitu rupa. 
Sebenarnya kematian ada di mana-mana, boleh berlaku ke atas sesiapa sahaja.
Ada yang ditimpa penyakit kronik lalu mati pada usia kecil.
Ramai juga yang mati ketika lahir. 
Banyak juga kes-kes kemalangan yang melibatkan kanak-kanak. 
Itu ajal yang mana tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menangguh.

Seperti yang berlaku di Syria, pihak yang bertelagah mempunyai pilihan samada memilih jalan perdamaian atau berperang dalam menegakkan perjuangan masing-masing.

Jalan perdamaian bermakna membawa kemenangan bagi kedua-dua pihak.
Jalan peperangan hanya mendatangkan musibah yang akhirnya membawa kemusnahan diri mereka sendiri.

Yang menyedihkan, insan yang tidak berdosa seringkali dijadikan sasaran bagi melemahkan moral dan semangat juang pihak yang menentang. 

Siapa yang tak tersentuh hati bila melihat anak-anak kecil dibunuh ketika mereka sebenarnya sedang berlindung dan ingin keluar dari zon peperangan??
Adakah mereka mengangkat senjata atau menghunus pedang di medan pertempuran?
Tidak!!
Mereka langsung tiada kena mengena dengan kegilaan puak-puak syaitan ini!

Tetapi inilah mainan umat manusia akhir zaman.
Yang mendustakan ketibaan Hari Akhirat iaitu Hari Pembalasan.

Firman Allah SWT (Surah Al-Muthoffifin, ayat 10~12): Kecelakaan besar, pada hari itu, bagi orang-orang yang mendustakan. Iaitu mereka yang mendustakan hari pembalasan. Dan tiada yang mendustakannya melainkan tiap-tiap orang yang melampaui batas (kebenaran), lagi amat derhaka!

Semoga kita dapat mengambil pengajaran darinya..

Friday, November 29, 2013

Pemburu Ar-Rafiqul A'la

Assalamualaikum,

Baru-baru ini, saya mengenali seseorang yang mengingatkan saya
kepada satu kisah yang berlaku ke atas diri saya kira-kira 11 tahun
yang lalu.

Ada persamaan tetapi tidak serupa.

Ketika itu saya "memburu cinta" seseorang yang akhirnya hari ini
menjadi insan teristimewa dalam hidup saya.
Saya pernah dedikasikan buatnya sebuah lagu bertajuk "Falsafah Cinta".

Hari ini, saya dengar semula lagu itu dan ingin berkongsi rasa yang
sama, buat dirinya yang kebetulan 11 tahun lebih muda, yang juga sedang
memburu cinta.

Cuma bezanya, dia memburu cinta Ar-Rafiqul A'la...

Selangkah kita mendekati-Nya, seribu langkah Dia mendekati kita.
InsyaAllah..

Falsafah Cinta - Art Fazil (klik untuk dengar lagu)

Cinta perlu berhati-hati
Cinta perlu menjaga diri
Cinta rindukan kepastian
Cinta bencikan kesangsian
Cinta perlukan kawan

Cinta itu janji setia
Cinta untuk selama-lama
Cinta suatu pengorbanan
Cinta suatu kepasrahan
Cinta perlukan teman

Insan oh insan
Hidup kerana cinta
Insan oh insan
Segala tercipta kerana cinta

Cinta punya harga diri
Cinta bersemangat murni
Cinta perlukan keikhlasan
Cinta suatu perjuangan
Cinta perlu berkasih sayang

Wednesday, November 27, 2013

Regim Firaun

Laporan berita:
Hubungan Mesir-Turki semakin tegang

KAHERAH 24 Nov. - Mesir mengusir Duta Turki ke negara ini semalam, manakala Ankara mengurangkan hubungan diplomatik dengan Kaherah, sekali gus memburukkan lagi hubungan kedua-dua negara selepas penggulingan bekas Presiden, Mohammed Mursi pada Julai lalu.
Hubungan tegang antara kedua-dua negara itu bertambah buruk selepas Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan mengkritik rampasan kuasa yang menggulingkan Mursi dan situasi tidak stabil di Mesir pada Khamis lalu.
"Saya tidak akan menghormati mana-mana pihak yang mentadbir menerusi rampasan kuasa," katanya.
Mesir mengusir Huseyin Avni Botsali sambil menyifatkan beliau sebagai 'individu yang tidak diingini', selain mengehadkan hubungan dengan Turki dan membuat keputusan untuk tidak menghantar duta ke Ankara.
Kementerian Luar Mesir menuduh Turki 'menyokong mana-mana pihak yang cuba mewujudkan ketidakstabilan di negara ini' yang jelas merujuk kepada pergerakan Ikhwanul Muslimin.
Kementerian itu juga menyatakan bahawa Ankara 'cuba mempengaruhi komuniti antarabangsa untuk menentang kepentingan penduduk Mesir'.
Sebagai balasan, Turki mengisytiharkan Duta Mesir ke Ankara, Abderahman Salah El-Din sebagai 'individu yang tidak diingini' dan memanggilnya untuk memberi penjelasan berhubung pengusiran Huseyin.
Menteri Luar Turki, Ahmet Davutoglu mengkritik tindakan Mesir yang membocorkan keputusan pengusiran Huseiyin kepada media sebelum perbicangan dua hala diadakan sebagai 'sikap buruk yang tidak bersesuaian dalam konteks hubungan diplomatik'. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131125/lu_03/Hubungan-Mesir-Turki-semakin-tegang#ixzz2llKIp6PU
© Utusan Melayu (M) Bhd
................................................

alHatt:
Anda tentu dapat mengagak siapa pemilik jasad kaku dibawah ini..
 


Ya, itulah Firaun.

Allah merakamkan dalam Al-Quran;
"Maka pada hari ini Kami selamatkan badanmu
supaya kamu dapat menjadi pelajaran bagi
orang-orang yang datang sesudahmu dan
sesungguhnya kebanyakan dari manusia lengah
dari tanda-tanda kekuasaan Kami."
Surah Yunus, ayat 92.

Duta Turki telah diusir keluar dari Mesir hanya kerana tindakan
Turki yang tidak memihak kepada Regim Firaun
(dengan izin!).

Melalui Surah Yunus, ayat 92 di atas, Allah SWT dengan jelas
telah menerangkan tujuan jasad Firaun kekal hingga ke hari ini.
Namun berapa kerat dari kita yang mengambil pelajaran darinya?

Sesungguhnya Allah SWT tidak pernah menzalimi manusia.
Manusialah yang menzalimi diri sendiri.
Kini Rakyat Mesir telah dizalimi.

Apa yang boleh saya katakan;
Tindakan Regim Firaun keatas Turki itu
merupakan tanda mereka berada dalam
ketakutan dan keseorangan.
Tekanan dari dalam dan luar telah
meruntuhkan moral mereka. 

InSyaAllah, itu juga tanda kebangkitan
Ikhwanul Muslimin!!

Panjangkan doamu..

Wednesday, November 20, 2013

"Wake Up Call"

Sumber berita: Utusan Online. 
 


Kunjungan OIC ke Rakhine dibantah


Sebahagian daripada sami Buddha, memegang sepanduk membantah kunjungan delegasi Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke Myanmar bagi melihat sendiri nasib etnik Rohingya Islam akibat rusuhan agama di Yangon, semalam. - AP


YANGON 13 Nov. - Berpuluh-puluh sami Buddha mengadakan tunjuk perasan di luar lapangan terbang bagi membantah kehadiran delegasi daripada Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang tiba di sini, hari ini bagi memantau keadaan berhubung rusuhan agama.
Setiausaha Agung OIC, Ekmeleddin Ihsanoglu dan beberapa pegawai lain yang mewakili pertubuhan 57 negara Islam itu, akan bertemu dengan pegawai tertinggi kerajaan Myanmar di Naypyitaw untuk membincangkan isu keganasan etnik yang melanda negara ini.
Lebih 240 orang terbunuh dan 240,000 lagi menjadi pelarian dalam rusuhan agama pada tahun lalu, dengan kebanyakan mangsa terbunuh merupakan etnik Rohingya Islam yang diburu oleh penduduk Buddha dan tidak dihalang oleh pihak keselamatan Myanmar.
Delegasi OIC terbabit yang diwakili pegawai dari Indonesia, Malaysia, Turki, Arab Saudi, Mesir, Djibouti dan Bangladesh, dijangka menerima bantahan besar-besaran pada Jumaat ini apabila berkunjung ke negeri Rakhine bagi melihat sendiri keadaan mangsa dan kem pelarian.
Pegawai Indonesia, Ark Hananto berkata, kerajaan Myanmar memberi jaminan akan mengenakan kawalan yang ketat terhadap kumpulan khas OIC sepanjang kunjungan di negara ini.
Ark berkata, selain mengutuk dan menyuarakan kebimbangan tentang nasib umat Islam di Myanmar, OIC juga akan bertemu secara langsung dengan mangsa konflik terbabit.
Jelasnya, pegawai delegasi akan mengadakan perbincangan dengan masyarakat dan pemimpin-pemimpin agama di kawasan itu.
"Tujuan OIC ke sini adalah untuk mencari jalan membina komunikasi antara kedua-dua pihak terlibat," katanya. - AP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131114/lu_06/Kunjungan-OIC-ke-Rakhine-dibantah#ixzz2l4Mhsar7
© Utusan Melayu (M) Bhd

Setiausaha Agung OIC menangis ketika kunjungi etnik Rohingya


Sebahagian etnik Rohingya berteduh di sebuah kem di Sittwe, Rakhine, Myanmar selepas rusuhan agama tercetus pada 15 Mei lalu. - AGENSI

YANGON 17 Nov. - Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Ekmeleddin Ihsanoglu mengakui dia menangis ketika melawat kem etnik Islam Rohingya di Sittwe, hari ini.
"Saya menangis apabila melihat keadaan kem yang daif, selain kebajikan penghuninya tidak diuruskan dengan baik," katanya.
Ekmeleddin dan delegasi OIC kini dalam lawatan empat hari ke Myanmar sejak Jumaat lalu atas jemputan Presiden, Thein Sein.
Delegasi itu kemudiannya mengadakan pertemuan dengan Thein Sein, di sini semalam.
Sementara itu, OIC menggesa Myanmar mengurangkan sekatan ke atas hak kebebasan asas selepas menilai hak asasi etnik Islam Rohingya dan penduduk Islam lain di negara ini akibat konflik agama yang berlaku sejak kebelakangan ini.
"OIC menggesa kerajaan untuk meneruskan reformasi undang-undang, termasuk memansuhkan undang-undang sekatan kebebasan asas," menurut Thein Sein yang dipetik oleh akhbar The New Light of Myanmar hari ini.
Konflik keganasan etnik dan agama di negeri Rakhine di barat Myanmar pada tahun lalu, menyaksikan sekurang-kurangnya 167 orang maut, terutamanya etnik Rohingya Islam.
Etnik minoriti itu berdepan dengan diskriminasi apabila kerajaan Myanmar tidak mengiktiraf kerakyatan mereka dan mendakwa golongan itu berasal dari Bangladesh.
OIC dalam pada itu berjanji untuk menghulurkan bantuan kepada Myanmar, namun menggesa agar negara ini menghentikan diskriminasi ke atas etnik minoriti dan agama yang tertakluk di bawah peruntukan hak asasi manusia. - AGENSI

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131118/lu_08/Setiausaha-Agung-OIC-menangis-ketika-kunjungi-etnik-Rohingya#ixzz2l4NgIa4d
© Utusan Melayu (M) Bhd
.........................................................
alHatt:
Tetamu Galeri Nurani yang budiman;

Terima kasih atas perhatian dan masa anda membaca laporan berita di atas. Mudah-mudahan sedikit sebanyak dapat membuka mata kita ke atas apa yang telah dan sedang berlaku khususnya di Rakhine (negeri dalam jajahan Myanmar).

Galeri Nurani pernah sekali memaparkan pautan artikel tulisan Tun Dr. Mahathir dalam posting  bertajuk "P.E.A.C.E." dengan mengajak kita sama-sama bermuhasabah serta memikirkan apa yang mampu kita lakukan untuk membantu etnik Rohingya.

Memetik kata-kata Tun dalam blognya yang bertajuk "THE ROHINGYAS" seperti berikut, (terjemahan bahasa melayu oleh pengendali blog Galeri Nurani);

8. The Muslims worldwide are weak.  Naturally they have not raised meaningful objection against the atrocities. It is as if Muslims care only for themselves and not their brothers, yet Islam enjoined upon them the brotherhood of all Muslims.

8. Orang Islam seluruh dunia adalah lemah. Biasanya mereka tidak melakukan bantahan/penentangan yang sewajarnya keatas kezaliman yang berlaku. Mereka hanya pentingkan diri sendiri dan bukan kepada saudara mereka walaupun agama Islam menekankan bahawa Islam itu bersaudara.  

9. Since the Muslims care not for each other or for Islam, anybody can beat any Muslim to death in full view of the other Muslims.  I feel sorry for the Rohingyas.  It is their turn today.  We Muslim in Malaysia think this will not happen to us.  So why should we care about what happens to the Rohingyas.  It is their problem, not ours.

9. Memandangkan orang Islam tidak mengambil berat tentang orang lain atau Islam, sesiapa sahaja boleh membunuh orang Islam yang lain sebab itu bukan diri mereka. Saya kasihan kepada orang Rohingya. Kini tiba giliran mereka. Orang Islam di Malaysia fikir ia tidak akan berlaku keatas diri mereka. Jadi kenapa kita mesti ambil peduli atas apa yang berlaku kepada etnik Rohingya?
Itu masalah mereka, bukan kita.

Pendapat saya pada kenyataan diatas adalah seperti berikut:

Pertama, Tun menulis sebagai teguran/sindiran kepada Kerajaan Malaysia (memang "style" Tun macam tu) agar masuk campur atas isu Rohingya. Barangkali itu antara sebab mengapa akhirnya OIC menghantar delegasi termasuk dari Malaysia ke Myanmar untuk memantau keadaan etnik Rohingya.

Kedua, tulisan itu juga ditujukan buat umat Islam di Malaysia agar mengambil berat dan mengambil tauladan agar perkara seumpama tidak berlaku di Malaysia.

Sejujurnya kita di Malaysia hidup dalam keadaan aman dan harmoni (masih terkawal) sehingga kebanyakan dari kita tidak peduli apalagi bermuhasabah tentang apa yang berlaku di tempat lain termasuklah di Myanmar, Palestin, Syria, Mesir dan banyak lagi.
Termasuklah juga "pembersihan etnik Islam" yang berlaku dibanyak Negara di mana orang Islam adalah golongan minoriti.

Apa yang kita sibukkan adalah berpolitik; tuduh-menuduh, fitnah-memfitnah dan bermusuhan antara sesama Islam. Juga berlebihan dalam berhibur dan melibur, melawak, gosip artis dan bermacam-macam sibuk yang dicipta sendiri.

Kita tidak ambil peduli kesan yang bakal dihadapi dimasa hadapan atas kelalaian diri kita sendiri.
Apa yang berlaku di Negara-Negara bergolak seluruh dunia sekarang ni tidak mustahil akan berlaku di Malaysia.
Dengan cara hidup dan tabiat kita ketika ini, mampukah kita menangkis segala ancaman yang akan merosakkan Islam dan Negara?

Ketika ini banyak isu yang menggugat kepentingan Islam dan umat Islam di Malaysia yang dibangkitkan musuh Islam. Dan kita masih lagi mampu bertelagah, yang berseronok terus leka melayan nafsu sendiri, yang lena tidur terus berdengkur.
Kita tidak sanggup untuk bersatu sebagaimana kita sanggup berpecah-belah hatta kafir-mengkafir.

Ayuh, bangkit segara! Jangan tidur sambil dibuai mimpi palsu yang bakal menjerut leher serta tengkok kita. Sedarlah, kita sedang berada dalam kecemasan iman dan amal tahap kronik!!

Jika kita berbangga bergelar umat Islam, maka bersedialah berkorban untuk melenyapkan sifat pentingkan diri sendiri. Fikirlah kemaslahatan ummah.
Biarlah kiranya segala nikmat yang kita nikmati kini merupakan pemberian yang diredhai Allah. Bukannya Istidraj.

Jika kita rasa gembira dan selesa dengan kehidupan kita kini, orang lain juga berhak merasai perasaan yang sama.
Jika kita rasa seronok melakukan amal ibadat, bersolat, berjemaah di masjid, membaca Al-Quran dan berpuasa, orang lain juga berhak merasai perasaan yang sama!

Maka menjadi tanggungjawab kita membantu mereka dengan cara dakwah dan berkasih-sayang serta mendoakan agar mereka juga akhirnya merasai nikmat yang sama!

Bukan menggalakkan permusuhan!!

Inilah yang dilakukan oleh para Nabi dan Rasul.
Mereka mengajak kepada kebaikan, mencegah kemungkaran.
Mereka tidak pentingkan diri sendiri.
Mereka menyahut seruan Ilahi.

Jadi mampukah kita menyahut seruan yang sama??
Ayuh, bangkit segera!!

alHatt
20 Nov 2013.
 






Monday, November 18, 2013

Taman Syurga- Kuliah Maghrib~16 Nov 2013

Nota Kuliah Maghrib~16 Nov 2013.
Masjid Tmn. Sri Pulai Perdana, JB.

Tafsir Al-Quran: Surah Ali Imran, Ayat 15.

1- Sebagaimana kita suka orang lain membaca buku, rencana, blog atau apa saja hasil dari penulisan kita, maka lebih lagi Allah menyukai akan hambaNya membaca dan memahami isi kandungan Al-Quran.

2- Maksud ayat 15, Surah Ali Imran:
Katakanlah: "Inginkah aku kabarkan kepadamu apa yang lebih baik dari yang demikian itu?" Untuk orang-orang yang bertakwa (kepada Allah), pada sisi Tuhan mereka ada syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; mereka kekal di dalamnya. Dan (mereka dikurnia) isteri-isteri yang disucikan serta keridaan Allah: Dan Allah Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya.

3- Takwa bermaksud mengerjakan segala perintah Allah SWT dan meninggalkan segala laranganNya.

4- Pada zaman Arab Jahiliyah, mereka tidak beriman kepada Allah SWT kerana mereka berpendapat bahawa merekalah yang lebih baik dari orang Islam (yang kebanyakannya terdiri dari golongan hamba dan fakir miskin). Dengan itu mereka menyangka Allah lebih menyayangi mereka berdasarkan status kedudukan mereka pada waktu itu.

5- Masyarakat Arab Jahiliyah percaya bahawa Allah yang menciptakan mereka dan alam semesta.
Namun cara mereka beriman ialah dengan mensyirikkan Allah.

6- Jika kita lihat dalam senario masa kini, ramai umat Islam sendiri merasakan bahawa Allah SWT menyayangi mereka dengan segala kurniaan dan kekayaan berbanding dengan apa yang dilalui oleh golongan miskin atau mereka yang ditimpa kesusahan.
Hakikatnya Allah hendak menguji mereka dengan ujian kesenangan hingga tiba ke satu tempoh tertentu agar mereka terus leka dan lalai.

7- Umat Islam kini dilanda krisis identiti bilamana mengaku sebagai umat islam tetapi sukar untuk mentaati perintah Allah. Contoh mudah ialah seruan mengerjakan Solat.
Tidak ramai yang mengerjakan solat secara berjemaah di Masjid walhal ganjarannya sangat lumayan iaitu memperoleh 27 kali ganda pahala berbanding solat bersendirian.

Analogi mudah: Anda mengerjakan solat isyak dirumah seorang diri sebanyak 27 kali (bersamaan 108 rakaat). Mampukah anda mengerjakannya? Berapa tempoh masa yang diperlukan untuk melengkapkan solat sebanyak 27 kali itu?
Maha Pengasihnya Allah itu diberikan kemudahan tetapi sedikit sahaja yang merebutnya.

8- Kenapa Allah tak menghancurkan kezaliman dan penindasan yang berlaku diseluruh dunia?
Ini kerana Allah ada perancangan tersendiri dengan membiarkan golongan zalim itu dalam kesesatan. Dengan maksud Allah mengizinkan sesuatu itu berlaku bukan dengan keredhaan Allah.
Inilah yang dinamakan Istidraj.

Wallahu a'lam.
alHatt

Taman Syurga- Kuliah Subuh (16 Nov 2013)















Nota Kuliah Subuh~ 16 Nov 2013.
Masjid Tmn. Sri Pulai Perdana, JB.

Topik Kuliah Subuh masih berkisar tentang sambutan tahun baru 1435H.

1- Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menjadikan Maal Hijrah dan bulan-bulan Islam sentiasa diceritakan dan diingatkan terutama kepada ahli keluarga. Mudah-mudahan kefahaman terhadap bulan-bulan Islam itu lebih menonjol berbanding bulan-bulan masehi.

2- Maal Hijrah bermaksud menghayati peristiwa hijrah Baginda Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah.
Zaman Jahiliyah bukan bermaksud orang Arab ketika itu jahil dalam setiap urusan kehidupan.
Mereka sebenarnya maju dalam segala hal. Jahil disini bermaksud kekufuran mereka terhadap Allah SWT.

3- Penetapan tahun Islam diputuskan pada zaman pemerintahan Khalifah Sayyidina Umar Al-Khattab.
Ini bagi memudahkan umat Islam mengetahui dan menjejak tahun berlakunya peristiwa penting dalam sejarah Islam.
Memandangkan Hijrah Rasulullah SAW itu satu titik tolak kebangkitan Islam, maka ianya telah dijadikan permulaan bagi tahun dalam kalender Islam.

4- Allah mengutus Rasulullah SAW, untuk mengajak manusia kembali kepada fitrah iaitu untuk menyembah Allah. Arab Quraish percaya akan kewujudan Allah tetapi mereka masih tetap menyembah berhala.
Selama 13 tahun Rasulullah SAW bersama pengikutnya dihalang untuk berdakwah dan hidup dalam keadaan terseksa. Kemuncaknya komplot untuk membunuh Rasulullah SAW yang akhirnya diperintahkan Allah untuk berhijrah ke Madinah.

5- Mengambil iktibar penghijrahan Rasulullah SAW,  kita pada hari ini melalui cabaran kehidupan yang berbeza. Umat kini perlu meningkatkan kefahaman tentang Islam melalui sumbernya iaitu Al-Quran dan Hadis.

6- Tanggungjawab umat Islam terhadap Al-Quran ada 5:
Pertama: Beriman bahawa Al-Quran adalah wahyu yang benar.
Kedua: Baca Al-Quran dan jadikan ia budaya dalam diri sendiri dan keluarga.
Ketiga: Berusaha untuk fahamkan maksud dan tafsirannya.
Keempat: Beramal dengannya.
Kelima: Menyampaikan/sebarkan isi kandungan Al-Quran.

7- Tumbuhnya amalan ajaran-ajaran sesat adalah disebabkan pengamalan agama yang tidak bersumberkan Al-Quran dan Hadis. Adalah menjadi tanggungjawab setiap Muslim untuk menyelidik dan mengkaji sesuatu perkara baru yang ditimbulkan kumpulan-kumpulan tertentu agar tidak terjebak dalam kumpulan ajaran sesat termasuklah Syiah.

8- Amal Makruf Nahi Mungkar- hendaklah dimulakan dari dalam rumah iaitu dalam lingkungan keluarga sendiri. Contohnya ajakan untuk bersolat, menutup aurat yang betul dan juga pembentukan akhlak mulia.

9- Jasa dan pengorbanan Rasulullah SAW dan para Sahabat tidak boleh dipersiakan.
Kita menikmati nikmat beragama Islam atas pengorbanan mereka. Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab kita untuk sampai dan sebarkan Islam.
Mulakan Hijrah kita dengan menyampaikan dan menyebarkan seruan Allah.

Wallahu a'lam.
alHatt.

Sunday, November 17, 2013

Sindrom 5-HT












Sindrom 5-HT
5-HT
adalah neurotransmitter
yang membawa kepada rasa gembira dan bahagia
dalam diri manusia
Yang merasai nikmat itu
Tanpa sedar kehadirannya..

Ironinya
Kefahaman manusia itu terbatas
Selalu mengikut akal dan nafsu
Membelakangkan iman

Mendabik dada
bukanlah tanda kehebatan
Malah itu tanda kegagalan
Dan kegagalan itu selalu meletakkan manusia jauh
Dari titik kesedaran ketuhanan

Bilamana seseorang itu memungkiri janjinya dengan Tuhan
Jauh menyimpang dari landasan keinsafan
Maka mulalah terik mentari dipersalahkan
Walhal suluhan cahayanya menyinari sekalian alam
Membawa rahmat
Membangkit semangat jiwa yang mati
Walau sebenarnya ia juga menjadi pembakar
Ego manusia yang tak pernah puas
Mengejar duniawi
Yang sentiasa menyilau pandangan
Dari melihat kebenaran

Selagi hidup
5-HT akan tetap mengalirkan
rasa gembira dan bahagia itu
Kedalam diri manusia
Hanyasanya manusia itu sendiri
Tahu dan mahu mensyukurinya

Atau lebih dari itu
Manusia mengambil iktibar
Berperanan seperti 5-HT
Hadir membawa gembira tanpa disedari..

alHatt
17 Nov 2013

Friday, November 15, 2013

Kempen "Hari Selamatkan Al-Aqsa dan Al-Quds"











Al-Aqsa
Kau jadi rebutan
Sejak dulu mejadi medan pertempuran
Ramainya para Syuhada terkorban
Mempertahankanmu
Hanya dengan benih keimanan
Yang disemai hingga menjadi senjata ampuh
Menakutkan musuh
Yang akhirnya tewas
Dan menyerahkan kesucianmu
Kepangkuan kami
Pewaris Tanah Suci

Al-Aqsa
Siapa pewarismu kini?
Lain dan tak bukan; Umat Islam seisi alam!
Namun yang sanggup berkorban untukmu segelintir cuma 
Kerana selebihnya ibarat buih-buih dilautan
Tidak berguna!!

Al-Aqsa
Sayang sekali
Ramai antara kami sendiri melupaimu
Ketika ini ramai yang tidak ambil tahu
Saat ini ramai lagi yang buat tak endah
Akan usaha jahat Regim Zionis
Untuk merampasmu dari tangan kami!

Nilai umat kini sangat murah
Impian hanya mengejar keseronokan dunia
Yang melalaikan dan sementara
Al-Aqsa bukan lagi bualan utama
Dan itulah simbol kejayaan Zionis dan konconya
Tanda misi mereka melemahkan umat Islam telah berjaya!

Al-Aqsa
Kau akan menjadi saksi
Adakah umat ini mampu mempertahankan
Atau akhirnya menyerahkanmu tanpa tanda penyesalan
Kerana itulah bukti
Kelemahan Iman dan Kesatuan
Umat akhir zaman
Yang hidup umpama buih-buih dilautan..

alHatt
14 Nov 2013.
......................................................................

Assalamualaikum,

Hari ini, Jumaat 11 Muharram 1435/ 15 Nov 2013.
3 hari yang lalu saya terima perkongsian dalam Facebook dari seorang sahabat berkenaan dengan seruan dari Kesatuan Ulama Islam Sedunia seperti berikut:

"Kesatuan Ulama Islam Sedunia menyarankan umat Islam seluruh dunia agar menjadikan hari Jumaat, 18 Muharram bersamaan 22 November depan sebagai "Hari selamatkan Al-Aqsa dan Al-Quds".

Dalam kenyataan hari ini, kesatuan yang diketuai oleh Syeikh Yusuf Qaradhawi itu meminta umat Islam mengkhususkan hari berkenaan bagi menghangatkan kembali isu Palestin bagi menyedarkan ummat kepentingan memelihara Masjid Al-Aqsa melalui khutbah-khutbah Jumaat, seminar dan nadwah serta doa munajat."


Saya tidak pasti apakah reaksi sebenar umat Islam di Malaysia terhadap seruan yang tak berapa ramai nak tekan "Like" di laman Facebook ni.

Juga kepada Jabatan-jabatan Agama, samada akan ada Khutbah Jumaat khas di setiap Masjid di seluruh Negara, mahupun persatuan atau NGO yang akan menganjurkan seminar, kempen serta perhimpunan.

Harap-harap ada. Kita perlu sentiasa diingatkan lagi dan lagi kerana lumrah manusia itu mudah lupa.

Beberapa hari lalu juga kita dikejutkan dengan cadangan Regim Zionis untuk membahagikan ruang Masjid Al-Aqsa antara umat Islam dan Kaum Yahudi, dengan alasan yang tak masuk akal.
Mereka mendakwa di bawah Masjid Al-Aqsa itulah terletaknya kuil zaman purba yang dikenali sebagai "Temple of Solomon". Rujuk di sini.

Lihatlah betapa beratnya beban yang ditanggung Al-Aqsa.

Peranan kita mungkin kecil, kesannya juga kecil.
Berhimpun, mencambah kesedaran, mengaminkan doa, boikot, menghantar memorandum bantahan dan lain-lain lagi.

Namun ingatlah.
Allah tidak menilai hasil atau kesan atas apa yang kita telah atau akan kita lakukan.
Allah menilai usaha yang kita telah buat dengan niat yang ikhlas.
Oleh itu janganlah hendaknya kempen dan usaha sebegini diperlekehkan atau dipandang sebelah mata sahaja.

Lakukanlah sehabis baik.
Sekadar berkongsi bait-bait lirik lagu "Jalan Kita" (AlFarabiband)..

"Tapi awaslah dan ingatlah
Dalam diri penuh dugaan
Nafsu syaitan sentiasa menghalang
Kuatkan iman tingkatkan taqwa
Bermujahadah dan istiqamah
Jangan mudah menyerah kalah!!

Tegakkan Islam dengan jemaah
Supaya terbangun ummah
Kuatkan hubungan dengan Allah
Hubungan sesama manusia
Sucikan hati bina peribadi
Inilah dia jalan kita"


Inilah jalan yang dilakukan umat terdahulu hingga berjaya mewariskan bumi Al-Aqsa kepada kita.

Sanggupkah kita nanti menjadi umat yang tercatat dalam sejarah sebagai umat yang melepaskan Al-Aqsa ke tangan Zionis??

Apakah itu yang kita mahu??

Semoga usaha kecil ini memperoleh keberkatan..

alHatt
11 Muharram 1435H

Monday, November 11, 2013

Awan Nano















Indahnya Ciptaan Allah- Tak tercapai jejariku..
Gambar Umrah- Jun 2012
..............................................
Awan Nano
Lihat ke arah sana
Serakan warna dan berarakan
Awan

Pabila terik panas
Segera hadirnya memayungi diri
Pabila kau dahaga
Sesegera turun hujan melimpahkan kasihnya
Pabila kau katakan
Akulah awan itu yang kau mahu

Begitulah awan nano
Setia melindungi diri
Tika panas mencuba menggores pipi
Dan bibirmu

Begitulah awan nano
Sering saja tak terduga hadir
Dan tak akan tercapai jejarimu

Kasihnya
Kasih tiada banding
Setia tiada tara
Bagaimanapun jua
Awan kekasih sebenarmu sayang
Walaupun tak akan tercapai jejarimu

Lihat diriku ini
Yang sesekali pernah kau bagaikan awan
Sehingga tak mungkin terlupa
Berikan belas sedari dulu

Sehingga tak mungkin termampu saksi
Setitis pun air matamu kasihku
Sehingga kau katakan
Akulah awan itu yang kau rindu

Akulah awanmu yang sedia
Melindungi dirimu tika panas mencuba menggores pipi
Dan bibirmu
Akulah awanmu yang sering kau rindu
Dan tak terduga hadirmu walau tak tercapai jejarimu

Kasihku
Kasih tiada banding setia tiada tara
Bagaimanapun jua
Aku pelindung dirimu sayang
Walaupun tak akan tercapai jejarimu

Begitulah awan nano
Setia melindungi diri tika panas mencuba menggores pipi
Dan bibirmu

Begitulah awan nano
Sering saja tak terduga hadir
Dan tak akan tercapai jejarimu

Kasihku
Kasih tiada banding setia tiada tara
Bagaimanapun jua
Aku pelindung dirimu sayang
Walaupun tak akan tercapai jejarimu

Artis: Hafiz

"Aku Belum Baik Lagi.."

Jam 5 pagi
Waktu bangkitku
Suasana sejuk
Beratnya badan ini

Kedengaran bunyi hujan
Terus menggamit perhatian
Kuselak langsir
Melihat keluar jendela
Hujan renyai
Membasahi bumi yang sunyi sepi

Akupun terus bangun
Melawan sejuk yang mendamaikan
Tak perlu dilayan nafsu tidur ini
Malam tersisa harus dimanfaat
Sebelum fajar menyinsing

Dan itulah rutin harian yang payah kupertahan
Ku mohon istiqamah..

Jam 7 pagi,
"Alamak, hujan tak berhenti lagi.
Banyak pula kerja nak buat pagi ni.."

Ku redah jua
Menghantar anak ke sekolah
Pergi ke pasar dan beli barang keperluan
Sempat aku menoleh tajuk utama deretan akhbar
Dan mataku terpaku
Terkejut membaca tajuk berita

Taufan Haiyan ragut lebih 10,000 nyawa di Filipina

 
Sebuah kapal terdampar di daratan selepas dipukul tiupan angin kencang daripada Taufan Haiyan di Tacloban.


MANILA - Pulau Leyte, wilayah tengah Filipina kini bagaikan padang jarak padang tekukur selepas dibadai Taufan Haiyan yang merupakan ribut paling kuat di dunia pada tahun ini dengan meragut lebih 10,000 nyawa, kata seorang pegawai kerajaan semalam.
Angka tersebut diumumkan ketika pasukan penyelamat bertungkus-lumus dalam usaha untuk menyelamatkan bilangan mangsa Taufan Haiyan yang terus meningkat.
Taufan yang bertiup selaju 315 kilometer sejam (km/j) itu mencetuskan ombak besar seperti tsunami yang melanda pulau-pulau di Filipina sejak Jumaat lalu.
---------------------------------------

Astaghfirullah..
Aku lihat diri ini
Hujan renyai pagi tadi pun aku ungkit-ungkitkan
Bayangkan jika aku bangun tadi
Sekelilingku hancur musnah
Keluargaku semua tiada lagi
Dan aku menjerit seorang diri
Bayangkan, apa yang mampu aku lakukan?

Kelmarin, aku maklumkan kepada seorang Sahabat,
"Ujian Itu Nikmat.."
Pagi ini aku cuba memahami
Hakikat nikmat atas ujian bencana taufan Haiyan

Apa yang pasti
Aku belum sebenarnya diuji
Amalku sedikit cuma
Syukurku entah apa-apa
Hakikat yang harus ku akui,
"Aku Belum Baik Lagi.."

alHatt
11.11.13

Thursday, November 7, 2013

"Bapak"















Bapak dan Mak bersama sebahagian cucu-cucunya-
Hari Raya 2013.
...................................

"Bapak"

Kisah seorang bapa
Melayan anaknya yang masih kecil
Yang sedang melayan keseronokan dunia
Mengajar bagaimana mengenal Tuhan

Pada suatu hari yang ceria
Si anak melewati batasan hadnya
Sangkanya dia akan terlepas
Dari sesiapapun

Pergilah dia ke sebuah kebun
Bersama rakan sepermainannya
Berjalan kaki ke kebun itu
Yang agak jauh dari rumahnya
Dan terpencil

Di kebun itu
Ada banyak pohon dan dedaunan
Ada reban ayam, itik dan angsa
Ada pelbagai keunikan yang menggamit minat si kecil dan rakannya

Kelihatan sebakul telur ayam
Mungin juga telur itik
Diambilnya satu persatu
Dibaling kedinding
Habis pecah semuanya
Dalam suasana girang dan gembira
Sementara dia belum kenal apa-apa selain keriangan menurut hatinya
Huru-hara hidupan ayam, itik dan angsa

Si kecil dan rakannya pulang dengan seribu kepuasan
Meredah renyainya hujan
Saat tiba dirumah
Si Ibu bertanya..
"Ke mana kau pergi Nak? Kenapa comot begini??"
Si kecil tak menjawab sambil terkenang memori indah bermain di kebun

Lewat petang itu
Bapanya pulang dari kerja
Dipanggil anak itu seraya berkata..
"Tadi main di mana?"
Si anak pun menjawab dengan selamba..
"Tak kemana-mana, main disini saja"

Si Bapa dengan tenang melakar kata..
"Cuba cakap betul-betul.. Allah nampak kamu dan kawan main dikebun.
Bapak tahu.."

Si kecil mula kecut perut
Takut dimarahi bapanya
Maka bapa pun meneruskan katanya..
"Apa yang kita buat semua Allah Nampak.
Kebun itu bahaya untuk kamu. Berdosa pecahkan semua telur itu.
Jangan buat lagi. Nanti lain kali Allah beritahu pada bapak lagi.."

Si kecil cuba memahami kata-kata bapanya..
"Allah melihat perbuatan dia"
Bapanya yang kata begitu

Kini anak itu sudah dewasa
Banyak liku, suka dan duka hidup bersama bapanya
Hinggalah saat bapanya terlantar sakit dikatil hospital
Tiba-tiba dia teringat kembali
Kata-kata azimat bapanya sewaktu dia kecil dahulu
"Apa yang kita buat semua Allah nampak.."

Allah Maha Melihat
Itulah pelajaran yang berguna dari si bapa kepada anaknya

Buat "Bapak" yang sedang sakit
Biarlah mahunya kesakitan itu menghapus dosa
Allah Maha Melihat segala jasa dan pengorbanan yang "Bapak" lakukan
Dan Dia jualah yang selayaknya membalas
Semoga "Bapak" cepat sembuh
Dan dapat terus berjasa dan hampir dengan-Nya..

alHatt
6 Nov 2013

Friday, November 1, 2013

"Iman Mesti Sahih, Amal Mesti Soleh"..Salam 1435H















Panorama indah matahari terbenam, Laut Merah, Jeddah.
Gambar Umrah- Jun 2012.
................................................

Assalamualaikum,

Alhamdulillah, bertemu lagi di hari mulia, Jumaat terakhir dalam tahun 1434H.

Firman Allah dalam Surah Al-Kahfi, ayat 1~10, maksudnya:

Dengan Nama Allah,Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.

1: Segala puji bagi Allah yang telah menurunkan kepada hambaNya, Kitab Suci Al-Quran dan tidak menjadikannya sesuatu yang bengkok.

2: Sebagai bimbingan yang lurus; untuk memberi amaran akan azab yang berat disisi Allah dan berita gembira kepada orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka akan beroleh balasan yang baik.

3: Mereka tinggal tetap dalam balasan yang baik itu selama-lamanya. 

4: Dan juga Al-Quran itu memberi amaran kepada orang yang berkata: Allah mempunyai anak.

5: Mereka tidak mempunyai pengetahuan mengenainya, dan tiada juga datuk nenek mereka; besar sungguh perkataan syirik yang keluar dari mulut mereka; mereka hanya mengatakan perkara yang dusta.

6: Maka janganlah kamu membinasakan dirimu kerana berdukacita terhadap perbuatan mereka, jika mereka enggan beriman kepada keterangan Al-Quran ini.

7: Sesungguhnya Kami jadikan apa yang ada di bumi sebagai perhiasan baginya, kerana kami hendak menguji mereka, siapakah diantaranya yang lebih baik amalnya.

8: Dan sesungguhnya Kami akan jadikan apa yang ada di bumi itu sebagai tanah yang tandus.

9: Adakah kamu menyangka kisah Ashaabul Kahfi dan Ar-Raqiim itu sahaja yang menakjubkan diantara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Kami?

10: Ingatlah ketika serombongan orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: Wahai Tuhan Kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami.
........................................................................

Meraikan sisa-sisa 1434H.
Mengenang banyaknya dosa berbanding pahala.
Tak pasti dapatkah sekali lagi berpeluang menginjak ke tahun baru; 1435H.
Hanya dengan rahmat-Mu..
Lebih dari itu, apalah maknanya jika sekadar beralih tahun manakala aku masih "disini, begini" disisi-Mu.
Ku pohon kekuatan dan istiqamah.

Salam Maal Hijrah.

alHatt
27 Zulhijjah 1434H