Tuesday, November 17, 2009

HUJAN


Semalam aku ke KL
Banyak yang aku lalui
Sepanjang perjalanan, pergi dan balik, hujan mencurah
Sesekali terasa bahayanya; jalan licin, penglihatan terbatas yang menggangu pemanduan
Konsentrasi jadi panduan, tawakal jadi pegangan

Hati terdetik, pasti akan ada kawasan yang ditenggelami air jika hujan berterusan begini
Pasti juga banyak kemalangan jalanraya yang akan berlaku jika pemandu tidak berhati-hati
Mungkin juga tekanan keatas jalanraya itu sendiri menghasilkan lubang-lubang kecil yang akan membesar seperti yang kelihatan di mana-mana
Kawasan-kawasan tadahan menjadi penuh dan melimpah ruah
Bukan parit dan longkang malah sungai-sungai besar juga sudah hilang parasnya
Hasil basuhan juga tidak kering nampaknya
Yang suka berkeliaran pasti hanya memerap dirumah
Menunggu hujan berhenti dan mengharapkan masa tak berubah

Diperjalanan,
Ramai yang berhenti berteduh sementara menunggu hujan reda
Ramai juga yang terperangkap dalam kesesakan jalanraya
Yang menunggu bas serta teksi mula tak keruan.
Melihat hari yang semakin kelam sementara matahari langsung tidak kelihatan.
Yang ada hanya air dan hujan.
Berterusan membasahi bumi yang kekeringan.

Setelah hujan berhenti lewat petang itu
Lalu-lalang mula dipenuhi manusia
Trafik mula lancar
Masing-masing tak sabar untuk tiba ke destinasi
Dan menghabiskan sisa-sisa hari

Dan hanya itu yang mampu kufikirkan
Tentang hujan yang diturunkan Tuhan
Aku lihat kesusahan
Aku nampak keresahan..itu sahaja..
Sebenarnya aku lupa akan nikmatnya,
Hujan..

al-Hatt
17 Nov 09

Thursday, November 12, 2009

"0"


Pada satu ketika
Ketika mendung berarak
Wajah serupa melintasi fikiranku
Seperti mencari sesuatu
Ke sana dan ke mari
Pergi dan pulang kembali

Di alam nyata
Mendung semakin menebal
Tanda-tandanya mula menggertak benakku
Sesekali pancarannya menerangi alam
Dan kulihat
Wajah itu mula yakin dengan langkahannya
Menuju ke arah yang di tuju
Riak-riak sendu kelihatan
Akhirnya bertemu
Cahaya di hadapan yang disangka hampir
Kejar dan terus mengejar
Makin kejauhan
Ditinggalkan

Wajah itu semakin lesu
Dia tahu arah yang dituju
Dia yakin dengan kewujudan Tuhan yang satu
Dia tahu
Tapi tak mampu mengejarnya
Dan terus bertanya
Mengapa dan mengapa
Namun jawapannya serupa..

Kosong.

Al-Hatt
25 Jan -08

Tuesday, November 10, 2009

Banjir..


Lama rasanya tak menulis blog. Macam-macam ada kat kepala ni, tapi bila tiba masa nak menulis, nak mulakan ayat pun payah!

Musim banjir telah tiba di sebelah utara dan pantai timur semenanjung. Melihat di kaca TV, saya yang tak pernah mengalami banjir besar (paras buku lali pernah la..) tak dapat membayangkan bagaimana keadaan sebenar mangsa banjir; bagaimana hidup di pusat pemindahan, mana nak uruskan anak-anak, keadaan ibu yang sarat mengandung, tak kurang juga yang baru lepas bersalin, orang tua, yang sedang sakit.. Itu belum lagi masuk bab kemusnahan harta benda, kehilangan nyawa dan lain-lain lagi. Kita yang terselamat dari menjadi mangsa banjir mungkin tak terfikir akan kesusahan yang mereka alami seperti yang saya sebutkan tadi. Hanya mereka yang melaluinya akan merasa kaperitan dan kepayahan ujian tersebut.

Bagi yang termampu bolehlah menghulurkan bantuan, tak kiralah dalam bentuk apa pun. Paling tidak, doakan mereka (mesti buat!).
Allah berfirman di dalam Al-Quran; "Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan yang sabar dan dengan mengerjakan solat; dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk." ( al-Baqarah: 45)Tentu ada hikmah yang besar bukan sahaja bagi mangsa banjir malah untuk mereka yang tak terlibat. Seharusnya kita menginsafi dan bermuhasabah bahawa ujian yang menimpa orang lain adalah juga peringatan buat diri kita sendiri..

Tuesday, October 20, 2009

Yang Biasanya Terlepas Pandang..

Artikel di Utusan Malaysia Online (20 Oktober 2009)

Perlunya didikan agama diberi keutamaan

Monday, October 19, 2009

meLayu

Alhamdulillah, tatkala politik melayu semakin layu dan kaku (dibaca kayu!), muncul hamba Allah yang ikhlas (InsyaAllah) dengan buah fikirannya yang amat menyegarkan..

Baca disini dengan hati yang besar serta doa kebaikan..

Friday, October 16, 2009

Jumaat Terakhir Di Bulan Syawal..

Salam semua. Syawal hampir tiba penamatnya. Biasanya di hari-hari terakhir inilah banyak jemputan rumah terbuka atau paling tidakpun kebanyakan dari kita sehabis upaya cuba menziarahi rumah rakan taulan dan sanak saudara yang masih belum lagi dikunjungi. Lazimnya itulah yang berlaku; yang melambangkan kesejahteraan dan keharmonian hidup di negara ini.

Saya sebenarnya hendak berkongsi sesuatu di sini, terutama dari perenggan 18 hinggan 23.

Semoga kita sentiasa mengambil iktibar serta bersyukur dengan apa yang kita miliki selama ini..

Friday, October 2, 2009

Gempa Bumi


Nampaknya musim perayaan kali ini hadir bersama musim bencana di merata dunia.
Ribut Tropika Ketsana belumpun berakhir, tiba pula giliran gempa bumi dan tsunami.
Kuasa Allah, tak siapapun yang dapat menghalangnya. Kerajaan Indonesia sudah mula memohon bantuan kemanusiaan antarabangsa (klik sini).

Syukur; saya sendiri pernah merasai sekelumit pengalaman gegaran gempa bumi ketika menginap disebuah hotel di Butterwoth beberapa tahun yang lepas (atas urusan kerja). Kejadian berlaku kira-kira jam 12.30 malam dimana saya yang bersendirian di bilik hotel (tingkat lima) baru hendak melelapkan mata. Tiba-tiba saya rasakan katil bergoyang; langsung tak terlintas berlakunya gempa walaupun ketika itu siri gempa bumi kerap berlaku di Sumatera.

Saya serta merta bangun dan terpinga-pinga, mencari kalau-kalau ada penceroboh. Gegaran kali kedua beberapa saat selepas itu masih tidak menyedarkan saya bahawa gempa sedang berlaku. Ketika itu hati saya terdetik, "ada apa-apa ke bilik ni??, lain macam je..!".

Kali ketiga lebih kuat dan agak lama; cukup untuk membuatkan bukan sahaja katil bergoyang, tingkap dan meja bilik turut bergegar! Gegaran bangunan amat terasa disamping bunyi deruman yang amat menakutkan. Ketika itulah, baru saya tahu, gempa bumi sedang berlaku.

Saya terus bangun dari katil, jenguk keluar tingkap dan kelihatan ramai orang telah turun ke bawah. Keadaan agak cemas, loceng kecemasan kedengaran. Saya benar-benar terasa nyawa terancam; hanya mampu mencapai h/p dan wallet, terus bergegas keluar bilik. Ramai lagi rupanya tetamu hotel di tingkat yang sama yang belum turun ke bawah lagi. Kami sama-sama berlari menuju lif. Setibanya di lif, masing-masing mula panik; nak turun ikut tangga atau ikut lif??

Apabila pintu lif terbuka, kelihatan kakitangan hotel didalam lif tersebut mengarahkan kami masuk. Saya tak fikir panjang, terus masuk dan berserah kepada-Nya. Alhamdulillah, kami selamat sampai ke bawah bersama ratusan tetamu lain. Saya terus menghubungi isteri untuk menceritakan detik cemas tersebut.

Semua tetamu hotel tidak dibenarkan naik ke bilik masing-masing selagi belum mendapat lampu hijau dari pihak bomba walaupun gempa sudah berakhir. Kira-kira jam 1.30 pagi, pihak hotel mendapat pengesahan bahawa bangunan selamat untuk diduduki dan kami pun naik semula ke bilik masing-masing.

Rasanya gempa bumi yang berlaku malam tu amat-amat rendah skala Richternya (berlaku kurang 2 minit!) jika hendak dibandingkan dengan yang berlaku di Padang Indonesia (7.6 pada skala Richter!!); cukup untuk meranapkan bangunan dan membunuh beratus-ratus mangsa serta merta. Namun, ianya sudah cukup membuatkan saya mengucap panjang dan terbayang betapa dahsyatnya gempa bumi yang berlaku di negara lain.

Apapun setiap musibah yang menimpa adalah datangnya dari Allah S.W.T. sebagai memberi peringatan bahawa kepada-Nyalah kita akan kembali, begitulah juga dengan segala apa yang kita miliki.
Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 155 dan 156 yang bermaksud;
“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan , merka berkata : “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali”.









Wednesday, September 30, 2009

Ribut Tropika Ketsana


Dalam pada kita bergembira menyambut Aidilfitri, beberapa kawasan di negara jiran mengalami dugaan bencana alam yang jarang berlaku di negara kita. Apa jua bantuan yang disumbangkan pasti sedikit sebanyak membantu mengurangkan penderitaan yang mereka alami (klik sini). Bersyukurlah..

Wednesday, September 23, 2009

Selamat Hari Raya Aidilfitri 1430H


Ramadan pantas meninggalkan kita. Kita berhak meraikan kemenangan di bulan Syawal ini.
Namun semangat Ramadan seharusnya diteruskan sehingga bertemu lagi di tahun hadapan, Insyaallah.

Galeri Nurani ingin mengucapkan selamat menyambut Aidilfitri, maaf zahir & batin.

Saturday, September 12, 2009

Malam-malam Ramadan


Malam-malam Ramadan berlalu
Aku masih disitu
Menikmati keindahan malam
Tanpa kusedari aku ditinggalkan
Kelalaian..

Malam Ramadan itu
Ketikaku asyik melayan tidurku
Aku diganggu
Mimpi yang membuatku tersedar
Dan termenung seketika
Melihat jam dan menjenguk keluar
Terlihat kilauan bintang dan sinaran rambulan
Yang menyentap fikiranku
Dan baruku tahu
Aku telah mensia-siakan peluang & waktu
Sujud kepada-Mu
Ya-Tuhanku

Ramadan itu
Aku tak mampu terus lesu
Juga untuk aku terus membisu
Menjawab pertanyaan mimpi yang menggangguku
Tentang Ramadan yang kehabisan waktu
Sebelum hari-hari terakhir menjelma
Dan meninggalkanku
Yang belum tentu kutemui
Untuk bersamamu lagi,
Ramadan..


al-Hatt

03/09/09