Saturday, September 21, 2013

Kebesaran-Mu..

Kebesaran-Mu..

Dikeheningan malam
Bintang itu mencuri pandangan
Singgah dihatiku
Mendamaikan
Membuatku berkata-kata..
"Ok, aku harus berhenti dan mula kembali..
tidak ada yang terlewat selagi aku mampu berdiri.."
Walau tidak semudah yang aku harapkan
Tapi tidak sesukar yang aku takutkan selama ini
Bayang-bayang sendiri

Allahuakbar..indahnya perancangan-Mu
Mendengar rayuanku
Dengan menghadirkan sesuatu yang tak disangka-sangka
Hanya dengan sebutir bintang bergemerlapan
Menemaniku sepanjang malam
Dan membangkitkan aku ceria memulakan episod baru
Untuk menjadi hamba yang hampir disisi-Mu..

al-Hatt
21 Sep 2013

Friday, September 20, 2013

P.E.A.C.E.


Artikel tentang nasib menimpa etnik Rohingya disini.

Apa yang berlaku bolehlah diumpamakan seperti sudah jatuh ditimpa tangga.
Lihat diri kita dan muhasabahlah.
Doa saja kah yang mampu kita kirimkan?








Peace..!!
Bagaimana aku mengenalimu??
Ya, melalui kamu..
Tiga yang pertama
Juga tiga ditengahnya
Aman..Damai..
Kusambut seruanmu,
Peace..!

al-Hatt
20 Sep 2013.



Berkiranya aku..

Assalamualaikum,

Selamat berhari Jumaat.
Alhamdulillah, Allah dengan sifat-Nya yang Maha Pemurah menghidangkan kita dengan pagi yang sangat indah dan nyaman.

Saat merenung keluar jendela, menikmati kemurahan-Nya yang "tak habis-habis", teringat betapa "berkiranya" diri ini untuk berbakti pada jalan-Nya.
Hampir kesemuanya diambil kira. Masa, tenaga, wang ringgit, perasaan dan macam-macam lagi.
Sedangkan apa yang harus dibuat itu akhirnya memberi faedah kepada yang empunya diri ini sendiri.

Firman Allah:
"Jika kamu berbuat kebaikan, maka faedahnya adalah untukmu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka berbalik kepada diri kamu juga.."(Al-Israa', ayat 7).

Selamat beramal.


Thursday, September 19, 2013

Bernafas Dalam Iman












Kelihatan seorang bapa mendidik 2 orang anaknya yang comel menuju redha Allah. Gambar diambil saat berada di perkarangan Masjid Nabawi, Jun 2012.

Benafas Dalam Iman

Sementara masih bernafas
Lakukanlah yang terbaik
Dalam mencari redha Ilahi
Bersamanya ada ujian dan jalan berliku
Namun mesti teguh imanmu
Kerana kemanisannya akan membawamu ke Jannah
Juga keberkatan dan kenikmatan hidup di dunia
Walau kau hanya kecil di mata manusia

Disisi-Nya lah matlamatmu
Meraih segenap pahala untuk setiap usaha
Menerima ampunan dosa ketika kau sujud merayu belas ihsan dari-Nya
Tiada yang sia-sia bagi hidupmu walau sekecil zarah
Mahupun sebesar alam maya
Dosa dan pahala pasti dihitung
Satu persatu
Dan tidak akan terlepas
Dan pasti dibalas
Seadil-adilnya
Yang tiada sesiapapun akan mendustakan
Malah mengakui akan kebenaran janji Tuhan
Disaat mereka terkejut menerima pembalasan
Menghuni Neraka ataupun Syurga idaman..

al-Hatt
18 Sep 2013

Monday, September 16, 2013

Balasan Tuhan













Bersempena sambutan 50 Tahun Hari Malaysia.

Tiada sambutan yang lebih bermakna selain memanjat syukur kepada Allah dan terus berusaha dan berdoa agar Negara tercinta ini selamanya dilimpahi rahmat dan berkat.

Semestinya apa yang berlaku (ulangan sejarah) di Palestin, Mesir, Syria dan banyak lagi Negara bergolak sedikit sebanyak memberi kesan dalam lubuk hati kita.
Namun berapa ramai yang benar-benar percaya bahawa Allah, Tuhan pentadbir alam ini tidak akan memungkiri janji-Nya?

Selamat Menyambut Hari Malaysia..

Balasan Tuhan

Sejarah ulang berulang
Kejayaan, Kegagalan, Keadilan, Kezaliman, Kemegahan dan Kemusnahan
Sulam menyulam
Melingkari dunia kecil ini
Merentas benua, bangsa dan agama

Yang menguasai hakikatnya telah dikuasai

Begini;
Kuasa-kuasa besar itu dinaungi penguasa-penguasa kecil
Yang membesar dengan menipudaya mangsa-mangsa yang ditewaskan itu
Dalam satu kitaran yang tidak dapat dilihat mata kasar
Juga sukar diyakinkan dengan fakta serta logika akal
Dimana, kitalah sebenarnya yang membenarkan tipudaya itu berlaku
Yang akhirnya dimanipulasi Penguasa-penguasa kecil itu
Dengan mempergunakan Kuasa-kuasa besar
Untuk menakluk dunia dengan kuasa proksinya

Dan yang pedihnya
Yang tertewas ini tidak menyedari
Bahawa tindak tanduk merekalah sebenarnya yang telah membesarkan kuasa jahat itu
Untuk bertakhta serta menakluk dunia sekehendak nafsu Syaitan
Dengan kesombongan dan keegoan
Semacam dunia ini tidak akan berakhir
Dan tiadanya Hari Pembalasan
Tidak ada Neraka Saqar yang bakal membakar
Diri dan seluruh batang tubuh mereka selama-lamanya!

SaudaraKu,
Percayakah kita dengan janji Allah?
Bagaimana kita boleh percaya dengan janji manusia tapi ragu-ragu dengan janji Allah?
Tahukah kita bahawa Allah tidak akan memungkiri janji-Nya?
Sedarkah kita dihari pembalasan kelak akan dipenuhi neraka itu dengan Jin dan Manusia??
Adakah kita akan termasuk dalam golongan yang akan menyesali dan merayu dikembalikan semula kedunia disaat kita dicampakkan kedalam api yang menjulang?

Adakah kita hidup untuk itu??
Bukankah kita yang menentukan untung nasib kita sendiri?
Adakah dengan nilai hidup kita kini melayakkan kita terkeluar dari senarai ahli neraka??
Tanyalah diri sendiri, adakah kita menempah tiket ke Syurga atau ke Neraka?
Adakah kita tahu bagaimana menempah tiket ke Syurga sebagaimana kita tahu menempah tiket ke Neraka??
Adakah kita tahu bagaimana indahnya hidup bersatu sebagaimana kita gembira melihat perpecahan kita saudara seagama?
Adakah kita tahu rasanya hidup dalam redha Allah sebagaimana kita merasa bangga dan khayal hidup bertuhankan manusia?
Adakah kita sedar bahawa corak hidup serta pegangan kita kini membuka peluang bagi konco-konco Syaitan itu menyelinap masuk dan menyebarluaskan kuasa-kuasa yang asalnya kecil itu menjadi kuasa-kuasa besar menakluk dunia??

Yang kesudahannya kita hanya mampu menyalahkan serta bangga menuding jari
"Inilah kerja Yahudi!!!!"
"Inilah kerja musuh Islam!!!!"
Yang sebenarnya bermula dalam diri kita sendiri!!!!!
Siapa antara kita yang sedar akan putaran zalim ini??

Yang dizalimi itulah yang sebenarnya menzalimi..
Bukankah apa yang berlaku itu semua balasan dari Tuhan??

Ya Allah, Tuhan yang Maha Pengampun.
Ampunilah segala dosa hamba-hambaMu ini..

al-Hatt
16 Sep 2013

*Karya sebagai peringatan khas buat diri sendiri..

Lurus..Teguh..

Petikan Hadis 40 Imam Nawawi:

Daripada Abu 'Amr Sufyan Bin Abdullah al-Tsaqafi r.a. berkata. Aku berkata:
"Wahai Rasulullah, katakanlah kepadaku satu ungkapan tentang Islam, yang saya tidak memintanya seorang pun kecuali kepadamu.'
Rasulullah SAW bersabda: " Katakanlah, aku beriman kepada Allah, kemudian istiqamahlah."

Lurus..Teguh..

Keluarlah engkau dari khayalanku!!
Aku tak mampu hidup dengan kilauan bayanganmu!!
Ya Allah bantulah daku
HambaMu ini ingin lari dari hasutan Syaitan
Rejamlah Syaitan itu mengganggu fikiranku!
Rejamlah ia!!
Aku telah miliki segalanya
Kufur nikmatkah aku?
Ujian apakah ini?
Jauhkan aku darinya
Aku ingin jauh darinya..

al-Hatt
15 Sep 2013

Saturday, June 1, 2013

Ulangtahun














(Pemandangan Jeddah dari udara, menjelang Maghrib)

Assalamualaikum,

Lama meninggalkan laman ini. Kali terakhir dengan cerita dan paparan gambar Saudara Malik Abdul Aziz, berlatarbelakangkan Kaabah yang tersergam indah.

Saat ini lambaiannya sangat mengujakan selepas hampir setahun yang lalu mengunjunginya.
Doa dan harapan agar kami dipertemukan lagi tahun ini!!

25 May yang lalu saya dan Isteri menyambut ulangtahun pernikahan yang ke-10. Sambutannya biasa-biasa sahaja. Bahagia..
Dan hari ini, ulangtahun hari saya pula. Alhamdulillah..
Masa kian singkat, jauh lagi yang harus ditempuhi. Hanya kepada-Mu lah ya Allah aku berserah dan memohon..

Sesekali terdengar sajak nukilan seorang Hamba Allah di Radio IKIM.fm. Berbekas dihati.
Sekadar ingin berkongsi..

Kita Bina Hidup Ini
Kita bina hidup ini
dengan kecukupan bukan dengan kelebihan
dengan kejayaan bukan dengan kecemerlangan
dengan kemudahan bukan dengan kesenangan
dengan keperluan bukan dengan kemahuan
dengan kebaikan bukan dengan kesempurnaan
dengan kekayaan bukan dengan kemewahan
dengan kesediaan bukan dengan ketahuan.

Kita bina hidup ini                                
bukan dengan manisnya janji tapi dengan pahitnya mengotakannya
bukan dengan indahnya kata tapi dengan sukarnya menyuarakannya
bukan dengan tingginya darjat tapi dengan payahnya memikulnya
bukan dengan banyaknya ilmu tapi dengan kurangnya mendiamkannya
bukan dengan panjangnya nyawa tapi dengan pendeknya mensia-siakannya.

Kita bina hidup ini
dengan mimpi menjadi nyata bukan dengan nyata bertukar mimpi
dengan angan menjadi cita bukan dengan cita bertukar angan
dengan beri menjadi jujur bukan dengan jujur bertukar beri
dengan nokhtah menjadi langkah bukan dengan langkah bertukar nokhtah.

Kita bina hidup ini
bukan untuk terus hidup
tapi untuk hidup seterusnya.


( Mustafa Shamsuddin, Amman Jordan

Berita Minggu, 14 Feb 2010 }

Jumpa lagi..

al-Hatt
1 Jun 2013

Friday, July 16, 2010

Malik Abdul Aziz


Air mata Tyson gugur di Kaabah (klik)

Susunan SITI AINIZA KAMSARI
Dahulunya beliau digeruni tetapi di hadapan Kaabah ini Tyson adalah yang paling mengharapkan keampunan Allah.

DI saat Afrika Selatan menjadi kiblat ramai penduduk dunia yang ralit menyaksikan aksi-aksi hebat Piala Dunia 2010, lain pula kisahnya yang berlaku kepada seorang bekas atlet terkemuka dunia.
Peninju terkenal dunia yang juga bekas juara heavyweight, Mike Tyson, 44, tidak mempedulikan kemeriahan pesta bola sepak itu. Tumpuan kepada ibadat berkiblatkan Kaabah yang betul-betul berada di hadapan matanya.
Itulah pertama kali Tyson mengerjakan ibadah umrah di Mekah dan Madinah sehingga air matanya tertumpah di Masjid Nabawi dan Masjidil Haram.
Umum mengetahui beliau memeluk Islam ketika dalam penjara pada tahun 1995 atas kesalahan merogol bekas Ratu Cantik Amerika, Desiree Washington.
Sejak itu beliau tidak lagi mahu dikenali dengan nama sebenarnya Michael Gerard Tyson, tetapi sebagai Malik Abdul Aziz sejurus memeluk Islam.
Ia sekali gus tidak mahu dirinya dikaitkan dengan pelbagai gelaran sebelum ini termasuklah Iron Mike, The Baddest Man on the Planet, The Baby Bull dan Kid Dynamite.

Juara kategori heavyweight sebanyak 44 kali dari 58 perlawanan itu memeluk Islam dengan kerelaan sendiri.
Namun pengislaman Tyson sering dipersoalkan. Bukan sahaja perwatakannya dilihat tidak berbeza sebagaimana sebelum memeluk Islam, ada pula yang berusaha supaya peninju yang terkenal dengan aksi yang cukup menakutkan lawan itu kembali ke agama asal.
Malah perjalanan hidup Tyson sebagai seorang Islam juga jarang-jarang diketahui umum.
Kali terakhir kita mendengar kisahnya ialah apabila tragedi yang menyayat hati berlaku kepada anak perempuannya, Exodus, 4.
Anaknya meninggal dunia akibat leher terbelit tali pada sebuah alat senaman treadmill dalam kemalangan yang tidak diduga pada Mei 2009.
Tidak dapat dibayangkan betapa sedihnya Tyson apabila kehilangan anak perempuannya itu.

Bercakap soal anak, beliau dikatakan mempunyai tujuh orang anak. Namun daripada sumber yang boleh dipercayai, perkahwinan pertamanya dengan artis Robin Givens pada tahun 1988 tidak dikurniakan anak.
Selepas bercerai, Givens melempar pelbagai tuduhan terhadap Tyson sebagai seorang yang ganas, bagaikan hidup dalam neraka sepanjang perkahwinan mereka sehingga menyebabkan beliau pernah keguguran.
Mengenai dakwaan Givens itu, Tyson pernah berkata: “Sesiapa yang mempunyai akal yang waras pasti tahu kalau benar saya hendak menumbuk isteri saya sendiri pasti kepalanya akan tercabut dari badan (akibat kuatnya tumbukan). Semua ini hanya tipu belaka, dia menipu. Sedangkan hujung jari pun saya tidak pernah berkasar dengannya”.

Tyson kemudiannya mengahwini Monica Turner pada 1997 tetapi berakhir dengan perceraian pada tahun 2003.
Sebabnya, Turner tidak tahan dengan perangai Tyson yang dikatakan mempunyai hubungan sulit dengan ramai wanita sepanjang lima tahun perkahwinan mereka. Mereka dikurniakan dua anak iaitu Rayna dan Amir.
Sehinggalah selepas 10 hari kematian Exodus, Tyson dilaporkan mengahwini isteri ketiganya, Lakiha Spicer, 32, teman wanita lamanya yang sebelum ini mereka telah mempunyai anak perempuan bernama Milan.
Tiga lagi anak Tyson ialah D’Amato dan Mikey yang masing-masing lahir pada tahun 1990. Miguel yang lahir 2002 bersama Exodus yang meninggal dunia pula tidak diketahui siapakah ibu kandung mereka.
Namun kini dikatakan anak-anak itu adalah dalam jagaan Tyson.

Pada awal Mei lalu, Tyson berkata: “Saya kini benar-benar hidup dalam keadaan papa kedana malah muflis. Tetapi saya mempunyai kehidupan yang sangat mengagumkan.
“Saya mempunyai isteri yang hebat, yang begitu mengambil berat mengenai saya. Walaupun hidup tidak semewah dahulu tetapi saya sangat bersyukur walaupun saya sebenarnya tidak berhak untuk mempunyai seorang isteri dan anak-anak. Mereka kini harta saya dan saya bersyukur dengan pemberian tuhan ini.”

Namun sejak memeluk Islam, Tyson pernah mengaku perkara yang paling ditakuti dalam hidupnya kini ialah Allah.
“Saya takut kepada Allah. Saya tahu saya banyak buat perkara yang jahat dan salah yang kesemua itu hanya melayakkan saya masuk dalam neraka sahaja. Namun saya tetap memohon keampunan daripada-Nya setiap hari,” kata Tyson yang menggemparkan peminat sukan tinju apabila menggigit telinga lawannya.
Namun tahukah anda terdapat petikan yang menarik daripada Tyson apabila bercakap soal agama?
“Masing-masing berkata mereka mempercayai tuhan tetapi mereka tidak melakukan apa yang tuhan suruh, tidakkah itu hipokrit namanya,” soalnya.

Atas kesedaran dan keinsafan, buat pertama kalinya Tyson menjejakkan kaki ke tanah suci Mekah dan Madinah pada awal Julai lalu melalui Pertubuhan Dakwah Kanada (CDA) yang memberi peluang kepada bekas peninju itu berada di sana selama sebulan.
Beliau bukan sahaja berpeluang mengerjakan ibadat umrah malah akan dibawa bertemu para pemimpin dan tokoh agama Arab Saudi selain melawat pelbagai tempat menarik bagi memperkenalkan budaya dan tradisi setempat.
Tidak dinafikan setiba beliau di Madinah, Tyson dengan cepat menjadi perhatian para jemaah dan penduduk kota itu yang menyebabkan kawalan ketat terpaksa dilakukan.
Namun sebagaimana yang dilaporkan oleh kebanyakan media, Tyson mengakui mendapat pelbagai pengalaman rohaniah selama berada di bumi suci Islam itu.
“Saya sungguh gembira kerana masih mempunyai para peminat yang mengasihi saya di Arab Saudi ini. Tetapi saya berharap mereka dapat meninggalkan saya sendirian untuk menikmati saat-saat keimanan yang sungguh indah di tanah suci ini.
“Saya tidak mampu menahan air mata ketika mengetahui saya berada di salah satu taman-taman syurga (raudah) di sini,” ujarnya terharu ketika berada di Masjid Nabawi.
Sebagaimana gambar yang dikirimkannya sendiri melalui Twitter, Tyson kelihatan begitu gembira berada di hadapan Kaabah. Air mukanya jelas membayangkan kegembiraan yang sukar untuk diungkapkan melalui kata-kata.
Antara komen yang menarik ditulis pada gambar tersebut, termasuklah: “Saudara Mike, apabila berada di hadapan Kaabah ini, anda kelihatan begitu gagah perkasa dan sangat hebat yang pernah saya lihat sepanjang usia anda. Anda adalah lelaki yang paling kuat di dunia apabila anda adalah yang paling sujud ke bumi menyembah Allah!”
Tumbukan ‘TKO’ Mike Tyson kini tinggal sejarah namun Malik Abdul Aziz yang berjubah dan berkopiah kelihatan lebih gagah. Semoga imannya juga sehebat si kulit hitam, Bilal bin Rabah!

Arah Kiblat Yang Satu


MUI MEMBETULKAN ARAH KIBLAT INDONESIA (Klik)


16/07/2010 2:42am
JAKARTA 16 Julai – Majlis Ulama Indonesia (MUI) mengeluarkan fatwa membetulkan arah kiblat solat bagi umat Islam di Indonesia dari arah barat menjadi arah barat laut mulai Rabu lalu.
Ketua Suruhanjaya Fatwa MUI, Anwar Ibrahim berkata, majlis itu tidak memberikan perincian mengenai ukuran darjah perubahannya kerana ia akan bergantung kepada kedudukan wilayah masing-masing di Indonesia.
Dengan pengeluaran fatwa baru ini, MUI meralat fatwanya sendiri yang dikeluarkan 22 Mac tahun ini yang antara lain menetapkan kiblat solat bagi Indonesia ialah arah barat kerana negara ini berada di sebelah timur Mekah.
Kiblat bagi umat Islam yang bersolat di Masjidil Haram Mekah ialah mengadap ke bangunan Kaabah (ainul kaabah) sementara kiblat bagi orang bersolat yang tidak dapat melihat Kaabah ialah ke arah Kaabah (jihat al-Kaabah).
Beberapa laporan media tempatan menyatakan bahawa setelah perkiraan semula dilakukan oleh ahli Falaq, mereka memutuskan bahawa arah yang selama ini diyakini itu salah kerana ia mengadap ke Afrika, ke arah Somalia, Kenya dan Tanzania.
"Indonesia itu letaknya tidak di timur Kaabah tapi agak ke selatan, jadi arah kiblat kita juga tidak barat tapi agak miring iaitu arah barat laut,” kata Ketua MUI Ma”ruf Amin yang dipetik oleh agensi berita Antara.
Namun Ketua MUI itu meminta masyarakat Islam di Indonesia tidak panik dengan perubahan arah kiblat itu.
"Tidak mutlak arahnya, kerana yang dituju bukan Kaabah secara fizikal tetapi jihat (arah) Kaabah, dan itu boleh berbeza-beza di setiap tempat,” kata seorang lagi pemimpin MUI Amidhan.
Para pemimpin MUI menyatakan bahawa pembetulan arah kiblat itu tidak harus dibuat dengan merombak kedudukan bangunan masjid, tetapi cukup dengan menyesuaikan garis saf (barisan) solat dengan kiblat yang sebenarnya.
Sementara itu sejumlah masjid di Indonesia didapati belum membetulkan arah kiblat masing-masing dengan alasan belum mendapat pemberitahuan rasmi daripada MUI. – Bernama

al-Hatt: Berita ini boleh dikategorikan sebagai sesuatu yang pelik tapi benar. Sudah sekian lama saudara kita di Indonesia menghadap arah kiblat yang telah ditetapkan (terutama di Masjid dan surau). Bila sahaja mengetahui berita tergempar ini, tentunya mereka mula merasa was-was dan tertanya-tanya arah mana dan banyak mana nak di laraskan mengikut arah barat laut itu!
Kita umat Islam di Malaysia juga wajib mengambil berat dan belajar dari isu ini. Lebih-lebih lagi arah kiblat solat kita dirumah yang kebanyakannya tiada petunjuk arah yang jelas. Ikut suka tebar sejadah je. Kiri sikit la, ikut penjuru rumah la, tegak menghadap dinding la, hentam saja la!

Thursday, July 1, 2010

Ibu Tua (Sambungan)

Tersebutlah kisah yang tertulis
Akhirnya Ibu Tua pergi menghadap Ilahi
Maka berebutlah semua yang dikasihi menatap wajahnya buat kali terakhir
Dari ceruk rantau dan segenap pelusuk darah daging
Bersilih ganti memeluk cium dan memohon ampun
Menghadiahkan ayat-ayat suci dan memanjat doa
Yang dahulunya tak diambil peduli
Ketika mana si Ibu Tua merintih menagih simpati

Selangkah meninggalkan Ibu Tua sendirian
Maka bertebarlah warisnya
Membuat hal sendiri melayan tuntutan peribadi
Seperti tiada apa yang berlaku
Barangkali talkin yang dituju belum mampu menghadirkan rasa insaf
Apalagi alam barzakh kelihatan masih jauh
Manakala dunia ini juga masih utuh
Apa yang perlu dirisaukan?
Ego ini mesti dipertahan!

Kini Ibu Tua pasti merasa aman
Setelah meninggalkan keindahan dunianya
Yang disaat ini sedang memperdaya
Serta melayan jiwa dan raga
Para warisnya..

al-Hatt
1 Julai 2010