Monday, November 18, 2013

Taman Syurga- Kuliah Maghrib~16 Nov 2013

Nota Kuliah Maghrib~16 Nov 2013.
Masjid Tmn. Sri Pulai Perdana, JB.

Tafsir Al-Quran: Surah Ali Imran, Ayat 15.

1- Sebagaimana kita suka orang lain membaca buku, rencana, blog atau apa saja hasil dari penulisan kita, maka lebih lagi Allah menyukai akan hambaNya membaca dan memahami isi kandungan Al-Quran.

2- Maksud ayat 15, Surah Ali Imran:
Katakanlah: "Inginkah aku kabarkan kepadamu apa yang lebih baik dari yang demikian itu?" Untuk orang-orang yang bertakwa (kepada Allah), pada sisi Tuhan mereka ada syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; mereka kekal di dalamnya. Dan (mereka dikurnia) isteri-isteri yang disucikan serta keridaan Allah: Dan Allah Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya.

3- Takwa bermaksud mengerjakan segala perintah Allah SWT dan meninggalkan segala laranganNya.

4- Pada zaman Arab Jahiliyah, mereka tidak beriman kepada Allah SWT kerana mereka berpendapat bahawa merekalah yang lebih baik dari orang Islam (yang kebanyakannya terdiri dari golongan hamba dan fakir miskin). Dengan itu mereka menyangka Allah lebih menyayangi mereka berdasarkan status kedudukan mereka pada waktu itu.

5- Masyarakat Arab Jahiliyah percaya bahawa Allah yang menciptakan mereka dan alam semesta.
Namun cara mereka beriman ialah dengan mensyirikkan Allah.

6- Jika kita lihat dalam senario masa kini, ramai umat Islam sendiri merasakan bahawa Allah SWT menyayangi mereka dengan segala kurniaan dan kekayaan berbanding dengan apa yang dilalui oleh golongan miskin atau mereka yang ditimpa kesusahan.
Hakikatnya Allah hendak menguji mereka dengan ujian kesenangan hingga tiba ke satu tempoh tertentu agar mereka terus leka dan lalai.

7- Umat Islam kini dilanda krisis identiti bilamana mengaku sebagai umat islam tetapi sukar untuk mentaati perintah Allah. Contoh mudah ialah seruan mengerjakan Solat.
Tidak ramai yang mengerjakan solat secara berjemaah di Masjid walhal ganjarannya sangat lumayan iaitu memperoleh 27 kali ganda pahala berbanding solat bersendirian.

Analogi mudah: Anda mengerjakan solat isyak dirumah seorang diri sebanyak 27 kali (bersamaan 108 rakaat). Mampukah anda mengerjakannya? Berapa tempoh masa yang diperlukan untuk melengkapkan solat sebanyak 27 kali itu?
Maha Pengasihnya Allah itu diberikan kemudahan tetapi sedikit sahaja yang merebutnya.

8- Kenapa Allah tak menghancurkan kezaliman dan penindasan yang berlaku diseluruh dunia?
Ini kerana Allah ada perancangan tersendiri dengan membiarkan golongan zalim itu dalam kesesatan. Dengan maksud Allah mengizinkan sesuatu itu berlaku bukan dengan keredhaan Allah.
Inilah yang dinamakan Istidraj.

Wallahu a'lam.
alHatt

Taman Syurga- Kuliah Subuh (16 Nov 2013)















Nota Kuliah Subuh~ 16 Nov 2013.
Masjid Tmn. Sri Pulai Perdana, JB.

Topik Kuliah Subuh masih berkisar tentang sambutan tahun baru 1435H.

1- Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menjadikan Maal Hijrah dan bulan-bulan Islam sentiasa diceritakan dan diingatkan terutama kepada ahli keluarga. Mudah-mudahan kefahaman terhadap bulan-bulan Islam itu lebih menonjol berbanding bulan-bulan masehi.

2- Maal Hijrah bermaksud menghayati peristiwa hijrah Baginda Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah.
Zaman Jahiliyah bukan bermaksud orang Arab ketika itu jahil dalam setiap urusan kehidupan.
Mereka sebenarnya maju dalam segala hal. Jahil disini bermaksud kekufuran mereka terhadap Allah SWT.

3- Penetapan tahun Islam diputuskan pada zaman pemerintahan Khalifah Sayyidina Umar Al-Khattab.
Ini bagi memudahkan umat Islam mengetahui dan menjejak tahun berlakunya peristiwa penting dalam sejarah Islam.
Memandangkan Hijrah Rasulullah SAW itu satu titik tolak kebangkitan Islam, maka ianya telah dijadikan permulaan bagi tahun dalam kalender Islam.

4- Allah mengutus Rasulullah SAW, untuk mengajak manusia kembali kepada fitrah iaitu untuk menyembah Allah. Arab Quraish percaya akan kewujudan Allah tetapi mereka masih tetap menyembah berhala.
Selama 13 tahun Rasulullah SAW bersama pengikutnya dihalang untuk berdakwah dan hidup dalam keadaan terseksa. Kemuncaknya komplot untuk membunuh Rasulullah SAW yang akhirnya diperintahkan Allah untuk berhijrah ke Madinah.

5- Mengambil iktibar penghijrahan Rasulullah SAW,  kita pada hari ini melalui cabaran kehidupan yang berbeza. Umat kini perlu meningkatkan kefahaman tentang Islam melalui sumbernya iaitu Al-Quran dan Hadis.

6- Tanggungjawab umat Islam terhadap Al-Quran ada 5:
Pertama: Beriman bahawa Al-Quran adalah wahyu yang benar.
Kedua: Baca Al-Quran dan jadikan ia budaya dalam diri sendiri dan keluarga.
Ketiga: Berusaha untuk fahamkan maksud dan tafsirannya.
Keempat: Beramal dengannya.
Kelima: Menyampaikan/sebarkan isi kandungan Al-Quran.

7- Tumbuhnya amalan ajaran-ajaran sesat adalah disebabkan pengamalan agama yang tidak bersumberkan Al-Quran dan Hadis. Adalah menjadi tanggungjawab setiap Muslim untuk menyelidik dan mengkaji sesuatu perkara baru yang ditimbulkan kumpulan-kumpulan tertentu agar tidak terjebak dalam kumpulan ajaran sesat termasuklah Syiah.

8- Amal Makruf Nahi Mungkar- hendaklah dimulakan dari dalam rumah iaitu dalam lingkungan keluarga sendiri. Contohnya ajakan untuk bersolat, menutup aurat yang betul dan juga pembentukan akhlak mulia.

9- Jasa dan pengorbanan Rasulullah SAW dan para Sahabat tidak boleh dipersiakan.
Kita menikmati nikmat beragama Islam atas pengorbanan mereka. Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab kita untuk sampai dan sebarkan Islam.
Mulakan Hijrah kita dengan menyampaikan dan menyebarkan seruan Allah.

Wallahu a'lam.
alHatt.

Sunday, November 17, 2013

Sindrom 5-HT












Sindrom 5-HT
5-HT
adalah neurotransmitter
yang membawa kepada rasa gembira dan bahagia
dalam diri manusia
Yang merasai nikmat itu
Tanpa sedar kehadirannya..

Ironinya
Kefahaman manusia itu terbatas
Selalu mengikut akal dan nafsu
Membelakangkan iman

Mendabik dada
bukanlah tanda kehebatan
Malah itu tanda kegagalan
Dan kegagalan itu selalu meletakkan manusia jauh
Dari titik kesedaran ketuhanan

Bilamana seseorang itu memungkiri janjinya dengan Tuhan
Jauh menyimpang dari landasan keinsafan
Maka mulalah terik mentari dipersalahkan
Walhal suluhan cahayanya menyinari sekalian alam
Membawa rahmat
Membangkit semangat jiwa yang mati
Walau sebenarnya ia juga menjadi pembakar
Ego manusia yang tak pernah puas
Mengejar duniawi
Yang sentiasa menyilau pandangan
Dari melihat kebenaran

Selagi hidup
5-HT akan tetap mengalirkan
rasa gembira dan bahagia itu
Kedalam diri manusia
Hanyasanya manusia itu sendiri
Tahu dan mahu mensyukurinya

Atau lebih dari itu
Manusia mengambil iktibar
Berperanan seperti 5-HT
Hadir membawa gembira tanpa disedari..

alHatt
17 Nov 2013

Friday, November 15, 2013

Kempen "Hari Selamatkan Al-Aqsa dan Al-Quds"











Al-Aqsa
Kau jadi rebutan
Sejak dulu mejadi medan pertempuran
Ramainya para Syuhada terkorban
Mempertahankanmu
Hanya dengan benih keimanan
Yang disemai hingga menjadi senjata ampuh
Menakutkan musuh
Yang akhirnya tewas
Dan menyerahkan kesucianmu
Kepangkuan kami
Pewaris Tanah Suci

Al-Aqsa
Siapa pewarismu kini?
Lain dan tak bukan; Umat Islam seisi alam!
Namun yang sanggup berkorban untukmu segelintir cuma 
Kerana selebihnya ibarat buih-buih dilautan
Tidak berguna!!

Al-Aqsa
Sayang sekali
Ramai antara kami sendiri melupaimu
Ketika ini ramai yang tidak ambil tahu
Saat ini ramai lagi yang buat tak endah
Akan usaha jahat Regim Zionis
Untuk merampasmu dari tangan kami!

Nilai umat kini sangat murah
Impian hanya mengejar keseronokan dunia
Yang melalaikan dan sementara
Al-Aqsa bukan lagi bualan utama
Dan itulah simbol kejayaan Zionis dan konconya
Tanda misi mereka melemahkan umat Islam telah berjaya!

Al-Aqsa
Kau akan menjadi saksi
Adakah umat ini mampu mempertahankan
Atau akhirnya menyerahkanmu tanpa tanda penyesalan
Kerana itulah bukti
Kelemahan Iman dan Kesatuan
Umat akhir zaman
Yang hidup umpama buih-buih dilautan..

alHatt
14 Nov 2013.
......................................................................

Assalamualaikum,

Hari ini, Jumaat 11 Muharram 1435/ 15 Nov 2013.
3 hari yang lalu saya terima perkongsian dalam Facebook dari seorang sahabat berkenaan dengan seruan dari Kesatuan Ulama Islam Sedunia seperti berikut:

"Kesatuan Ulama Islam Sedunia menyarankan umat Islam seluruh dunia agar menjadikan hari Jumaat, 18 Muharram bersamaan 22 November depan sebagai "Hari selamatkan Al-Aqsa dan Al-Quds".

Dalam kenyataan hari ini, kesatuan yang diketuai oleh Syeikh Yusuf Qaradhawi itu meminta umat Islam mengkhususkan hari berkenaan bagi menghangatkan kembali isu Palestin bagi menyedarkan ummat kepentingan memelihara Masjid Al-Aqsa melalui khutbah-khutbah Jumaat, seminar dan nadwah serta doa munajat."


Saya tidak pasti apakah reaksi sebenar umat Islam di Malaysia terhadap seruan yang tak berapa ramai nak tekan "Like" di laman Facebook ni.

Juga kepada Jabatan-jabatan Agama, samada akan ada Khutbah Jumaat khas di setiap Masjid di seluruh Negara, mahupun persatuan atau NGO yang akan menganjurkan seminar, kempen serta perhimpunan.

Harap-harap ada. Kita perlu sentiasa diingatkan lagi dan lagi kerana lumrah manusia itu mudah lupa.

Beberapa hari lalu juga kita dikejutkan dengan cadangan Regim Zionis untuk membahagikan ruang Masjid Al-Aqsa antara umat Islam dan Kaum Yahudi, dengan alasan yang tak masuk akal.
Mereka mendakwa di bawah Masjid Al-Aqsa itulah terletaknya kuil zaman purba yang dikenali sebagai "Temple of Solomon". Rujuk di sini.

Lihatlah betapa beratnya beban yang ditanggung Al-Aqsa.

Peranan kita mungkin kecil, kesannya juga kecil.
Berhimpun, mencambah kesedaran, mengaminkan doa, boikot, menghantar memorandum bantahan dan lain-lain lagi.

Namun ingatlah.
Allah tidak menilai hasil atau kesan atas apa yang kita telah atau akan kita lakukan.
Allah menilai usaha yang kita telah buat dengan niat yang ikhlas.
Oleh itu janganlah hendaknya kempen dan usaha sebegini diperlekehkan atau dipandang sebelah mata sahaja.

Lakukanlah sehabis baik.
Sekadar berkongsi bait-bait lirik lagu "Jalan Kita" (AlFarabiband)..

"Tapi awaslah dan ingatlah
Dalam diri penuh dugaan
Nafsu syaitan sentiasa menghalang
Kuatkan iman tingkatkan taqwa
Bermujahadah dan istiqamah
Jangan mudah menyerah kalah!!

Tegakkan Islam dengan jemaah
Supaya terbangun ummah
Kuatkan hubungan dengan Allah
Hubungan sesama manusia
Sucikan hati bina peribadi
Inilah dia jalan kita"


Inilah jalan yang dilakukan umat terdahulu hingga berjaya mewariskan bumi Al-Aqsa kepada kita.

Sanggupkah kita nanti menjadi umat yang tercatat dalam sejarah sebagai umat yang melepaskan Al-Aqsa ke tangan Zionis??

Apakah itu yang kita mahu??

Semoga usaha kecil ini memperoleh keberkatan..

alHatt
11 Muharram 1435H

Monday, November 11, 2013

Awan Nano















Indahnya Ciptaan Allah- Tak tercapai jejariku..
Gambar Umrah- Jun 2012
..............................................
Awan Nano
Lihat ke arah sana
Serakan warna dan berarakan
Awan

Pabila terik panas
Segera hadirnya memayungi diri
Pabila kau dahaga
Sesegera turun hujan melimpahkan kasihnya
Pabila kau katakan
Akulah awan itu yang kau mahu

Begitulah awan nano
Setia melindungi diri
Tika panas mencuba menggores pipi
Dan bibirmu

Begitulah awan nano
Sering saja tak terduga hadir
Dan tak akan tercapai jejarimu

Kasihnya
Kasih tiada banding
Setia tiada tara
Bagaimanapun jua
Awan kekasih sebenarmu sayang
Walaupun tak akan tercapai jejarimu

Lihat diriku ini
Yang sesekali pernah kau bagaikan awan
Sehingga tak mungkin terlupa
Berikan belas sedari dulu

Sehingga tak mungkin termampu saksi
Setitis pun air matamu kasihku
Sehingga kau katakan
Akulah awan itu yang kau rindu

Akulah awanmu yang sedia
Melindungi dirimu tika panas mencuba menggores pipi
Dan bibirmu
Akulah awanmu yang sering kau rindu
Dan tak terduga hadirmu walau tak tercapai jejarimu

Kasihku
Kasih tiada banding setia tiada tara
Bagaimanapun jua
Aku pelindung dirimu sayang
Walaupun tak akan tercapai jejarimu

Begitulah awan nano
Setia melindungi diri tika panas mencuba menggores pipi
Dan bibirmu

Begitulah awan nano
Sering saja tak terduga hadir
Dan tak akan tercapai jejarimu

Kasihku
Kasih tiada banding setia tiada tara
Bagaimanapun jua
Aku pelindung dirimu sayang
Walaupun tak akan tercapai jejarimu

Artis: Hafiz

"Aku Belum Baik Lagi.."

Jam 5 pagi
Waktu bangkitku
Suasana sejuk
Beratnya badan ini

Kedengaran bunyi hujan
Terus menggamit perhatian
Kuselak langsir
Melihat keluar jendela
Hujan renyai
Membasahi bumi yang sunyi sepi

Akupun terus bangun
Melawan sejuk yang mendamaikan
Tak perlu dilayan nafsu tidur ini
Malam tersisa harus dimanfaat
Sebelum fajar menyinsing

Dan itulah rutin harian yang payah kupertahan
Ku mohon istiqamah..

Jam 7 pagi,
"Alamak, hujan tak berhenti lagi.
Banyak pula kerja nak buat pagi ni.."

Ku redah jua
Menghantar anak ke sekolah
Pergi ke pasar dan beli barang keperluan
Sempat aku menoleh tajuk utama deretan akhbar
Dan mataku terpaku
Terkejut membaca tajuk berita

Taufan Haiyan ragut lebih 10,000 nyawa di Filipina

 
Sebuah kapal terdampar di daratan selepas dipukul tiupan angin kencang daripada Taufan Haiyan di Tacloban.


MANILA - Pulau Leyte, wilayah tengah Filipina kini bagaikan padang jarak padang tekukur selepas dibadai Taufan Haiyan yang merupakan ribut paling kuat di dunia pada tahun ini dengan meragut lebih 10,000 nyawa, kata seorang pegawai kerajaan semalam.
Angka tersebut diumumkan ketika pasukan penyelamat bertungkus-lumus dalam usaha untuk menyelamatkan bilangan mangsa Taufan Haiyan yang terus meningkat.
Taufan yang bertiup selaju 315 kilometer sejam (km/j) itu mencetuskan ombak besar seperti tsunami yang melanda pulau-pulau di Filipina sejak Jumaat lalu.
---------------------------------------

Astaghfirullah..
Aku lihat diri ini
Hujan renyai pagi tadi pun aku ungkit-ungkitkan
Bayangkan jika aku bangun tadi
Sekelilingku hancur musnah
Keluargaku semua tiada lagi
Dan aku menjerit seorang diri
Bayangkan, apa yang mampu aku lakukan?

Kelmarin, aku maklumkan kepada seorang Sahabat,
"Ujian Itu Nikmat.."
Pagi ini aku cuba memahami
Hakikat nikmat atas ujian bencana taufan Haiyan

Apa yang pasti
Aku belum sebenarnya diuji
Amalku sedikit cuma
Syukurku entah apa-apa
Hakikat yang harus ku akui,
"Aku Belum Baik Lagi.."

alHatt
11.11.13

Thursday, November 7, 2013

"Bapak"















Bapak dan Mak bersama sebahagian cucu-cucunya-
Hari Raya 2013.
...................................

"Bapak"

Kisah seorang bapa
Melayan anaknya yang masih kecil
Yang sedang melayan keseronokan dunia
Mengajar bagaimana mengenal Tuhan

Pada suatu hari yang ceria
Si anak melewati batasan hadnya
Sangkanya dia akan terlepas
Dari sesiapapun

Pergilah dia ke sebuah kebun
Bersama rakan sepermainannya
Berjalan kaki ke kebun itu
Yang agak jauh dari rumahnya
Dan terpencil

Di kebun itu
Ada banyak pohon dan dedaunan
Ada reban ayam, itik dan angsa
Ada pelbagai keunikan yang menggamit minat si kecil dan rakannya

Kelihatan sebakul telur ayam
Mungin juga telur itik
Diambilnya satu persatu
Dibaling kedinding
Habis pecah semuanya
Dalam suasana girang dan gembira
Sementara dia belum kenal apa-apa selain keriangan menurut hatinya
Huru-hara hidupan ayam, itik dan angsa

Si kecil dan rakannya pulang dengan seribu kepuasan
Meredah renyainya hujan
Saat tiba dirumah
Si Ibu bertanya..
"Ke mana kau pergi Nak? Kenapa comot begini??"
Si kecil tak menjawab sambil terkenang memori indah bermain di kebun

Lewat petang itu
Bapanya pulang dari kerja
Dipanggil anak itu seraya berkata..
"Tadi main di mana?"
Si anak pun menjawab dengan selamba..
"Tak kemana-mana, main disini saja"

Si Bapa dengan tenang melakar kata..
"Cuba cakap betul-betul.. Allah nampak kamu dan kawan main dikebun.
Bapak tahu.."

Si kecil mula kecut perut
Takut dimarahi bapanya
Maka bapa pun meneruskan katanya..
"Apa yang kita buat semua Allah Nampak.
Kebun itu bahaya untuk kamu. Berdosa pecahkan semua telur itu.
Jangan buat lagi. Nanti lain kali Allah beritahu pada bapak lagi.."

Si kecil cuba memahami kata-kata bapanya..
"Allah melihat perbuatan dia"
Bapanya yang kata begitu

Kini anak itu sudah dewasa
Banyak liku, suka dan duka hidup bersama bapanya
Hinggalah saat bapanya terlantar sakit dikatil hospital
Tiba-tiba dia teringat kembali
Kata-kata azimat bapanya sewaktu dia kecil dahulu
"Apa yang kita buat semua Allah nampak.."

Allah Maha Melihat
Itulah pelajaran yang berguna dari si bapa kepada anaknya

Buat "Bapak" yang sedang sakit
Biarlah mahunya kesakitan itu menghapus dosa
Allah Maha Melihat segala jasa dan pengorbanan yang "Bapak" lakukan
Dan Dia jualah yang selayaknya membalas
Semoga "Bapak" cepat sembuh
Dan dapat terus berjasa dan hampir dengan-Nya..

alHatt
6 Nov 2013

Friday, November 1, 2013

"Iman Mesti Sahih, Amal Mesti Soleh"..Salam 1435H















Panorama indah matahari terbenam, Laut Merah, Jeddah.
Gambar Umrah- Jun 2012.
................................................

Assalamualaikum,

Alhamdulillah, bertemu lagi di hari mulia, Jumaat terakhir dalam tahun 1434H.

Firman Allah dalam Surah Al-Kahfi, ayat 1~10, maksudnya:

Dengan Nama Allah,Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.

1: Segala puji bagi Allah yang telah menurunkan kepada hambaNya, Kitab Suci Al-Quran dan tidak menjadikannya sesuatu yang bengkok.

2: Sebagai bimbingan yang lurus; untuk memberi amaran akan azab yang berat disisi Allah dan berita gembira kepada orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka akan beroleh balasan yang baik.

3: Mereka tinggal tetap dalam balasan yang baik itu selama-lamanya. 

4: Dan juga Al-Quran itu memberi amaran kepada orang yang berkata: Allah mempunyai anak.

5: Mereka tidak mempunyai pengetahuan mengenainya, dan tiada juga datuk nenek mereka; besar sungguh perkataan syirik yang keluar dari mulut mereka; mereka hanya mengatakan perkara yang dusta.

6: Maka janganlah kamu membinasakan dirimu kerana berdukacita terhadap perbuatan mereka, jika mereka enggan beriman kepada keterangan Al-Quran ini.

7: Sesungguhnya Kami jadikan apa yang ada di bumi sebagai perhiasan baginya, kerana kami hendak menguji mereka, siapakah diantaranya yang lebih baik amalnya.

8: Dan sesungguhnya Kami akan jadikan apa yang ada di bumi itu sebagai tanah yang tandus.

9: Adakah kamu menyangka kisah Ashaabul Kahfi dan Ar-Raqiim itu sahaja yang menakjubkan diantara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Kami?

10: Ingatlah ketika serombongan orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: Wahai Tuhan Kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami.
........................................................................

Meraikan sisa-sisa 1434H.
Mengenang banyaknya dosa berbanding pahala.
Tak pasti dapatkah sekali lagi berpeluang menginjak ke tahun baru; 1435H.
Hanya dengan rahmat-Mu..
Lebih dari itu, apalah maknanya jika sekadar beralih tahun manakala aku masih "disini, begini" disisi-Mu.
Ku pohon kekuatan dan istiqamah.

Salam Maal Hijrah.

alHatt
27 Zulhijjah 1434H

Friday, October 25, 2013

Sasaran Paling Panas

Artikel terkini dari Blog Dr. Ismail Ibrahim.

LAST PORT

SASARAN PALING PANAS...
Melihat kepada terkaman dan ancaman yang dihadapi oleh negara kita, maka nampaknya Malaysia telah menjelma menjadi sasaran yang paling panas dari segenap penjuru.
Isu agama menjadi senjata yang paling tajam sekali yang digunakan untuk menikam dan merosakkan sasaran mereka, iaitu bermula dari ancaman akidah, undang-undang dan cara hidup Islam hingga ke  isu-isu tertentu yang turut di campuri urusannya oleh kalangan luar negara, terutamanya tentang penggunaan nama Allah bagi the Herald, yang dibesar-besarkan begitu rupa seolah-olah isu itu merupakan isu hidup dan mati bagi agama lain dari Islam.
Kini di Geneva sedang berlangsung semakan berkala sejagat (Universal Periodic Review - UPR) iaitu satu proses menyemak sejauh manakah kepatuhan semua anggota PBB yang berjumlah 193 negara terhadap ketetapan majlis hak asasi manusia (UNHCR) yang dijalankan setiap empat tahun.
Malaysia diantara negara yang akan menjawab beberapa perkara yang telah dibangkitakan di dalam UPR yang telah diadakan di Geneva pada 11 Februari 2009, yang mengikut sumber berita sebanyak 62 syor telah diutarakan kepada negara kita dan seramai 90 wakil dari negara-negara ahli PBB telah memeberikan pelbagai komen terhadap negara kita.
Kita bukan hanya akan menghadapi berbagai-bagai komen dan keritikan dari negara-negara luar, malah mengikut sumber berita juga, terdapat kira-kira 54 NGO's Malaysia yang dikenali sebagai Comango telah berada di sana, bersedia untuk membuka segala kelemahan dan perlanggaran hak asasi oleh negara kita, menurut perspektif mereka.  
Terdapat 17 perkara yang akan menjadi tuntutan Comango kepada Malaysia yang akan dikemukakan dalam pusingan UPR ini, dan saya tidak mampu untuk mengulas atau membincangkan semua tuntutan itu di sini, kerana pada pandangan saya keseluruhan rakyat Malaysia haruslah mencuba untuk memahami 17 tuntutan ini dengan sebaik-baiknya, dan menilai sendiri apakah perkara-perkara yang dikemukakan ini berasas atau tidak.
Namun yang amat nyata sekali tentang campur tangan Comango dalam tuntutan mereka ialah beberapa perkara mengenai  isu agama dan tradisi, atau budaya dan nilai moral rakyat Malaysia sendiri.
Satu tuntutan yang amat menyentuh kehormatan dan cara hidup rakyat Malaysia pelbagai kaum dan agama ialah "hak untuk privasi, perkahwinan dan kehidupan keluarga" yang saya rasa secara langsung atau tidak langsung menceroboh pegangan agama dan tradisi rakyat Malaysia tentang kelakuan seksual, perkahwinan secara fitrah dan sebagainya, yang diamalkan selama ini oleh semua kaum di dalam masyarakat kita..
Satu tuntutan lain yang jelas ditujukan kepada amalan Islam di negara kita ialah kebebasan beragama yang amat banyak tersirat beberapa amalan yang bertentangan dengan ajaran Islam seperti isu murtad, perkahwinan Islam dan bukan Islam, dan mungkin juga termasuk banyak enekman yang melindungi orang Islam dan keluarga Islam juga.
Sebab itulah telah saya katakan di atas, Malaysia nampaknya menjadi sasaran yang paling panas dalam serangan terhadap amalan agama dan seksualiti songsang yang dilindungi oleh berbagai-bagai peruntukan undang-undang negara kita bagi menjaga amalan agama dan kehidupan keluarga yang sihat, yang juga dilindungi oleh Perlembagaan negara sendiri.
Nampaknya pihak NGO kita, termasuk segelintir NGO Islam sendiri, sedang bergerak menuju ke satu dunia yang bebas tanpa undang-undang sama sekali untuk memberikan kebebasan terhadap kehidupan bertuhan dan mangamalkan kelakuan seksual bebas tanpa terikat lagi kepada tradisi dan budaya bangsa, dan  ajaran agama, terutamanya agama Islam.
NGO sendiri sebenarnya ketika ditubuhkan, di daftar, mendapatkan ahli, melantik pimpinan, membelanjakan wang, membeli, menjual, mengurus harta benda dan sebagainya, terikat dengan banyak peraturan dan undang-undang tubuh mereka yang tidak mungkin dicerobohi. 
Tetapi bila tiba kepada pembicaraan tentang hak asasi manusia, mereka merasakan bahawa segala peraturan dan undang-undang, hanya merupakan sekatan dan kongkongan sahaja terhadap manusia ini, yang seharusnya diberikan segala kebebasan untuk bertindak dan berkelakuan.
Apakah terdapat sebarang organisasi yang tidak mempunyai perlembagaan? Yang tidak mempunyai undang-undang yang seharusnya dihormati?
Berdasarkan hal ini saya rasa bahawa negara kita sememangnya menjadi sasaran untuk dikucar kacirkan, diseleweng dan dihancurkan, terutamanya apabila tiba kepada isu agama dan budaya kita sendiri, khususnya orang Melayu dan agama Islam yang masih bertahan dengan baik di negara kita sebagai "last port" yang belum dimusnahkan.

Brunei vs Malaysia

Assalamualaikum,

Bersempena hari Jumaat yang mulia ini, Galeri Nurani membawakan khabar menarik dari Brunei..

Brunei laksana hukum Hudud

Sultan Hassanal Bolkiah merasmikan Majlis Ilmu 2013 di Bandar Seri Begawan, semalam. - AFP

BANDAR SERI BEGAWAN 22 Okt. - Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, hari ini mengumumkan penguatkuasaan hukum Hudud di negara ini, termasuk melaksanakan hukuman potong tangan ke atas pencuri dan rejam terhadap kesalahan zina.
Jelasnya, undang-undang yang dikenali sebagai Kod Penal Syariah itu, diwartakan, hari ini selepas beberapa tahun diteliti dan dikaji.
Sebelum ini, Sultan Hassanal dalam ucapannya pada satu majlis tertutup di sini pada 10 Oktober lalu berkata, pelaksanaan undang-undang Islam berlandaskan Syariah itu bakal dikuatkuasakan secara berperingkat-peringkat dalam tempoh enam bulan.
Peraturan lain yang bakal dilaksanakan termasuk hukuman sebat ke atas pesalah yang melakukan pengguguran dan minum arak.
"Dengan rahmat Allah, mudah- mudahan penguatkuasaan undang-undang ini akan memenuhi tanggungjawab kita kepada Allah swt.
"Saya berharap undang-undang ini boleh mengukuhkan pengaruh Islam di Brunei yang majoritinya didiami penduduk Islam," katanya.
Negara yang kaya dengan sumber minyak itu dihuni kira-kira 400,000 penduduk dan 70 peratus daripada mereka merupakan penganut Islam dan selebihnya Kristian, Buddha dan agama lain.
Brunei sebelum ini menguatkuasakan gabungan dua sistem peraturan iaitu mahkamah berdasarkan undang-undang Britain untuk kes sivil dan undang-undang Syariah bagi kes peribadi dan isu keluarga.
Kerajaan Brunei turut melarang penjualan dan pengambilan alkohol serta menyekat aktiviti keagamaan dan perayaan agama lain daripada diadakan secara terbuka. - AGENSI

alHatt:
Alhamdulillah, bertambah lagi Negara Islam yang berusaha menegakkan hukum Allah.
Doa semoga Negara kita yang tercinta ini dapat menjadikan Brunei sebagai model dalam pelaksanaan Hukum Hudud.

Mungkin ada yang mengatakan keadaan di Brunei banyak bezanya dengan di Malaysia terutama dari segi populasi, polarisasi kaum, ekonomi, politik dan macam-macam lagi.
Yang pasti, samada BN atau PR, kedua-duanya tidak menunjukkan komitmen yang sebenar untuk laksanakan Hudud ini. Sila rujuk ketetapan parti masing-masing ya..
Namun pokok pangkalnya umat Islam mestilah bersatu. Bukan berpecah dua atau tiga dan banyak lagi seperti sekarang ni.
Barangkali itulah sebenarnya yang membezakan antara Malaysia dan Brunei. 

Bersatulah wahai  Saudara-saudaraku, tak kiralah apa jua fahaman politikmu.

InsyaAllah, semua kesulitan akan dipermudahkan..

Wassalam.