Saturday, April 24, 2010

Suka & Duka

“Aku sering mengeluh bila diuji
Memang selalunya begitu, aku tak tipu
Ujian yang kecil sibuk diperbesarkan
Kemanisan yang diterima dibiar-biarkan
Itulah hakikat diri ini..”

Lama tak bersua. Seperti biasa, kesibukan bekerja seharian menjadi alasan utama.
Cuma kali ni sedikit berbeza bilamana saya dan keluarga amat-amat berbesar hati dan bersyukur menerima kehadiran orang baru dalam keluarga kami.
Lain dan tak bukan, anak bongsu yang juga putera sulung buat saya dan isteri.

Memandangkan lama tak “berbaby” (selepas hampir 4 tahun), kelahiran Muhammad Hadif (nama diberi) memanglah amat dinantikan. Bak kata isteri, sejak hari pertama disahkan mengandung dah rasa tak sabar-sabar lagi! Syukur Alhamdulillah, semuanya selamat.

Dalam pada kami bergembira, selang beberapa hari kemudiannya, kami menerima pula berita sedih akan kematian bayi dalam kandungan saudara sepupu sebelah isteri saya.
Terkedu seketika. Saya tak mampu berkata apa-apa selain menyedari bahawa diri ini amat kerdil.

Diberitakan, bayi sulung pasangan yang telah lama menanti kehadiran cahayamata itu telah mati akibat “kelemasan”. Timbul cerita mengatakan kejadian berlaku akibat kecuaian pihak hospital yang gagal mengesan masalah dari awal selain juga telah membuat keputusan yang salah. Wallahua’lam.

Hanya simpati dan salam takziah yang dapat saya hulurkan. Doa buat pasangan yang diuji Tuhan; Anak itu pasti ke Syurga Ilahi. Dengan izin Allah, kesedihan yang dialami ketika ini akan memberi kegembiraan diakhirat nanti. Bersabarlah.

Sunday, April 4, 2010

H1N1 kembali..

Maksud Firman Allah s.w.t :
"Setiap yang bernyawa akan merasai mati dan sesungguhnya pahala kamu akan dibalas pada hari Kiamat."
( Surah Ali Imran ayat 185 )

Hanya simpati yang mampu kita lafazkan apabila membaca berita sedih seperti dibawah ini. Bayangkan bagaimana agaknya untuk berhadapan dengan ujian sebegini jika melanda diri sendiri?
Semoga Allah SWT memberi kekuatan dan melindungi Saudara Murtaza sekeluarga.

Hilang isteri, mertua akibat H1N1 (klik)

Oleh Norizan Abdul Muhid
pengarang@utusan.com.my
--------------------------------------------------------------------------------
JASIN 3 April - Murtaza Samat, 29, terpaksa menerima hakikat kehilangan isteri dan ibu mertuanya dalam tempoh selang beberapa hari sahaja akibat serangan selesema babi atau virus influenza A (H1N1).
Rabu lalu, kakitangan swasta itu kehilangan ibu mertuanya, Maimunah Dimah, 54, disusuli isterinya, Sumarni Mat Nor, 30, semalam.
Murtaza berkata, isterinya sepatutnya melahirkan anak pada 14 April ini namun selepas mengadu sakit badan, demam dan batuk yang agak teruk, dia membawanya ke Hospital Melaka (HM) pada Rabu lalu.
Ekoran itu, katanya, isterinya terpaksa menjalani pembedahan untuk melahirkan anak pada hari berkenaan.
''Selepas itu, dia terus tidak sedarkan diri sehinggalah dia meninggal dunia semalam.
''Sumarni sempat berpesan supaya menjaga ibunya tanpa mengetahui ibunya sudah meninggal dunia pada hari dia melahirkan anaknya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Batu 14 1/2, Jalan Jasin-Merlimau di sini hari ini.
Murtaza berkata, dia terkilan kerana isteri dan ibu mertuanya tidak sempat melihat anak keduanya.
Menurutnya, ibu mertuanya yang tinggal bersamanya menghidap penyakit kencing manis dimasukkan ke HM selepas mengalami batuk dan sukar bernafas pada Isnin lalu.
''Bagaimanapun, keadaannya agak stabil dan dikuarantin di wad khas HM malah dia kelihatan sihat.
''Namun Rabu lalu, dia disahkan meninggal dunia sebelum sempat melihat cucu yang lahir pada hari yang sama dia pergi meninggalkan kami,'' ujarnya.
Murtaza berkata, dia tidak menyangka kehilangan dua insan tersayang dalam hidupnya itu berpunca daripada penyakit tersebut.
Bagaimanapun katanya, dia tetap bersyukur kerana anak kedua yang belum diberikan nama itu disahkan sihat dan tidak menghadapi sebarang masalah kesihatan.
''Kini, apa yang merunsingkan saya ialah anak sulung saya, Noraina Batrisyah yang baru berusia dua tahun.
''Sehingga kini, dia masih tidak mengetahui kematian ibunya dan beranggapan isteri saya itu sedang tidur," katanya.
Jenazah Sumarni selamat dikebumikan di Muar, Johor semalam manakala ibu mertuanya di Sepang, Selangor.

Saturday, March 27, 2010

Israelisasi

Kedegilan Regim Pengganas Israel untuk membina penempatan haram yang baru di Baitulmaqdis mendapat perhatian sekutu kuatnya, Amerika. Dikhabarkan konon-kononnya pentadbiran Presiden Barack Obama tidak bersetuju dengan peluasan wilayah haram tersebut yang pastinya akan menjejaskan rundingan damai (juga konon-konon) dengan Palestin.

Saya amat konsisten dengan pendirian saya terhadap Obama sebelum ini (klik sini) dan keprihatinan beliau kali ini tidak sedikitpun membuatkan saya bahkan saya yakin seluruh masyarkat antarabangsa yang cintakan keamanan dan memperjuangkan keadilan untuk mempercayainya. Berita hari ini yang memuatkan kenyataan Si Pengganas yang juga Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bahawa regimnya tidak peduli akan desakan Amerika sekadar membuktikan betapa kuatnya pengaruh serta berkuasanya Pengganas Yahudi keatas Amerika.

Obama hanya mampu berkata-kata tanpa dapat melakukan apa-apa..
..............................................................
Israel tidak peduli desakan Amerika

BAITULMAQDIS 26 Mac – Israel tidak akan mengubah polisi tentang Baitulmaqdis, demikian menurut Perdana Menteri Benjamin Netanyahu hari ini selepas mengadakan persidangan dengan Kabinet Keselamatannya, memburukkan lagi pertelingkahan negara Yahudi itu dengan Washington yang mahu rundingan damai dengan Palestin dimulakan dengan segera.
Netanyahu yang kembali dari lawatan ke Washington semalam yang dilihat memburukkan lagi ketegangan dengan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama, berhubung penempatan haram Yahudi termasuk di timur Baitulmaqdis yang merupakan kawasan Arab yang dijajah.
“Pendirian Perdana Menteri tidak berubah ke atas polisi terhadap Baitulmaqdis seperti yang dipegang oleh kesemua kerajaan Israel sejak 42 tahun lalu,” menurut pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan.
AS dilaporkan mendesak Netanyahu mengambil beberapa langkah yang membantu menghidupkan semula rundingan damai dengan Palestin.
Perdana Menteri yang bongkak ini akan mengadakan perbincangan berhubung tuntutan AS ini dalam forum dalaman dengan tujuh menteri kanannya lewat hari ini.
Setiausaha Kabinet, Zvi Hauser berkata, adalah tidak mungkin persetujuan dicapai dengan segera dalam forum tersebut dan beliau turut menafikan laporan media yang menyatakan AS meletakkan waktu akhir memberi jawapan pada malam esok.
“Saya mencadangkan anda menunggu dengan sabar. Forum tujuh menteri sedang diadakan petang ini untuk membincangkan isu ini. Jika terdapat keperluan, rundingan selanjutnya mungkin akan diadakan.
“Semua aspek berhubung isu tersebut akan dinilai dan mereka akan merumuskan kedudukan Israel berdasarkan kepentingan negara ini dan ia memerlukan masa,” kata Hauser kepada radio awam.
Hauser bagaimanapun menolak untuk membincangkan tuntutan Washington dengan terperinci, sejajar dengan pendirian kedua-dua pihak.
Media Israel melaporkan, Kabinet Keselamatan yang dianggotai oleh beberapa ahli politik yang mempunyai pendirian keras, tidak mungkin bersetuju tentang perkara yang dituntut AS. – AFP

Wednesday, March 24, 2010

Kami Juga Prihatin

Kempen Kami Prihatin yang digerakkan Utusan Malaysia kian mendapat sambutan dan galakan dari pelbagai pihak.
Publisiti meluas ini diharap dengan segera mendapat perhatian semua warga Malaysia dalam usaha mencapai objektif bagi membendung gejala penderaan kanak-kanak dan pembuangan bayi.
Kita sering memperkecilkan dan memandang sinis dalam kebanyakan kempen yang dijalankan sebelum ini.
Namun tak keterlaluan jika dikatakan sebenarnya kitalah punca kempen-kempen sebelum ini menemui kegagalan. Sambutlah dengan hati yang terbuka dan penuh harapan. Semoga Allah berikan petunjuk jalan.
Kami juga prihatin..   

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat secara rasmi sertai kempen Kami Prihatin dapat sambutan


Oleh FAIRUS KASSIM dan ISWAN SHAFIQ MAT ISA
pengarang@utusan.com.my
--------------------------------------------------------------------------------
KUALA LUMPUR 23 Mac - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat hari ini secara rasmi menyertai kempen Kami Prihatin yang bertujuan membangkitkan kesedaran masyarakat terhadap gejala penderaan kanak-kanak dan pembuangan bayi.
Keputusan itu diumumkan oleh menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil selepas mengadakan pertemuan dengan Utusan Malaysia, Astro, Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez, komposer, S. Atan dan penulis lirik, Habsah Hassan di sini.
Shahrizat berkata, kementerian akan menggunakan sepenuhnya kerjasama yang dijalinkan bersama media terutamanya Utusan Malaysia dalam menjayakan kempen Kami Prihatin.
"Pada masa sama, saya turut berharap agar kempen ini dapat mempromosikan Dasar Perlindungan Kanak-Kanak yang terkandung dalam Akta Kanak-Kanak 2001 di setiap premis yang berkaitan seperti sekolah.
"Ini penting kerana dasar itu menyeluruh dalam segenap aspek berkaitan kanak-kanak," katanya.
Lagu Harapan Tanpa Suara gubahan komposer S. Atan dan lirik oleh Habsah akan menjadi lagu khas kempen Kami Prihatin yang digerakkan oleh akhbar Utusan Malaysia ini.
Terdahulu, dalam pertemuan dengan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak di ibu pejabat Utusan di sini, Freddie berkata, Kami Prihatin diadakan tepat pada masanya iaitu ketika negara dilanda masalah peningkatan gejala penderaan kanak-kanak dan pembuangan bayi.
"Pendekatan kempen ini harus tepat pada sasaran iaitu golongan berusia 15-25 tahun dan berharap dapat menemui jalan penyelesaian terbaik.
"Tahniah kepada Utusan Malaysia kerana menganjurkan kempen amal seperti ini dan semua ahli Karyawan akan sentiasa membantu menjayakan kempen ini sehingga mencapai matlamatnya,'' katanya.
Freddie menambah, kerjasama daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan melonjakkan lagi tahap kempen ini ke peringkat yang lebih luas.
Sementara itu, Habsah berkata, dokumentari yang akan turut disiarkan oleh Astro Awani boleh membangkitkan kesedaran masyarakat dengan lebih berkesan.
"Pelbagai program berunsur kewanitaan, keagamaan dan berita perlu diperbanyakkan melalui stesen radio dan televisyen sepanjang kempen ini berlangsung," katanya.
Pengurus Besar Astro Awani, Rozina Aziz pula memberi jaminan yang pihaknya akan bekerjasama dengan Utusan Malaysia antaranya dalam perkongsian berita demi menjayakan kempen ini.
"Kami juga akan merangka beberapa program yang boleh membantu mempromosikan kempen ini melalui Astro Awani dan rangkaian radio Astro,'' katanya.

Monday, March 22, 2010

160908

Blues Ular Sawa (WINGS)

Wajah dan gaya semua buka mata
Tutur bahasa lagaknya orang kaya
Pandangan impian mungkin kau kan tergoda
Pantang disapa kau kan jadi mangsanya
Katanya...

Buta-butakan matamu
Ikut-ikutkan nafsunya
Hanya ada seminit saja katanya
Nanti dulu kakiku ini bahaya
Oh mari mari katanya

Kau bijak pandai semua dah tergadai
Kau punya pandai jangan aku jadi macai
Jangan pandai-pandai nanti kau kena tibai
Ragam orang kita ada saja yang terkena

Ada-adakan cerita
Bikin orang porak peranda
Sana sini musuh sahaja
Dasar tidak berguna... jahanam

Ja... jangan... ja... jangan hampiri mereka
Ja... jangan... ja... jangan memenuhkan dosa
Terpulang dirimu ku menjadi kaku
Cerita dah laku dasar penipu
Pandanglah... ke dalam
Kupaslah... ke diri
Tapi hati busuk sekali
Dan kira...

Beruk dah suka ular sawa dah terkena
Suka sama suka tapi aku tidak rela
Ja... jangan... ja... jangan hampiri mereka
Ja... jangan... ja... jangan memenuhkan dosa

Buta-butakan matamu
Ikut-ikutkan nafsunya
Hanya ada seminit saja katanya
Nanti dulu kakiku ini bahaya
Oh mari mari katanya

Kau bijak pandai semua dah tergadai
Kau punya pandai jangan aku jadi macai
Jangan pandai-pandai nanti kau kena tibai
Ragam orang kita ada saja yang terkena

Ada-adakan cerita
Bikin orang porak peranda
Sana sini musuh sahaja
Dasar tidak berguna... jahanam

Tuesday, March 16, 2010

Bukan perak atau gangsa

Beban kerja bukanlah masalah utama
Lebih-lebih lagi bagi otai yang bijak menggunakan ruang dan masa
Yang menjadi keluh kesah sebenarnya bila berlakunya masalah tak terduga
Boleh jadi rosak segala perancangan yang ada!

Bijak pandai berkata; "Masa itu emas!"
Bukan perak atau gangsa
Bernilailah maknanya..
Namun "emas" yang dimiliki sering "dipakai-buang" bagai lagak sikaya raya
Kalau ya pun, takkan sampai sanggup dibazirkan sebegitu rupa?
Sepatah kata Pak Arab; "Waktu (masa) itu sangat berharga, maka jangan engkau habiskan kecuali untuk sesuatu yang berharga juga!”.


Berpesan-pesanlah pada jalan kebenaran
Di akhirat nanti tiada siapa yang mampu menahan
Bila ditanya "dimanakah dihabiskan umurmu sewaktu hidup di dunia?"
Yang mana jawapannya bergantung kepada kita ketika berada di sana..

al-Hatt
16 Mac 2010

Wednesday, March 3, 2010

Lebih Firaun dari Firaun..


Patung kepala Firaun berusia 3,400 tahun yang baru ditemui tertanam di Kom el-Hetan di Luxor, Mesir. - REUTERS

Patung kepala firaun ditemui


KAHERAH 2 Mac - Sebuah patung kepala gergasi daripada granit milik Amenhotep III, datuk Tutankhamun, telah ditemui di Luxor, menurut Menteri Kebudayaan Mesir, Farouk Hosni kelmarin.
Dikilatkan dengan bersih sehingga 'menampakkan ukiran raut wajah yang muda', kepala berukuran 2.5 meter tinggi itu adalah sebahagian daripada ukiran patung Amenhotep III dalam posisi berdiri dan memakai mahkota putih Upper Egyptian sambil memegang tanda kebesaran diraja.
Saintis yang mengendalikan ujian DNA dan imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) ke atas beberapa mumia yang dikenal pasti sebagai Amenhotep III, datuk kepada Tutankhamun, raja muda yang dilahirkan hasil perkahwinan sumbang mahram antara Ankhenaten dan adik perempuannya, yang mana kedua-duanya adalah anak Amenhotep III.
Hourig Sourouzian, yang mengetuai misi pemuliharaan itu berkata, kepala Amenhotep itu merupakan antara 84 artifak yang tertanam di dalam sebuah kuil pengkebumian di tebing barat Sungai Nil di Luxor.
"Kami telah mengumpulkan kuantiti yang besar serpihan patung granit berwarna merah itu yang 'berdiri' di bahagian selatan kuil pengkebumian Amenhotep III itu," katanya.
Beliau turut berkata, sebahagian daripada patung itu telah disimpan. - Reuters

al-Hatt: Rupanya sumbang mahram ni dari zaman Firaun lagi. Tapi Firaun kahwin adik beradik, zaman moden serba canggih ni lebih hebat dari Firaun! Mak dengan anak, anak dengan bapa, abang dengan adik, datuk dengan cucu pun ada!

Tuesday, March 2, 2010

Bahasa Hati

Bahasa sekarang ni bahasa direct
Tapi kalau berkias pun sakit juga
Orang kata "makan dalam.."
Mau tak pejam mata!
Hilang selera

Bila hati sakit
Mula cari ubat
Malangnya ubat susah nak dapat
Akhirnya sakitkan hati tu lagi,
Membenci dan menyendiri
Menjauhkan diri
Syok sendiri
Ingatkan tujuan betul dan berkat,
Rupa-rupanya makin jauh dari rahmat!
Kesian..

Dipendekkan cerita,
Bila mengata orang, beringatlah..
Orang pun mengata kita juga!
Tapi bukan itu cara menilainya
Nilailah dengan dosa dan pahala
InsyaAllah kita takkan lupa..

al-Hatt
2 March 2010

Sunday, February 28, 2010

Syafiah Humairah Sahari

Dalam jangkamasa 3 tahun hidupnya di dunia ini, Allahyarham Syafiah mungkin hanya sempat kenal sepak dan terajang yang akhirnya membawa kepada punca kematiannya. Keadilan pasti tertegak, namun tragedi ini tak mampu lagi diterima buat insan lain yang tidak berdosa..Al-fatihah.

Jenazah Syafiah selamat dikebumi

Saturday, February 27, 2010

Fahami betul-betul..

ARKIB : 26/02/2010 (Utusan Malaysia)


Maulid Nabi rai kelahiran Islam
MAULID berasal dari perkataan Arab yang bermakna melahirkan terutamanya merujuk kepada kelahiran bayi.
Namun dalam konteks hari ini ia dirujuk khusus kepada hari keputeraan Nabi Muhammad iaitu pada 12 Rabiulawal setiap tahun.

Sejarah ringkas
Sambutan Maulidur Rasul telah diasaskan oleh kerajaan Fatimiah di Mesir yang meraikannya secara besar-besaran.
Mereka bukan sahaja meraikan hari keputeraan Rasulullah, tetapi juga yang membabitkan ahli keluarga baginda Zainab, Hassan, Hussain.
Walau bagaimanapun, semua perayaan ini telah dihentikan pada tahun 488 H atas perintah Perdana Menteri, al-Afdal Shahindah yang berpegang kuat pada sunnah seperti tercatit di dalam buku Al-Kamel, karangan Ibnu Al-Atheer.
Ia berhenti diraikan sehingga Al-Ma'moon Al-Bataa'ni memegang kuasa kerajaan.
Apabila kerajaan al-Ayubbiyyah merampas kuasa, semua perayaan itu sekali lagi dihentikan.
Namun begitu, masyarakat tetap merayakannya di kalangan keluarga mereka secara tertutup.
Pada Abad ke-7, Putera Muzafar Al-Deen Abi Sa'd Kawakbri Ibn Zein Ed-Deen 'Ali- Ibn Tabakatikin telah mewartakan perayaan Maulid Nabi di Bandar Irbil.
Muzafar yang merupakan seorang sunni mengambil berat akan perayaan Maulidur Rasul hingga memerintahkan persediaan seperti mendirikan khemah, menghias khemah dan pelbagai lagi dilaksanakan seawal dan sebaik mungkin.
Setiap kali selepas solat Asar, Muzafar akan menyaksikan perayaan itu dalam khemah yang telah didirikan.

Hujah membolehkan Maulidur Rasul
Antara ulama yang menyokong Maulidur Rasul terutamanya Imam Jalaluddin Sayuti dan Sheikh Dr. Yusuf Al Qaradawi.
Imam Jalaluddin Sayuti:
"Ibadat macam itu adalah bidaah hasanah (bidaah baik) yang diberi pahala mengerjakannya kerana dalam amal ibadat itu terdapat suasana membesarkan Nabi, melahirkan kesukaan dan kegembiraan atas lahirnya Nabi Muhammad SAW yang mulia".

Sheikh Dr. Yusuf al Qaradawi: "Semua telah sedia maklum bahawa sahabat-sahabat Rasulullah tidak merayakan hari kelahiran Rasulullah.
"Ini kerana mereka telah menyaksikan secara langsung setiap gerak-geri Rasulullah dan seterusnya ingatan terhadap Rasulullah itu kekal di dalam hati dan juga ingatan.
"Sa'd bin Abi Waqas mengatakan bahawa beliau begitu ghairah untuk menceritakan mengenai Rasulullah kepada kanak-kanak sama seperti mana keghairahan mereka mendidik anak-anak itu mengenai al-Quran.
"Oleh kerana mereka sering menceritakan sejarah perjuangan Rasulullah, maka tidak perlulah merayakan seperti mana dirayakan Maulid Rasul kini.
"Bagaimanapun, generasi terkemudian telah mula melupakan kegemilangan sejarah Islam dan kesannya.
"Dengan itu, perayaan Maulid Rasul diadakan bertujuan mengingati sejarah Islam ketika Rasulullah masih hidup. Sebenarnya, meraikan hari kelahiran nabi bermakna meraikan hari kelahiran Islam.
"Maka dibolehkan meraikan Maulid nabi ini dengan syarat tidak dicampur-adukkan dengan perkara-perkara bidaah. Tetapi sebaliknya diisi dengan ceramah yang menceritakan akan sejarah Islam".

Antara dalil bagi yang membolehkan Maulid ini:
1) Allah berfirman yang bermaksud: Maka orang yang beriman kepadanya (Muhammad saw) memuliakannya, menolongnya dan mengikuti cahaya yang terang yang diturunkan kepadanya (al-Quran) mereka itulah yang beruntung. (al-A'raf: 157)
Keterangan: Tujuan maulud adalah untuk memuliakan Nabi Muhammad. Maka perayaan maulud masuk dalam umum ayat tersebut.

2) Firman Allah yang bermaksud: Dan ingatkanlah mereka dengan hari-hari Allah. (Ibrahim: 5)
Keterangan: Al-Baihaqi di dalam Syakbu al-Iman daripada Ubai bin Kaab daripada Nabi SAW, sesungguhnya baginda menafsirkan 'hari-hari Allah' adalah hari-hari nikmat dan kurniaan Allah. Al-Alusi dalam Ruh al-Ma'ani menjelaskan lagi dengan katanya "kelahiran Nabi merupakan nikmat yang paling besar".

3) Bahawasanya Nabi Muhammad datang ke Madinah maka beliau mendapati orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura iaitu hari 10 Muharam, maka Nabi bertanya kepada orang yahudi itu: "Kenapa kamu berpuasa pada hari Asyura?" Jawab mereka: "Ini adalah hari peringatan, pada hari itu dikaramkan Firaun dan pada hari itu Musa dibebaskan, kami berpuasa kerana bersyukur kepada Tuhan".
Maka Nabi berkata: "Kami lebih patut menghormati Musa berbanding kamu". (riwayat Bukhari dan Muslim)Ibnu Hajar Al-Asqalani pengarang Syarah Bukhari yang bernama Fathul Bari berkata, bahawa dari hadis itu dapat dipetik hukum: Umat Islam dibolehkan bahkan dianjur memperingati hari-hari bersejarah, hari-hari yang dianggap besar umpamanya hari-hari Maulud, Israk dan Mikraj dan lain-lain.
- Nabi pun memperingati hari karamnya Firaun dan bebasnya Musa dengan melakukan puasa asyura sebagai bersyukur atas hapusnya yang batil dan tegaknya yang hak.