Sunday, August 23, 2009

Adab Berbuka Puasa


Saya ingin berkongsi artikel berkenaan adab ketika berbuka yang ditulis Dr. Asri di blognya disini. Berikut merupakan antara petikan dari artikel tersebut.

Adab Berbuka Puasa-Menurut Sunah Rasulullah S.A.W.
1. Menyegerakan berbuka apabila masuknya waktu atau disebut ta'jil al-Iftar. Ini berdasarkan hadis-hadis yang menyebut perkara ini, antaranya: daripada Sahl bin Sa'ad bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda:
"Manusia sentiasa dalam kebaikan selagi mereka menyegerakan berbuka puasa." (Riwayat Bukhari & Muslim).
2. Berbuka puasa dengan rutab (kurma yang telah masak), atau tamar (kurma yang sudah kering), atau air. Di dalam hadis daripada Anas katanya:
"Bahawa Rasulullah s.a.w. berbuka puasa dengan beberapa biji rutab sebelum bersolat. Sekiranya tiada rutab, maka dengan beberapa biji tamar, dan sekiranya tiada tamar, maka Baginda minum beberapa teguk air." (Riwayat Imam Ahmad & Tirmizi).

3. Menyegerakan solat Maghrib selepas berbuka dengan tamar atau air, sekiranya makanan belum dihidangkan. Adapun sekiranya makanan telah dihidangkan di depan mata, maka dimakruhkan meninggalkan makanan untuk menunaikan solat. Ini berdasarkan dengan apa yang dinyatakan dalam hadis-hadis baginda Nabi s.a.w. antaranya: Daripada Anas bin Malik r.a.: bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Apabila telah dihidangkan makan malam, maka mulakanlah ia sebelum kamu menunaikan solat maghrib, dan jangan kamu tergopoh-gapah ketika makan malam kamu." (Riwayat Bukhari & Muslim).

4. Makan dengan kadar yang tidak berlebihan ketika berbuka. Ini bertepatan dengan firman Allah S.W.T. maksudnya:
Dan makan dan minumlah kamu dan jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Dia tidak suka orang yang berlebih-lebihan. (Surah al-'Araf:31).

Di dalam hadis Baginda s.a.w. menyebut:
"Anak Adam itu tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak Adam itu beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya (memberi kekuatan kepadanya). Sekiranya tidak dapat, maka satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan." (Riwayat Tirmizi).

5. Berdoa ketika berbuka. Ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w.:
"Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu, doa yang tidak ditolak ketika dia berbuka." (Riwayat Ibn Majah).

6. Berdoa kepada sesiapa yang menjamu kita berbuka, kata Anas r.a:
"Baginda s.a.w. pernah datang kepada (rumah) Saad bin Ubadah. Dia menghidangkan roti dan minyak. Baginda pun makan dan bersabda: "Telah berbuka puasa di sisi kamu mereka yang berpuasa, telah makan makanan kamu mereka yang baik dan telah berselawat ke atas kamu para malaikat." (Riwayat Abu Daud).
Maka berdoalah kepada mereka yang menjamu kita berbuka puasa. Ini adab yang sangat baik.

Demikian senarai adab-adab yang terkandung di dalam sunah Nabi s.a.w. Semoga pengalaman adab-adab ini menambahkan lagi pahala puasa kita.




No comments:

Post a Comment