Monday, December 28, 2009

Memperingati Gaza


Semalam genap setahun Gaza diserang Pengganas Israel. Tak banyak publisiti dibuat di media massa berkenaan tragedi berdarah tersebut. Apapun saya amat bersyukur dan berbangga dengan sekumpulan rakyat negara ini yang ikhlas berusaha dalam memperingati tragedi tersebut, dengan harapan dapat meningkatkan kesedaran serta sokongan masyarakat disamping mengumpul dana untuk Gaza.
Hanya Allah yang dapat membalas segala jasa yang baik.. (lihat sini)

Sunday, December 27, 2009

Setiap Hujung Tahun..


Tahun 2009 hampir kepenghujungnya. Inilah saat terbaik untuk melihat kembali pencapaian kita sepanjang setahun yang lalu serta merangka strategi baru bagi menghadapi tahun 2010 yang bakal menjelma beberapa hari lagi. Apapun, bagi kebanyakan, itu dianggap sebagai "tradisi tahunan" setiap kali tibanya musim peralihan tahun; lihat, renung, muhasabah dan setkan target baru dll. Apa yang penting adalah perubahan; berusaha untuk berubah kearah kebaikan. Insyaallah..
Disebalik semua itu, banyak peristiwa mengejutkan berlaku tatkala tibanya hujung tahun. Bagi yang terlupa atau tidak perasan, 26 Disember setiap tahun telah ditetapkan sebagai Hari Kesedaran Bencana. Ini berikutan tragedi Tsunami yang melanda beberapa tahun lalu. Berita perdana malam tadi pula melaporkan berita kemalangan bas ekspress yang mengorbankan 10 orang penumpang malam semalam yang amat mengejutkan serta menyayat hati. Salam takziah buat keluarga mangsa. Berita yang sama juga melaporkan berlakunya gempa bumi di Filipina dan Indonesia. Manakala setahun yang lalu berlakunya serangan Pengganas Israel keatas Gaza yang membunuh beribu-ibu penduduknya. Ada banyak lagi peristiwa yang kini tinggal sejarah dan dilupakan.
Pastinya ini semua terjadi bukan untuk dibiarkan berlalu begitu saja. Sementara kita melangkah ke tahun baru, Allah "menyediakan tragedi-tragedi" yang disebutkan diatas (sekadar mengambil beberapa contoh)sebagai peringatan buat manusia untuk sentiasa berwaspada dan bersiap sedia. Alangkah baiknya jika kita dapat "mengambil berat" akan semua peringantan-peringatan tersebut sebagai persediaan memasuki tahun baru nanti? Janganlah hanya fikirkan keseronokan serta kemeriahan menyambut tahun baru sahaja. Ingatlah, dunia ini Allah yang punya..

Thursday, December 17, 2009

Salam Maal Hijrah 1431H


Tahun silih berganti. Kita kini diambang 1 Muharam 1431H. Tidak dinafikan umat Islam lebih “mengambil berat” akan kehadiran 1 Januari 2010 berbanding 1 Muharam 1431H. Maka tidak hairanlah jika umum lebih mengetahui akan adanya sambutan menjelang detik 12 malam setiap tahun berbanding dengan adanya sambutan perpisahan akhir tahun diikuti sambutan tahun baru di masjid-masjid dan surau.


Bagi yang masih tercari-cari dan merangka azam serta harapan untuk tahun baru, lakukanlah langkah pertama dengan berazam untuk menyambut kehadiran tahun baru 1431H ini di rumah Allah sebelum terbenamnya matahari petang ini.
Bukankah lebih bermakna jika kita dapat menunaikan azam baru kita seawal hari pertama lagi? InsyaAllah..

Tuesday, December 15, 2009

Akhir Tahun..



Melewati bulan terakhir 2009 mengingatkan saya ramalan pada akhir 2008 berkenaan tahun baru 2009. Ketika itu dijangkakan ekonomi negara akan jatuh meleset sepanjang 2009. Diberitakan juga tahun 2010 belum tentu ekonomi akan pulih. Diburukkan lagi dengan situasi politik dalam negara yang agak “huru hara”.

Saya bukan ahli ekonomi, pakar jauh sekali. Namun melihat perkembangan syarikat tempat saya bekerja (sektor automotif) bolehlah dikatakan amat memberangsangkan pada ketika diramalkan ekonomi negara akan jatuh merudum.
Memang ada sedikit penurunan pada awal tahun 2009, namun pertumbuhannya selepas itu juga amat rancak lebih-lebih lagi pada separuh kedua 2009. Jangkaan 2009 kerja “relax” sikit tu memang tak merasa la. Hehe.. Saya rasakan sektor-sektor lain pun begitu juga. Alhamdulillah, rezeki tu datangnya dari Allah.

Sebagaimana lazimnya, bulan terakhir setiap tahun pasti disambut dengan seribu satu ramalan & harapan prospek tahun baru yang akan datang. Kita bakal menyambut Awal Muharam 1431H pada 18 Disember ini dan disusuli dengan Tahun Baru 2010M. Semestinya kita mengharapkan kejayaan dan masa depan yang gemilang. Telah tiba masa untuk kita melihat dan menilai pencapaian kita yang lalu sambil memperbaiki segala kelemahan yang ada.

Orang kata; setiap kejayaan memerlukan pengorbanan; setiap pengorbanan memerlukan kesabaran. Dan jangan lupa, sabar itu sebahagian dari iman!



Friday, December 11, 2009

Pemenang Hadiah Keamanan Nobel 2009 ialah..



Kejayaan Barack Obama  memenangi anugerah "Nobel Peace Prize" merupakan pengiktirafan terbesar kempen "peperangan memerangi keganasan" yang selama ini dijadikan modal serta alasan bagi menghalalkan aktiviti keganasan Pengganas-pengganas Antarabangsa. Ianya pasti membakar semangat serta keazaman mereka untuk terus mengganas..

Thursday, November 26, 2009

Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Adha 1430H


Selamat menyambut Hari Raya Aidil Adha 1430H buat tetamu Galeri Nurani dan juga kepada saudara-saudara kita yang menjadi tetamu Allah S.W.T di tanah suci kali ini.

Peluang menyambut & meraikan hari yang mulia ini (juga dikenali sebagai Hari Raya Haji & Hari Raya Korban) haruslah digunakan sebaiknya dengan memperbanyakkan doa, bertakbir, solat serta menyembelih korban. Diharapkan ianya menjadi tanda bukti keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah S.W.T, disamping memperingati pengorbanan Nabi Ibrahim A.S dan Nabi Ismail A.S..




Tuesday, November 17, 2009

HUJAN


Semalam aku ke KL
Banyak yang aku lalui
Sepanjang perjalanan, pergi dan balik, hujan mencurah
Sesekali terasa bahayanya; jalan licin, penglihatan terbatas yang menggangu pemanduan
Konsentrasi jadi panduan, tawakal jadi pegangan

Hati terdetik, pasti akan ada kawasan yang ditenggelami air jika hujan berterusan begini
Pasti juga banyak kemalangan jalanraya yang akan berlaku jika pemandu tidak berhati-hati
Mungkin juga tekanan keatas jalanraya itu sendiri menghasilkan lubang-lubang kecil yang akan membesar seperti yang kelihatan di mana-mana
Kawasan-kawasan tadahan menjadi penuh dan melimpah ruah
Bukan parit dan longkang malah sungai-sungai besar juga sudah hilang parasnya
Hasil basuhan juga tidak kering nampaknya
Yang suka berkeliaran pasti hanya memerap dirumah
Menunggu hujan berhenti dan mengharapkan masa tak berubah

Diperjalanan,
Ramai yang berhenti berteduh sementara menunggu hujan reda
Ramai juga yang terperangkap dalam kesesakan jalanraya
Yang menunggu bas serta teksi mula tak keruan.
Melihat hari yang semakin kelam sementara matahari langsung tidak kelihatan.
Yang ada hanya air dan hujan.
Berterusan membasahi bumi yang kekeringan.

Setelah hujan berhenti lewat petang itu
Lalu-lalang mula dipenuhi manusia
Trafik mula lancar
Masing-masing tak sabar untuk tiba ke destinasi
Dan menghabiskan sisa-sisa hari

Dan hanya itu yang mampu kufikirkan
Tentang hujan yang diturunkan Tuhan
Aku lihat kesusahan
Aku nampak keresahan..itu sahaja..
Sebenarnya aku lupa akan nikmatnya,
Hujan..

al-Hatt
17 Nov 09

Thursday, November 12, 2009

"0"


Pada satu ketika
Ketika mendung berarak
Wajah serupa melintasi fikiranku
Seperti mencari sesuatu
Ke sana dan ke mari
Pergi dan pulang kembali

Di alam nyata
Mendung semakin menebal
Tanda-tandanya mula menggertak benakku
Sesekali pancarannya menerangi alam
Dan kulihat
Wajah itu mula yakin dengan langkahannya
Menuju ke arah yang di tuju
Riak-riak sendu kelihatan
Akhirnya bertemu
Cahaya di hadapan yang disangka hampir
Kejar dan terus mengejar
Makin kejauhan
Ditinggalkan

Wajah itu semakin lesu
Dia tahu arah yang dituju
Dia yakin dengan kewujudan Tuhan yang satu
Dia tahu
Tapi tak mampu mengejarnya
Dan terus bertanya
Mengapa dan mengapa
Namun jawapannya serupa..

Kosong.

Al-Hatt
25 Jan -08

Tuesday, November 10, 2009

Banjir..


Lama rasanya tak menulis blog. Macam-macam ada kat kepala ni, tapi bila tiba masa nak menulis, nak mulakan ayat pun payah!

Musim banjir telah tiba di sebelah utara dan pantai timur semenanjung. Melihat di kaca TV, saya yang tak pernah mengalami banjir besar (paras buku lali pernah la..) tak dapat membayangkan bagaimana keadaan sebenar mangsa banjir; bagaimana hidup di pusat pemindahan, mana nak uruskan anak-anak, keadaan ibu yang sarat mengandung, tak kurang juga yang baru lepas bersalin, orang tua, yang sedang sakit.. Itu belum lagi masuk bab kemusnahan harta benda, kehilangan nyawa dan lain-lain lagi. Kita yang terselamat dari menjadi mangsa banjir mungkin tak terfikir akan kesusahan yang mereka alami seperti yang saya sebutkan tadi. Hanya mereka yang melaluinya akan merasa kaperitan dan kepayahan ujian tersebut.

Bagi yang termampu bolehlah menghulurkan bantuan, tak kiralah dalam bentuk apa pun. Paling tidak, doakan mereka (mesti buat!).
Allah berfirman di dalam Al-Quran; "Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan yang sabar dan dengan mengerjakan solat; dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk." ( al-Baqarah: 45)Tentu ada hikmah yang besar bukan sahaja bagi mangsa banjir malah untuk mereka yang tak terlibat. Seharusnya kita menginsafi dan bermuhasabah bahawa ujian yang menimpa orang lain adalah juga peringatan buat diri kita sendiri..

Tuesday, October 20, 2009

Yang Biasanya Terlepas Pandang..

Artikel di Utusan Malaysia Online (20 Oktober 2009)

Perlunya didikan agama diberi keutamaan

Monday, October 19, 2009

meLayu

Alhamdulillah, tatkala politik melayu semakin layu dan kaku (dibaca kayu!), muncul hamba Allah yang ikhlas (InsyaAllah) dengan buah fikirannya yang amat menyegarkan..

Baca disini dengan hati yang besar serta doa kebaikan..

Friday, October 16, 2009

Jumaat Terakhir Di Bulan Syawal..

Salam semua. Syawal hampir tiba penamatnya. Biasanya di hari-hari terakhir inilah banyak jemputan rumah terbuka atau paling tidakpun kebanyakan dari kita sehabis upaya cuba menziarahi rumah rakan taulan dan sanak saudara yang masih belum lagi dikunjungi. Lazimnya itulah yang berlaku; yang melambangkan kesejahteraan dan keharmonian hidup di negara ini.

Saya sebenarnya hendak berkongsi sesuatu di sini, terutama dari perenggan 18 hinggan 23.

Semoga kita sentiasa mengambil iktibar serta bersyukur dengan apa yang kita miliki selama ini..

Friday, October 2, 2009

Gempa Bumi


Nampaknya musim perayaan kali ini hadir bersama musim bencana di merata dunia.
Ribut Tropika Ketsana belumpun berakhir, tiba pula giliran gempa bumi dan tsunami.
Kuasa Allah, tak siapapun yang dapat menghalangnya. Kerajaan Indonesia sudah mula memohon bantuan kemanusiaan antarabangsa (klik sini).

Syukur; saya sendiri pernah merasai sekelumit pengalaman gegaran gempa bumi ketika menginap disebuah hotel di Butterwoth beberapa tahun yang lepas (atas urusan kerja). Kejadian berlaku kira-kira jam 12.30 malam dimana saya yang bersendirian di bilik hotel (tingkat lima) baru hendak melelapkan mata. Tiba-tiba saya rasakan katil bergoyang; langsung tak terlintas berlakunya gempa walaupun ketika itu siri gempa bumi kerap berlaku di Sumatera.

Saya serta merta bangun dan terpinga-pinga, mencari kalau-kalau ada penceroboh. Gegaran kali kedua beberapa saat selepas itu masih tidak menyedarkan saya bahawa gempa sedang berlaku. Ketika itu hati saya terdetik, "ada apa-apa ke bilik ni??, lain macam je..!".

Kali ketiga lebih kuat dan agak lama; cukup untuk membuatkan bukan sahaja katil bergoyang, tingkap dan meja bilik turut bergegar! Gegaran bangunan amat terasa disamping bunyi deruman yang amat menakutkan. Ketika itulah, baru saya tahu, gempa bumi sedang berlaku.

Saya terus bangun dari katil, jenguk keluar tingkap dan kelihatan ramai orang telah turun ke bawah. Keadaan agak cemas, loceng kecemasan kedengaran. Saya benar-benar terasa nyawa terancam; hanya mampu mencapai h/p dan wallet, terus bergegas keluar bilik. Ramai lagi rupanya tetamu hotel di tingkat yang sama yang belum turun ke bawah lagi. Kami sama-sama berlari menuju lif. Setibanya di lif, masing-masing mula panik; nak turun ikut tangga atau ikut lif??

Apabila pintu lif terbuka, kelihatan kakitangan hotel didalam lif tersebut mengarahkan kami masuk. Saya tak fikir panjang, terus masuk dan berserah kepada-Nya. Alhamdulillah, kami selamat sampai ke bawah bersama ratusan tetamu lain. Saya terus menghubungi isteri untuk menceritakan detik cemas tersebut.

Semua tetamu hotel tidak dibenarkan naik ke bilik masing-masing selagi belum mendapat lampu hijau dari pihak bomba walaupun gempa sudah berakhir. Kira-kira jam 1.30 pagi, pihak hotel mendapat pengesahan bahawa bangunan selamat untuk diduduki dan kami pun naik semula ke bilik masing-masing.

Rasanya gempa bumi yang berlaku malam tu amat-amat rendah skala Richternya (berlaku kurang 2 minit!) jika hendak dibandingkan dengan yang berlaku di Padang Indonesia (7.6 pada skala Richter!!); cukup untuk meranapkan bangunan dan membunuh beratus-ratus mangsa serta merta. Namun, ianya sudah cukup membuatkan saya mengucap panjang dan terbayang betapa dahsyatnya gempa bumi yang berlaku di negara lain.

Apapun setiap musibah yang menimpa adalah datangnya dari Allah S.W.T. sebagai memberi peringatan bahawa kepada-Nyalah kita akan kembali, begitulah juga dengan segala apa yang kita miliki.
Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 155 dan 156 yang bermaksud;
“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan , merka berkata : “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali”.









Wednesday, September 30, 2009

Ribut Tropika Ketsana


Dalam pada kita bergembira menyambut Aidilfitri, beberapa kawasan di negara jiran mengalami dugaan bencana alam yang jarang berlaku di negara kita. Apa jua bantuan yang disumbangkan pasti sedikit sebanyak membantu mengurangkan penderitaan yang mereka alami (klik sini). Bersyukurlah..

Wednesday, September 23, 2009

Selamat Hari Raya Aidilfitri 1430H


Ramadan pantas meninggalkan kita. Kita berhak meraikan kemenangan di bulan Syawal ini.
Namun semangat Ramadan seharusnya diteruskan sehingga bertemu lagi di tahun hadapan, Insyaallah.

Galeri Nurani ingin mengucapkan selamat menyambut Aidilfitri, maaf zahir & batin.

Saturday, September 12, 2009

Malam-malam Ramadan


Malam-malam Ramadan berlalu
Aku masih disitu
Menikmati keindahan malam
Tanpa kusedari aku ditinggalkan
Kelalaian..

Malam Ramadan itu
Ketikaku asyik melayan tidurku
Aku diganggu
Mimpi yang membuatku tersedar
Dan termenung seketika
Melihat jam dan menjenguk keluar
Terlihat kilauan bintang dan sinaran rambulan
Yang menyentap fikiranku
Dan baruku tahu
Aku telah mensia-siakan peluang & waktu
Sujud kepada-Mu
Ya-Tuhanku

Ramadan itu
Aku tak mampu terus lesu
Juga untuk aku terus membisu
Menjawab pertanyaan mimpi yang menggangguku
Tentang Ramadan yang kehabisan waktu
Sebelum hari-hari terakhir menjelma
Dan meninggalkanku
Yang belum tentu kutemui
Untuk bersamamu lagi,
Ramadan..


al-Hatt

03/09/09

Monday, August 31, 2009

Merdeka!!


52 Tahun Merdeka
Banyak yang telah kita kecapi
Banyak lagi yang masih belum tercapai..
Selamat menyambut hari kemerdekaan ke-52.
Semoga Allah memberkati bumi bertuah ini selamanya..

Thursday, August 27, 2009

Ramadan di Gaza


Ramadan ini indah
Puas menahan lapar dan dahaga
Dihidangkan dengan seribu satu kenikmatan ketika berbuka
Mampu pula bertarawih bersama
Beramal
Di rumah Allah yang indah lagi permai
Bebas dan bermaruah

Di Gaza
Mereka bergelut untuk hidup
Rumah musnah dibom pengganas
Masjid rosak teruk
Hospital kekurangan ubat dan katil
Sekolah turut menjadi mangsa
Jalan, jambatan dan segala kemudahan
Terus terbiar dan dibiarkan dunia

Ramai kanak-kanak bersendirian
Menyambut Ramadan tanpa ibu dan bapa disisi
Ada juga yang sebatang kara
Menangis sayu
Merenung masa depan
Dikelilingi tembok pemisah
Dipenjara tanpa belas kasihan
Dan dihina keji

Yang sakit terus menderita
Yang hidup terus merana
Benafas dalam sekatan dan kezaliman
Tiada lagi tempat yang selamat
Semuanya terdedah bom pengganas
Menunggu masa untuk diletup dan ditinggalkan
Ketakutan

Jika oksigen perlu dibeli
Pasti mereka semua sudah mati
Bantuan sengaja dihalang
Bekalan makin berkurang
Ekonomi terus merudum
Harga barang tinggi melambung

Gaza
Mereka memang benar-benar kuat
Berhadapan ujian yang berpanjangan
Sementara dunia hanya mampu bertegang urat
Sambil terus melihat Gaza dihapuskan
Sedikit demi sedikit
Dari buminya sendiri.

Rungutlah atas segala kesulitan yang kau hadapi
Juga kesusahan yang kau lalui
Yang pasti,
Ramadan di Gaza tak seindah disini..

al-Hatt
27/8/09

Sunday, August 23, 2009

Adab Berbuka Puasa


Saya ingin berkongsi artikel berkenaan adab ketika berbuka yang ditulis Dr. Asri di blognya disini. Berikut merupakan antara petikan dari artikel tersebut.

Adab Berbuka Puasa-Menurut Sunah Rasulullah S.A.W.
1. Menyegerakan berbuka apabila masuknya waktu atau disebut ta'jil al-Iftar. Ini berdasarkan hadis-hadis yang menyebut perkara ini, antaranya: daripada Sahl bin Sa'ad bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda:
"Manusia sentiasa dalam kebaikan selagi mereka menyegerakan berbuka puasa." (Riwayat Bukhari & Muslim).
2. Berbuka puasa dengan rutab (kurma yang telah masak), atau tamar (kurma yang sudah kering), atau air. Di dalam hadis daripada Anas katanya:
"Bahawa Rasulullah s.a.w. berbuka puasa dengan beberapa biji rutab sebelum bersolat. Sekiranya tiada rutab, maka dengan beberapa biji tamar, dan sekiranya tiada tamar, maka Baginda minum beberapa teguk air." (Riwayat Imam Ahmad & Tirmizi).

3. Menyegerakan solat Maghrib selepas berbuka dengan tamar atau air, sekiranya makanan belum dihidangkan. Adapun sekiranya makanan telah dihidangkan di depan mata, maka dimakruhkan meninggalkan makanan untuk menunaikan solat. Ini berdasarkan dengan apa yang dinyatakan dalam hadis-hadis baginda Nabi s.a.w. antaranya: Daripada Anas bin Malik r.a.: bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Apabila telah dihidangkan makan malam, maka mulakanlah ia sebelum kamu menunaikan solat maghrib, dan jangan kamu tergopoh-gapah ketika makan malam kamu." (Riwayat Bukhari & Muslim).

4. Makan dengan kadar yang tidak berlebihan ketika berbuka. Ini bertepatan dengan firman Allah S.W.T. maksudnya:
Dan makan dan minumlah kamu dan jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Dia tidak suka orang yang berlebih-lebihan. (Surah al-'Araf:31).

Di dalam hadis Baginda s.a.w. menyebut:
"Anak Adam itu tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak Adam itu beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya (memberi kekuatan kepadanya). Sekiranya tidak dapat, maka satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan." (Riwayat Tirmizi).

5. Berdoa ketika berbuka. Ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w.:
"Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu, doa yang tidak ditolak ketika dia berbuka." (Riwayat Ibn Majah).

6. Berdoa kepada sesiapa yang menjamu kita berbuka, kata Anas r.a:
"Baginda s.a.w. pernah datang kepada (rumah) Saad bin Ubadah. Dia menghidangkan roti dan minyak. Baginda pun makan dan bersabda: "Telah berbuka puasa di sisi kamu mereka yang berpuasa, telah makan makanan kamu mereka yang baik dan telah berselawat ke atas kamu para malaikat." (Riwayat Abu Daud).
Maka berdoalah kepada mereka yang menjamu kita berbuka puasa. Ini adab yang sangat baik.

Demikian senarai adab-adab yang terkandung di dalam sunah Nabi s.a.w. Semoga pengalaman adab-adab ini menambahkan lagi pahala puasa kita.




Friday, August 21, 2009

Salam Ramadan!

InsyaAllah, jika dipanjangkan umur, esok kita akan mula berpuasa sebulan Ramadan. Tiada kata yang selayaknya diucapkan melainkan melahirkan kesyukuran dan mengakui keagungan Tuhan yang Maha Pemurah lagi Bijaksana yang mengurniakan hamba-Nya bulan yang amat-amat menakjubkan dan mengujakan ini.
Uniknya Ramadan, kita akan lihat dengan jelas betapa ianya mampu menukar cara dan gaya hidup umat Islam seharian. Masjid & surau pasti dipenuhi terutamanya sepanjang malam Ramadan yang kebiasaannya "lengang dan aman damai". Bagi yang "berat" berpuasa sunat (sebulan sekali pun payah!), tiba-tiba mendapat kekuatan untuk mengharunginya selama sebulan. Tambah pelik, yang merokok pun boleh menahan ketagihan sepanjang waktu berpuasa. Tak kurang juga ada yang berjaya berhenti merokok. Bagi yang berazam untuk berhenti merokok bersempena Ramadan yang mulia ni, saya mendoakan moga hasrat mulia anda dikabulkan. Amin.
Pendek kata, bulan Ramadanlah bulan dimana kita dapat lihat umat Islam berjaya melaksanakan tuntutan agama sehabis sempurna; berpuasa disiang hari, memperbanyakkan amalan sunat; aktif membaca al-Quran, bersedekah, berjemaah di Masjid, termotivasi untuk membuat kebaikan dan mencegah kemungkaran dan bermacam-macam lagi. Hebatnya Ramadan. Jumpa lagi..

Sunday, August 9, 2009

Bahaya matlamat menghalalkan cara

Saya sekali lagi dengan bangganya ingin berkongsi artikel tulisan Dr. Redhuan Tee di Utusan Malaysia di sini. Apa yang boleh saya katakan, tulisan ikhlas beliau hanyalah untuk menyatakan kebenaran dan menegakkan keadilan khasnya buat agama Islam dan kaum melayu secara amnya. Artikel beliau kali ini pasti akan terus dikritik malah diputarbelitkan bagi menimbulkan kebencian. Namun, kritikan dan cacian itu akhirnya pasti akan membuka ruang kepada jalan kebenaran yang beliau perjuangkan.

Monday, August 3, 2009

Bila Kacang Lupakan Kulit

Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih dan tahniah buat Dr. Mohd. Redhuan Tee atas keikhlasan dan inisiatif beliau dalam usaha menyedarkan bangsa Malaysia.
Komen saya; janganlah dihiraukan sangat dengan segala bentuk kritikan, cacian serta tohmahan sementara semuanya itu sebenarnya akan meningkatkan lagi populariti Dr. (walaupun bukan itu yang dipinta; hanya keredhaan Allah yang dicari) dan sekaligus menjadi kayu ukur bahawa “suara” Dr. sebenarnya semakin didengari serta diikuti semua lapisan bangsa.

InsyaAllah, hasrat murni Dr. akan termakbul. Selamat maju jaya Dr.!!

Friday, July 31, 2009

Pertemuan Terakhir..

Semalam saya kehilangan seorang lagi saudara (suami kepada sepupu saya) yang kembali ke Rahmatullah akibat kemalangan jalanraya.
Allahyarham seorang guru/Pegawai Khas Menengah PPD Kota Tinggi terbunuh ketika dalam perjalanan ke Muar (dari Kota Tinggi) atas urusan kerja.
Kejadian berlaku awal subuh semalam melibatkan pertembungan antara kereta yang dipandu Allahyarham dengan sebuah lori dari arah bertentangan.

Ahad lepas (26 July 2009), saya dan keluarga dipertemukan Allah dengan Allahyarham dan keluarganya disebuah pusat membeli belah di JB.
Kami saling bertanya khabar setelah sekian lama tidak bersua muka dan pertemuan singkat penuh mesra itu benar-benar membuatkan saya gembira.
Siapa sangka pertemuan itu juga yang terakhir dan Allahyarham pergi meninggalkan isteri dan empat cahaya mata mereka buat selamanya.

Perasaan sedih dan pilu tidak dapat disembunyikan tatkala melihat ratapan isteri dan anak-anak Allahyarham melihat jenazah buat kali terkahir.
Saya hanya mampu melahirkan rasa simpati dan mendoakan agar kehidupan baru mereka selepas ini senantiasa diberkati dan dipermudahkan.
Kalaulah saya berada ditempat mereka, tak tahulah bagaimana keadaannya..

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham Rahmat B. Puasa.

Al-Fatihah..

Tuesday, July 28, 2009

Nasib Melayu di bumi Melayu

Rencana di Mingguan Malaysia (bertarikh 26/7/09) merungkai Nasib Melayu di bumi Melayu

Tuesday, July 21, 2009

Penyapu..

Saya melewati blog seorang penulis yang amat terkenal dalam lingkungan penulisannya; yang amat berbangga dengan anugerah-anugerah yang telah diterimanya, begitu juga dengan karya tulisannya, walhal semua itu datangnya dari Tuhan Yang Maha Pemurah sementara dirinya sama seperti saya dan hambaNya yang lain; terdedah kepada sebarang kesilapan dan semestinya melakukan dosa.
Namun seringkali diperhatikan lagak dan gayanya yang seolah-olah mengetahui semua perkara, menghukum individu tertentu dengan buah fikirannya (nafsu?) dan sukarnya menerima perbezaan pendapat antara sesama, telah membuatkan saya teringat kepada salah satu nukilan ikhlas saya yang bertajuk “Penyapu..”.. (Sekadar buat renungan)

Penyapu..

Hamun..
Tu yang kau tahu
Bila kena balik,
Tahu pun malu

'Kipas' yang banyak belum tentu menyejukkan
Barangkali merimaskan
Bersusun disekelilingmu
Sesak dan buntu
Yang sentiasa mencari ruang
Untuk mengipas walau tak diundang

Ikut suka kau lah..
Otak masing-masing dah cukup sempurna
Tak payah nak perah2
Nanti gila
Merana..

Nak ambil tahu..
Ambil tahu
Jangan nak merapu
Kau tahu
Kuncu-kuncumu sanggup menunggu
Habuan yang tak bernilai disisi Tuhan
Yang layak dicampak keneraka jahanam
Disepak
Berderai
Menjadi debu
Dan berterbangan
Hilang
Tak bernilai
Namun terus digilai..

Penyapu!

Al-Hatt
6 Nov 2008

Friday, July 17, 2009

PPSMI bakal menjadi sejarah..

PPSMI bakal menjadi sejarah menjelang 2012. Namun perjuangan memartabatkan bahasa dan bangsa tidak harus terhenti setakat memansuhkan PPSMI...

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0714&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=re_03.htm&arc=hive

Saturday, June 27, 2009

BM bukan setakat PPSMI

Saya amat tertarik dengan rencana diakhbar Utusan Malaysia semalam (26 Jun 2009) yang bertajuk "BM bukan setakat PPSMI". Mungkin sudah terlalu banyak ulasan serta pandangan yang telah dilontarkan berkenaan isu PPSMI tak kiralah yang menyokong ataupun menentang. Namun pandangan penulis dalam rencana tersebut harus juga dipertimbangkan.
Klik dibawah untuk capaian rencana "BM bukat setakat PPSMI".

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0626&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm&arc=hive

Tuesday, June 16, 2009

Al-Fatihah

Saya baru menerima berita kematian seorang saudara sepupu sebelah isteri akibat kemalangan jalanraya.
Saya masih menunggu maklumat lanjut dan InsyaAllah petang nanti lepas kerja akan menziarahi jenazah di kediaman keluarganya.
Tentunya berita kematian beliau pada usia yang masih muda amat mengejutkan dan sukar untuk dipercayai.

Mengenali Allahyarham Syakirin B. Hj Osman adalah sesuatu yang amat saya syukuri.
Allahyarham yang saya kenali adalah seorang yang amat peramah, berperibadi mulia, tidak lokek senyuman dan amat mudah untuk didekati.
Walaupun lebih berusia dari saya, Allahyarham tidak meninggi diri malah menonjolkan sifat hormat dan “menjaga hati” dalam percakapan dan perbuatan.

Kali terakhir kami bertemu pada 8 May lalu, ketika beliau hadir bersama-sama keluarganya ke majlis kenduri doa selamat dan tahlil yang diadakan dikediaman keluarga mertua saya.
Sayangnya, kami tidak dapat berbual panjang seperti selalu, sekadar bersalaman dan bertanya khabar sementara saya sibuk melayan tetamu selain membantu perjalanan majlis.

Sesuatu yang amat saya kesali adalah tidak dapat memenuhi jemputannya menghadiri majlis dirumah barunya tahun lalu.
Manakala Allahyarham pula tidak pernah gagal hadir kesetiap majlis jemputan saya dan keluarga. Sesuatu yang amat saya hargai dan hormati.

Salam takziah khasnya buat isteri Allahyarham dan puteri kesayangannya begitu juga kepada “Mak Ngah” yang dikasihi sekeluarga.
Semoga Allah memberi kekuatan dan kemudahan dalam menghadapi ujian yang amat getir ini.

Doa semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama hamba-Nya yang beriman. Amin..

Puak


Puak

Hidup berpuak-puak
Fikiran lingkungan puak
Puak, Puak, Puak,

Satu puak kata aku betul
Satu puak lagi kata aku lagi betul!

Mana satu yang betul-betul betul?
Siapa yang betul-betul salah?
Yang pasti semua tak ngaku salah!
Semua ngaku betul, betul, betul
Tak betul pun dia kata betul
Maknanya, tak betullah hidup berpuak ni..

Itulah puak
Puak yang tak kenal diri sendiri
Puak yang menurut kata hati
Tak fikir lingkungan diri
Fikir diri sendiri
Hati mati
Puak mati

Al-Hatt
7 Mac 2008

Thursday, June 4, 2009

Aku Yang Kecil


Aku Yang Kecil

Aku belum kaya lagi
Wang, kemewahan dunia
Malah miskin hati
Hingga tersepak batupun aku salahkan orang lain
Bukankah Tuhan menegurku dengan kebijaksanaan-Nya?

Hatiku kecil lagi
Aku tak mampu menoleh ke belakang sementara mara ke hadapan
Egoku mengatasi kemampuanku
Hinggakan aku terjatuh disaat orang lain pergi jauh
Dan aku masih tak mengaku kesalahanku
Juga masih tak mampu untuk mengerti
Keredhaan Tuhan lebih penting dari memenuhi nafsu sendiri
Bukankah dengan ketentuan-Nya menyebabkan aku hidup di sini?

Aku masih kecil lagi
Umurku melebihi kemampuanku berbakti
Pada agama mahupun diri sendiri
Dan aku masih begini
Menganggap diri sempurna
Hingga lalai pada ajaran-Nya
Bukankah petujuk jalan telah diberi?

Aku yang kecil ini..

al-Hatt
4 Jun 09

Monday, June 1, 2009

Pahit II

Memang pahit
Kucuba telan
Memang pahit
Kucuba lagi
Pekat, melekat
Aaahhh!
Air liur pun jadi pahit
Habis minum air pun tetap pahit
Memang pahit

Pahit itu membuat ku terfikir
Teringat bait-bait lagu Art Fadzil..

“Di dalam sepi ku,
Aku sedar apa yang berlaku...
Tapi tak bisa ku, berbuat sesuatu;
Kerana aku juga terperangkap di dalam sindrom..
A minor”

Sindrom A Minor??

Al-Hatt
3 Jan 08

Thursday, May 28, 2009

Kehidupan Adalah Ujian



Ujian berlaku setiap masa dan tidak mengenal siapa diri kita. Selagi diberi peluang untuk hidup di muka bumi ini, ujian pasti akan hadir mewarnai kehidupan setiap hamba-Nya.

Kita mungkin bangkit awal dari tidur setiap pagi; bersiap dan bergegas keluar rumah untuk mencari rezeki.
Di pertengahan perjalanan, berlaku kesesakan yang tidak dijangka yang akhirnya menyebabkan kita terlewat sampai ke tempat kerja. Lantas kita menyalahkan keadaan dan mula hilang tumpuan.

Sering juga berlaku keadaan dimana ketika kita fokus menyiapkan kerja, ada pula rakan yang sibuk berbual dan bergelak ketawa seolah-olah tiada kerja yang hendak dibuat apalagi menghormati orang lain yang sedang bekerja. Sedikit sebanyak pasti kita merungut dan berasa sakit hati.

Tulisan diatas hanyalah beberapa contoh ujian yang sering kita hadapi dan rungutkan saban hari. Tiada sesiapapun terlepas dari ujian sebegini. Allah menjanjikan ganjaran besar bagi hamba-Nya yang bersabar dan bertawakal.

Firman Allah dalam surah Az-Zumar ayat 10 yang bermaksud " Sesungguhnya orang-orang yang bersabar sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira ".

Rasulullah SAW juga ada bersabda yang bermaksud:”Sesungguhnya orang mukmin akan menerima tekanan hidup kerana tidak ada satu bencana sama ada kerana terkena duri atau yang lebih besar, tidak juga ketakutan, melainkan Allah akan mengangkat darjatnya satu darjat dan menghapuskan satu kesalahan dengan kesabarannya menghadapi bencana dan kesusahan tersebut.” - Riwayat al-Hakim

Jadi apa masalahnya dengan ujian ini?

Ketahuilah, kesenangan dan segala kemudahan itu juga adalah satu ujian..

Monday, May 25, 2009

Terima Kasih!!



Hari ini genap 6 tahun perkahwinan saya dan isteri. 11 bulan sebelum detik bersejarah itu, kami bertemu buat kali pertama melalui pertemuan yang diaturkan seorang rakan sekerja saya dan isterinya (kini biras dan kakak ipar saya!). Saya tak pernah mengetahui dan mengenali isteri saya mahupun keluarganya sebelum pertemuan itu.

Nak dijadikan cerita, selepas beberapa kali dipujuk, akhirnya saya bersetuju untuk ditemukan dengan calon yang dikatakan sesuai untuk saya dengan tujuan mengenali satu sama lain. Katanya kalau serasi boleh pergi lebih jauh lagi, kalau tidak, kira kawan saja lah!

Saya telah dijemput untuk datang ke rumah, berkenalan dengannya dan ahli keluarganya. Tuhan saja yang tahu perasaan saya ketika itu; bertemu buat kali pertama bukan setakat dengan tuan punya badan, malah perlu berhadapan keluarganya sekali! Silap hari bulan, boleh jadi juga pertemuan terakhir antara kami semua! Hehe..

Syukur Alhamdulillah, saya berjaya melepasi ujian awal dengan jayanya walaupun saya tak tahu setakat mana pandangan dirinya dan ahli keluarganya terhadap saya selepas pertemuan pertama itu. Sekurang-kurangnya saya tak buat perkara yang pelik dan bukan-bukan selepas melihat wajahnya buat pertama kali begitu juga keramahan diri dan ahli keluarganya. Semuanya dalam kawalan dan bukan lakonan. Yang paling utama adalah diri saya. Walaupun tak dapat tidur pada malam itu, saya sangat gembira dapat berkenalan dengan mereka semua!!

Sejak dari itu, kami mula mengorak langkah mengenali hati budi masing-masing. Kami jarang berjumpa memandangkan isteri saya ketika itu bekerja di Mersing manakala saya di JB. Kami banyak beinteraksi melalui telefon dan SMS. Dalam tempoh 4 bulan perkenalan, kami memutuskan untuk mengikat tali pertunangan. Kami sepakat; kalau setakat nak berkawan, tak perlu berhubung setiap hari, jika tidak, itu namanya suka sama suka, maka batasan kena pelihara, hati keluarga kena jaga. Kalau betul serius, teruskan saja, jangan buang masa!

Tempoh bertunang tidak ditetapkan, namun kami menjangkakan sekurang-kurangnya setahun berdasarkan situasi semasa ketika itu.
Kami terus “berkenalan”. Sehingga satu peringkat, kami merasakan tiada apa lagi yang perlu dihuraikan, selebihnya perlu dilalui dan diterjemahkan melalui alam perkahwinan.
Lebih lama bertunang lebih banyak ruang untuk melakukan kesilapan selain boleh mendatangkan “fitnah”. Batas pergaulan wajib dijaga.
Kami sering mengingatkan diri masing-masing betapa pergaulan sebelum bernikah ini sesungguhnya akan memberi kesan kepada zuriat kami begitu juga dengan keharmonian hidup bekeluarga kelak. Jika dijaga dengan baik, InsyaAllah, baiklah semuanya. Begitu juga sebaliknya. Akhirnya kami membuat keputusan untuk bernikah lebih awal dari yang dijangkakan iaitu selepas hanya 7 bulan bertunang.

Semuanya menjadi kenangan manis buat kami berdua. Selepas 6 tahun bersama, kami dikurniakan dua orang Puteri yang menjadi penyeri hidup kami. Terima kasih buat Isteri dan anak-anak untuk 6 tahun yang cukup bermakna ini. Tak lupa juga buat Kakak Ipar dan Suami. Terima kasih banyak-banyak!!

Monday, May 18, 2009

Bersyukurlah...



Beruntungnya aku
Hidup dalam kesenangan dunia
Jika dibandingkan dengan jutaan hambaNya
Yang papa, kedana
Yang tidak memiliki apa dan sesiapa
Kecuali Mu ya-Tuhan

Beruntungnya aku
Dikalangan hambaNya yang beruntung
Aku punya kehidupan yang indah
Keluarga yang bahagia
Rezeki yang melimpah ruah
Ditemukan jodoh yang setara
Dikurnia zuriat yang sempurna akalnya
Ketika ramai yang berduka dan merana

Beruntungnya aku
Diperkenalkan Tuhan dengan berbagai ragam dunia
Dikala ramai hambaNya hanya melihat puncak tinggi melangit
Melupai tanah yang dipijak dan dihinjak
Menghindari segala kotor dan onar dunia

Beruntungnya aku
Hidup dicelah kegelisahan dan kepuraan
Kebencian dan penindasan
Yang memberi kesan
Dalam mengejar impian hakiki

Beruntungnya aku
Mengenal itu dan ini
Baik dan buruk
Pahala dan dosa
Syurga dan neraka dunia
Disaat ramai hambaNya yang lalai
Dan terkapai

Beruntungnya aku
Diberi ruang dan peluang
Dan peluang-peluang yang tak pernah putus
Dari-Mu Tuhan
Yang tak disedari hamba-hambaMu
Yang dilupai dan disia-siakan,
Diabaikan

Beruntungnya aku
Jika Menjadi hambaMu
Yang bersyukur
Dan tau malu

Beruntungnya aku..

al-Hatt
6 Nov 2008.

Friday, May 15, 2009

Selamat Hari Guru!!

Belum terlewat untuk Galeri Nurani mengucapkan selamat Hari Ibu kepada semua ibu-ibu terutamanya buat ibu saya yang dikagumi. Esok 16 Mei, Hari Guru. Saya tidak menyimpan banyak kenangan berkenaan sambutan Hari Guru ketika zaman persekolahan dulu.

Isteri saya seorang guru. Melihat kepada beban kerjanya, komitmen serta kesungguhannya tak kira masa dan keadaan, pengorbanan serta susah payah memikirkan perihal murid, membuatkan saya teringat kepada guru-guru saya ketika sekolah dahulu.

Hidup dikatakan hidup bilamana kita melalui kehidupan itu. Sewaktu kecil, kita susah nak dengar nasihat ibu bapa. Bila dah berumah tangga, barulah kita merasai perit jerih bergelar ibu dan bapa, semestinya baru kita memahami hati dan perasaan ibu bapa kita dulu. Begitu juga halnya kepada guru-guru. Kebetulan isteri saya seorang guru, secara tidak langsung saya juga merasai liku hidupnya bergelar guru dan baru saya mengerti dengan sebenarnya hati dan perasaan guru-guru saya dulu.

Ucapan jutaan terima kasih dan doa semoga segala usaha dan pengorbanan anda diberkati, menikmati kehidupan yang harmoni dan sentiasa dilimpahi rahmat. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas segala jasa yang baik.

Selamat Hari Guru...

al-Hatt

Wednesday, May 13, 2009

Apa Khabar Gaza?



Gaza kian lenyap dari paparan dada-dada akhbar harian mahupun berita perdana.
Namun ianya sama sekali bukan bermakna pengganas telah menghentikan keganasannya.
Proses Israelisasi terus dirancang dan terus berlaku.
Tak siapapun mampu mengagak apa yang akan berlaku seterusnya dan bila pula kesudahannya..

















Tuesday, April 14, 2009

Anda Mampu Mengubahnya...

Politik "huru-hara" di Thailand mungkin tidak mendatangkan kesan secara langsung dalam kehidupan kita sebagai rakyat biasa. Namun kita harus mengambil iktibar kerana sentimen politik semasa di negara kita tak kurang juga “hangatnya”.
Berakhirnya pilihanraya kecil baru-baru ini tidak banyak membantu mengurangkan perdebatan politik semasa, seolah-olah pilihanraya sudah terlalu hampir maka politik kepartian mesti terus diperjuangkan sentiasa dan setiap masa.

Kita rakyat jelata tak perlulah terlibat sama menghangatkan suasana. Mungkin setiap ahli parti ataupun penyokong yang bertanggungjawab dan cintakan negara boleh menghantar memorandum kepada pemimpin masing-masing supaya menghentikan semua sandiwara yang berlaku, beringat serta fokus kepada agenda semasa yang lebih penting. Dalam memorandum tersebut bolehlah dengan jelas mengugut pemimpin sendiri yang kita akan keluar parti dan tak mahu pangkah lagi dalam pilihanraya akan datang jika kepimpinan masih sibuk dengan perebutan kuasa dan mengabaikan tanggungjawab sebenar sebagai wakil rakyat. Atau mungkin juga perlu dibuat laporan polis jika memorandum yang dihantar “tak jalan”. Usaha-usaha sebegini seharusnya mendapat kerjasama dari pihak media supaya ianya lebih efektif.

Pelikkan bunyinya? Susah nak diterima akal. Mungkin kita boleh fikirkan cara yang lebih sesuai. Lihat sajalah “trend” semasa; yang menghantar memorandum atau buat laporan semuanya dari parti lawan/berbeza. Kesimpulannya tetap sama, tiada perubahan. Langsung tak efektif dan hangat-hangat tahi ayam. Cukup seminggu, senyap…

Apalah nilai modal politik yang ingin didebatkan menjelang pilihanraya yang hanya akan berlangsung tiga hingga empat tahun lagi bilamana ketika itu negara kita tersungkur akibat tekanan ekonomi yang merudum, pekerja hilang pekerjaan manakala prospek untuk mereka yang baru memasuki alam perkerjaan sudah tiada? Pastinya sudah terlambat untuk sesiapa sahaja menunjukkan karisma serta jalan penyelesaian lebih-lebih lagi apabila sekadar untuk memenangi hati rakyat ketika pilihanraya.

Maka inilah masanya kita bersatu mencari penyelesaian kegawatan ekonomi yang melanda. Kalau tak tahu apa nak disumbangkan, diam-dia saja. Jangan nak membuat onar satu negara. Ataupun jika pemimpin tak mahu berubah, kita sendiri yang merubah cara sokongan kita!

Friday, March 20, 2009

Bersabarlah..

Kesibukan dengan tugas-tugas harian sepanjang Februari (hinggalah ke saat ini!) telah membuatkan saya berhenti menulis seketika di blog Galeri Nurani.

Di sebalik itu, saya sebenarnya amat bersyukur kerana di kala ramai pekerja swasta terutamanya di sektor perkilangan di berhentikan atau diberi "cuti rehat + potongan gaji", syarikat tempat saya bekerja masih lagi aktif mengeluarkan produk selain sibuk membuat persediaan kemasukan produk baru.

Tempias kegawatan tetap dirasa namun tidaklah begitu serius hingga perlu memberhentikan pekerja atau diberi cuti rehat dan sebagainya.

Apapun langkah penjimatan kos tetap dijalankan bagi memastikan syarikat terus beroperasi dengan lancar.

Buat rakan-rakan yang telah atau akan diberhentikan; Allah pasti memberikan kemudahan bagi setiap kesulitan dan ujian. Hikmah disebaliknya kelak juga pasti membuatkan kita terlupa kesulitan yang telah dihadapi. Bersabarlah.

Moga pakej rangsangan ekonomi dapat dijalankan dengan jayanya sekaligus meminimakan kesan kegawatan keatas periuk nasi kita.

Wassalam.


Friday, February 13, 2009

Dari Tuhan



Dari Tuhan
Ke mana pun kau tuju
Ianya tetap bumi Tuhan
Siapa pun kau temui
Dia adalah makhluk Tuhan
Di mana pun kau pergi
Semuanya atas restu Tuhan
Bagaimana pun kau lalui
Ianya atas kehendak Tuhan
Apapun yang kau miliki
Setiap satunya milik Tuhan
Segala yang kau warisi
Adalah kurniaan Tuhan
Sedekah yang kau hulurkan
Atas nikmat dari Tuhan
Amal yang kau lakukan
Datang dari hidayah Tuhan
Bala yang menimpa
Tanda kasih sayang Tuhan
Musibah yang melanda
Hanya ujian dari Tuhan
Pahala yang kau pinta
Rahmat dari Tuhan
Dosa yang kau cuba
Tunggulah balasan dari Tuhan

alHatt
27 Nov 2008

Wednesday, February 11, 2009

Gambaran Kekejaman Pengganas

Bersempena pilihanraya Negara Haram Israel yang sedang berlangsung, terimalah gambaran kekejaman Pengganas Israel menerusi kartun Latuff di bawah ini..


















Pilihanraya Haram

Negara Haram Israel sedang menghadapi proses pilihanraya umum. Di Malaysia, stesen TV tempatan dan media cetak nampaknya memberi liputan meluas atas perkembangan politik yang berlaku di sana.

Kita sememangnya perlu tahu situasi politik dan juga bakal pemimpin yang akan menerajui negara pengganas itu. Namun liputan yang secara berlebih-lebihan juga sebenarnya secara tidak langsung seakan mengiktiraf kewujudan mereka. Saya merasakan pengamal media tempatan terbawa-bawa dengan liputan agensi berita barat yang mana menjadi sumber bahan berita dan diterima bulat-bulat untuk disiarkan dalam media tempatan.

Ini merupakan agen propaganda ampuh dalam menyampaikan mesej bahawa Negara Haram Israel diterima masyarakat antarabangsa dan menjalankan proses demokrasi sama seperti negara-negara lain.

Jika kita amati, semua parti yang bertanding mempunyai matlamat yang serupa; menjanjikan keganasan melampau keatas Palestin, meluaskan jajahan haram serta meningkatkan agenda Israelisasi, memperjuangkan keselamatan wilayah haramnya dengan mereka-reka ancaman yang diterima dan bakal diterima dari “puak pelampau Palestin” dan bermacam-macam agenda jahat lagi.

Oleh itu setiap berita yang menggambarkan “perkembangan positif” dalam negara haram tersebut hendaklah dihubungkan atau dikaitkan dengan penderitaan dan kesengsaraan yang dialami rakyat Palestin. Kewujudan Negara Haram Israel memberi makna akan pelupusan Palestin dari muka bumi ini…

Friday, February 6, 2009

Sakit Bantal Empuk..


Situasi dalam negara beberapa hari ini agak “mencemaskan” bagi mereka-mereka yang terlibat secara langsung.
Sejujurnya saya agak rimas dan muak dengan sandiwara perebutan kuasa yang semakin menjadi-jadi.
Hampir setahun PRU12 berlalu namun para pemimpin kita (Barisan dan Pakatan!) masih sibuk berpolitik dari membangunkan negara dan mencari penyelesaian atas permasalahan yang ada.
Barisan yang ada dah tak berapa lurus manakala Pakatan masih tak sepakat, sibuk mencari salah orang lain dan tak boleh sabar lagi menunggu PRU13 untuk berkuasa.
Mungkin Pakatan tak mahu melepaskan peluang di saat-saat akhir tempoh pemerintahan “PM kesayangan mereka” yang akan berakhir Mac ini. Atau mungkin perebutan kuasa ini semata-mata untuk menyelesaikan masalah peribadi pemimpin Pakatan itu sendiri…
Manakala Barisan pula terdesak untuk mencukupkan korum bagi meluruskan barisannya.
Akhirnya terjadilah sandiwara semasa yang amat memenatkan ini dan rakyat menjadi mangsanya.
Barangkali tajuk yang paling sesuai untuk sandiwara ini ialah “Sakit Bantal Empuk”.
Tunggu sajalah episod seterusnya..

Sakit Bantal Empuk (Lirik lagu Wings)
Caj caj caj caj caj caj
Suka hati, kau tak berbudi
Kau tak mengerti
Kau tak perduli
Ku kau anggap kutu kari

Das das das das das das
Hentam saja, kau tak berjiwa
Kau tak merasa
Kau tak periksa
Siapa yang mengalas kerusimu di bawah
Di bantal empuk mu, kau terlupa janji mu..

Dam dam dam dam dam dam
Kami jeran, kau tak kasihan
Kau tak sayangkan
Kau tak ringankan
Kami sekalian yang bergelar sang Marhain

Di rumah tumpangan
Kau terlupa, diri mu siapa
Kau sedarlah
Kalau bukan kami yang tumpang
Yang bersusah payah
Berkompang hingga menang
Hingga dijulang...

Friday, January 30, 2009

Pengumuman Penting..

Saya ingin memohon maaf atas kegagalan pembaca menghantar komen sebelum ini.
Kini komen boleh di hantar pada setiap posting tanpa sebarang masalah, InsyaAllah.

Segala kesulitan amat dikesali.

Yang benar,
alHatt.

Obama- Udang Disebalik Batu...


Sesuatu yang baik samada berbentuk cadangan atau tindakan haruslah disokong dan dihormati. Itu pada prinsipnya.

Umum mengetahui Presiden Obama telah menyatakan hasratnya untuk memperbaharui dasar luar Amerika sejak mula berkempen jawatan Presiden dan kini beliau mula mengorak langkah sejurus dilantik secara rasmi sebagai Presiden Amerika yang baru. Melalui ucapannya sempena upacara pelantikan tempohari, Obama menyatakan pendiriannya untuk berbaik-baik dengan negara Islam menerusi “kepentingan bersama dan saling menghormati”.

"To the Muslim world, we seek a new way forward, based on mutual interest and mutual respect"

Saya agak skeptical dengan keihklasan Obama dalam membina kembali jambatan perhubungan antara Amerika dengan Negara Islam khasnya. Tindakannya saya kira agak ‘populis’ iaitu menjanjikan sesuatu yang menarik minat ramai walhal ianya agak mustahil dilaksanakan memandangkan rekod pentadbiran Amerika selama ini ternyata gagal dan sering menindas negara lain terutamanya dunia Islam.

Dengan ‘tagline’ Change, ianya berjaya menambat hati pengundi dan memberi harapan kepada dunia untuk melihat perubahan pentadbiran Amerika dari dasar ekonomi hinggalah ke dasar luarnya. Tindakan populis ini sebenarnya telah merebak ke negara kita; berlaku dalam parti pemerintah dan juga parti pakatan dan kini kita mula merasa kesannya; yang dijanjikan banyak yang tak kesampaian manakala yang berjaya dilaksanakan lebih banyak mengundang bencana dari manfaatnya.

Barisan kabinet Obama kebanyakannya berbangsa yahudi yang semestinya meletakkan kepentingan yahudi Amerika dan juga penguasaan Pengganas Israel di rantau Asia Barat sebagai agenda utama mengatasi segala-galanya. Semasa kempen pemilihan presiden yang lalu, Obama dilihat amat menjaga hati pelobi yahudi sehingga sanggup ke Negara Haram Israel sebagai tanda sokongan dan jaminan bahawa kepentingan kaum yahudi dan Pengganas Israel akan diperjuangkan apabila dilantik kelak. Akhirnya Obama menang bergaya dan mencatat sejarah baru untuk Amerika.

Melalui hujah di atas, bagaimana harus kita percaya bahawa Obama membawa harapan baru kepada dunia Islam? Adakah Obama mampu mengawal dan meyakinkan kabinet yahudinya bahawa Amerika atau dunia memerlukan sokongan dan kerjasama negara Islam untuk kesejahteraan bersama? Sejauh manakah Regim Pengganas Zionist merestui hubungan baik Amerika dengan dunia Islam kelak? Mungkinkah hubungan baik itu akan menggugat cita-cita peluasan Negara Haram Israel di atas bumi Palestin?

Atau adakah hubungan baik itu sekadar ingin menguatkan lagi pengaruh AS ke seluruh negara Islam hingga akhirnya semua kehendak AS dan Pengganas Israel tak siapapun berani menentang? Lihatlah apa yang telah terjadi kepada negara-negara Arab. Mereka tidak mampu berbuat apa-apa untuk menyelamatkan Palestin kerana kebergantungan mereka kepada AS dari segi ekonomi dan pertahanan. Hinggakan ada negara-negara Timur Tengah sanggup mengiktiraf kewujudan Negara Haram Israel serta menjalinkan hubungan diplomatik dengannya manakala Palestin terus dianaktirikan!! Adakah ini misi sebenar Obama?

Di Malaysia sudah ada gerakan yang menyambut hasrat Obama ini lama sebelum kempen pemilihan Presiden lagi. Mereka telah mula berhubung rapat dengan AS melalui dialog, menyertai program-program yang dianjurkan pihak Barat, menganggotai pertubuhan berpengaruh tertentu dan menjalankan aktiviti bersama. Kini gerakan tersebut mula mempersoalkan mengapa Malaysia masih tidak menonjolkan diri atau setidak-tidaknya memberi respon kepada pelawaan Obama. Gerakan tersebut memberikan alasan inilah masanya Malaysia memainkan peranan penting dalam mencapai hasrat Obama dalam konteks “mutual interest & mutual respect”.


Persoalannya, mengapa Malaysia? Mengapa tidak digunakan saluran pertubuhan negara Islam contohnya OIC untuk berdialog? Mengapa hendak bertindak sendirian? Mungkinkah ada kepentingan peribadi dalam hal ini? Tak terfikirkah jika satu hari nanti negara kita yang tercinta ini terhutang budi kepada Amerika hinggakan kita tergamak menjadi seperti negara-negara Arab yang lain?
Lupakah kita bahawa sikap lantang kita selama ini melalui kepimpinan yang berwibawa telah banyak menyelamatkan imej Islam serta membangkitkan kesederan umat Islam khasnya serta penduduk dunia tentang kegilaan Pengganas Israel dan sekutunya? Adakah Obama berusaha untuk menutup mulut penentang-penentang tegarnya ini?

Untuk makluman, gerakan di Malaysia ini dipelopori oleh golongan cerdik pandai yang paling rapat dengan Amerika. Mungkin anda boleh mengagak siapa orangnya…

Saya berpendapat kita wajar menyahut seruan Obama dengan membuat kajian strategik menyeluruh, apa kesannya keatas Malaysia dan dunia Islam, menyediakan pemimpin-pemimpin berwibawa dan patriotik, meletakkan kepentingan Islam mengatasi segala-galanya dan bersuara atas satu gerakan, OIC contohnya.

Kita mesti sentiasa berwaspada dengan setiap agenda dan pembuat dasar Amerika dan bukan sekadar tertarik dengan ucapan manis Obama tentang itu dan ini.
Obama perlu menunjukkan komitmen dan keadilan dalam penyelesaian konflik Asia barat terlebih dahulu. Bagi para pemimpin negara; Barisan atau Pakatan, berfikirlah dulu sebelum terkena…

Thursday, January 29, 2009

Ayuh bangunlah...


Proses gencatan senjata meredakan sedikit ketegangan yang seolah-olah menandakan keganasan telah berakhir. Bagi penduduk Gaza, itulah yang diharap-harapkan.

Mereka mula pulang ke kediaman masing-masing, yang sebahagian besarnya telah musnah dibom pengganas, meratapi kehilangan ahli keluarga dan bermacam-macam bentuk kesedihan lagi.
Situasi yang sedikit stabil ini janganlah pula membuatkan kita disini leka atau berhenti dari menjalankan usaha-usaha yang telah diambil sebagai tanda sokongan dan simpati kita kepada penderitaan Palestin.

Kita perlu terus menerus dan melipatgandakan usaha-usaha yang mampu kita lakukan antaranya,
1- Boikot produk pengganas. Banyak produk alternatif yang boleh menggantikan produk pengganas terutamanya produk keluaran tempatan.
2- Melabelkan mereka dengan label-label yang menggambarkan kekejaman serta dosa-dosa yang telah dilakukan seperti Negara Haram Israel, Pengganas Israel, Tentera Pengganas, Tokoh-tokoh Pengganas, Pengganas Antarabangsa dan lain-lain dalam setiap perkara dan urusan. Saya memuji tindakan Astro Awani yang telah menggunakan label “Pengganas Israel” dalam penyampaian beritanya. Media massa memainkan peranan penting dalam usaha ini.
3- Menyokong setiap usaha pihak pemerintah serta badan-badan berkaitan dalam usaha menghentikan kekejaman Pengganas Israel.
4- Memasukkan silibus Pengganas Antarabangsa dalam matapelajaran sejarah diperingkat sekolah menengah dan pendidikan tinggi. Negara Pengganas dan Tokoh Pemimpin Pengganas harus dibukukan dan dihebahkan kepada setiap ganerasi melalui sistem pendidikan agar menjadi iktibar dan pengajaran.
5- Memperbanyakkan aktiviti pungutan derma, solat hajat, memohon doa, bacaan ayat-ayat suci Al-Quran, sesi ceramah, penyebaran maklumat melalui blog, email dan bermacam cara lagi bagi memupuk kesedaran umat Islam khasnya yang sekaligus meningkatkan lagi penglibatan kita secara langsung dalam usaha membantu Palestin.

Percayalah, sumbangan kita yang sedikit tapi berterusan dan ikhlas ini takkan sia-sia, InsyaAllah.

Wednesday, January 28, 2009

Sebulan Muharam

Hari ini, 1 Safar 1430 Hijrah bersamaan 28 Januari 2009.
Sebulan yang lalu kita menyambut Awal Muharam yang lazimnya diiringi azam dan harapan menggunung.
Penting bagi kita untuk melihat kembali azam dan harapan tersebut sekerap mungkin samada ianya sudah dicapai, baru bermula, sedang berjalan ataupun terkubur ditelan masa.
Janganlah ditunggu penghujung tahun untuk meratap kesudahannya. Ketika itu mungkin sudah terlewat untuk kita menyesali kegagalan sendiri yang akhirnya “diharapkan” atau "diazamkan" semula sempena menyambut tahun baru yang mendatang.

Memandangkan kita disajikan dengan seribu satu penderitaan penduduk Gaza sepanjang Muharam yang lalu, saya yakin banyak iktibar dan pengajaran yang boleh diambil yang sepatutnya menguatkan lagi semangat kita dalam mencapai kejayaan.
Berhenti mengharap dan lakukanlah yang sepatutnya.
Renung-renungkan..

1430
Hijrah datang lagi
Insaf timbul dalam diri
Cukup sehari,
Hidup tetap begini

Hijrah datang lagi
Manusia saling berpecah
Puak terus bertelagah
Perpaduan tinggal sejarah
Manusia kian parah

Hijrah datang lagi
Hari ini,
Datang dan pergi
Tak siapa pun peduli
Tentang diri
Mahupun hijrah ini

Hijrah datang lagi
Selagi mata boleh dibuka
Selagi mulut boleh berkata-kata
Selagi telinga mampu mendengarya
Selagi bala belum tiba
Selama manapun nafas dihela
Sekuat apapun kudrat diduga
Hijrah pasti kembali
Meninggalkan mimpi-mimpi
Yang berulang dikala hijrah datang lagi

alHatt
29 Dec 2008

Saturday, January 24, 2009

Kelemahan Palestin Kunci Kekuatan Pengganas Israel

Proses gencatan senjata antara Pengganas Israel dan Hamas telah pun bermula.
Bagi pengganas, mereka mengumumkan kemenangan di pihaknya apabila berjaya membunuh lebih 1200 mangsa yang majoritinya penduduk awam, meletupkan beratus-ratus terowong bawah tanah, menghancurkan segala infrastrukutur awam seperti sekolah, hospital, masjid, rumah kediaman dan yang paling penting baginya adalah menghapuskan saki baki keturunan dan hubungan saudara penduduk Gaza khasnya dan Palestin amnya.
Berapa ramai bala tentera dan kelengkapan senjata Hamas dapat dihapuskan menjadi tanda tanya.

Di pihak Hamas, gencatan senjata menandakan kegagalan Pengganas Israel dalam operasi keganasannya. Terlalu banyak hipokrasi dalam konflik ini.
Pengganas mahu menghukum “pengganas”, namun sasarannya penduduk awam. Hamas pula dinafikan hak untuk membentuk negara berdaulat walaupun dipilih secara sah oleh penduduk Palestin malah dilabel pula sebagai pengganas. Apabila Hamas dilabel sebagai pengganas, ini bermakna Pengganas Israel dan pengganas sekutunya berhak menggugurkan bom dan menghalang Hamas daripada memiliki kelengkapan senjata dengan alasan “inilah caranya menghapuskan pengganas”.
Pada akhirnya, segala keperitan dan kesengsaraan ditanggung sepenuhnya rakyat Palestin yang tak diketahui bila dan apa penamatnya. Ini jelas menunjukkan Pengganas Israel sebenarnya mahu menghapuskan rakyat Palestin bagi meluaskan lagi wilayah haramnya. Ternyata label "pengganas" amat kuat pegaruhnya untuk melenyapkan Islam di muka bumi ini.

Selagi Palestin dinafikan hak untuk membangunkan negara, ekonomi dan ketenteraan, selagi itulah Pengganas Israel meneruskan kezalimannya. Yang nyata, kelemahan Palestin adalah kunci kekuatan Pengganas Israel..

Sunday, January 18, 2009

Permohonan Maaf Ketua Pengganas


Berita perdana semalam menyiarkan kekesalan Pengganaswati Livni atas kematian beratus-ratus penduduk awam Gaza dan menyifatkannya sebagai sesuatu yang tidak dapat dielakkan ketika operasi keganasan dijalankan.

Hari ini Ketua Pengganas merangkap Perdana Menteri Negara Haram Israel, Olmert memohon maaf atas perkara yang sama.

Tiada siapapun yang dapat menerima permohonan maaf dari organisasi pengganas yang secara terang-terangan mencabuli undang-undang antarabangsa, merampas tanah hak milik Palestin dan mengusir penduduk asalnya, mengebom penentang dan pejuang yang mempertahankan kedaulatan tanah air sendiri, menafikan hak, pembunuh kanak-kanak, lelaki dan wanita yang ternyata tak berdosa dan bermacam-macam lagi bentuk keganasan serta kekajaman.

Pengganas Israel mungkin merasakan tindakan memohon maaf itu dapat meredakan sedikit protes antarabangsa terhadapnya sekaligus menggambarkan keganasan yang berlaku adalah semata-mata tindakan mempertahankan diri dari ancaman Hamas. Dengan kata lain, Hamaslah punca segala-galanya.

Selepas tiga minggu operasi keganasan berlalu, Hamas masih gagal dilumpuhkan malah keazaman Hamas semakin memuncak untuk menyerang balas dan mengusir pencerobohan tentera pengganas zionis dari Gaza.

Ternyata Pengganas Israel gagal dalam usaha jahatnya menghapuskan kerajaan pilihan rakyat Palestin iaitu Hamas. Konflik ini pastinya berterusan selagi Negara Haram Israel wujud di bumi Palestin...

Wednesday, January 14, 2009

1000..

Majoriti penduduk dunia mengutuk kezaliman Negara Haram Israel ke atas Gaza. Demonstrasi jalanan yang terus diadakan sehingga hari ini disamping seruan memboikot produk dari negara pengganas dilihat alternatif terbaik memberi tekanan keatas negara pengganas terbabit.
Namun, ianya seakan tidak memberi kesan malah regim pengganas zionis meningkatkan lagi serangan dari semua arah; darat, udara dan laut disamping terus-menerus menyebarkan propaganda wilayah haramnya diancam roket Hamas.
Nampaknya hanya PBB yang mampu memaksa Regim Pengganas itu berundur.
Malangnya, PBB masih belum mengeluarkan resolusi pengunduran tentera pengganas Israel dari bumi Palestin walaupun didesak berbuat demikian.
Dan ianya seakan tidak akan berlaku tatkala mangsa korban keganasan mencecah 1000...

Tuesday, January 13, 2009

Sejarah Dunia- Pengganas Antarabangsa

Tempoh pemerintahan Raja Pengganas George W. Bush sebagai presiden Amerika hampir tamat. Ini merupakan penggal kedua pelantikannya sebagai presiden dan Bush pasti berasa bangga kerana bukan sahaja dapat memecahkan rekod bapanya; juga seorang pengganas, malah dapat memecahkan rekodnya sendiri pada penggal pertama sebagai presiden; membunuh lebih ramai umat Islam dari sebelumnya.
Negara Haram a.k.a paksi kejahatan, Israel berjaya memenuhi hasrat murni Bush untuk dikenali dan dikenang sebagai Pengganas Antarabangsa abad ini. Dia pasti lebih gembira dan berbesar hati jika riwayat kejamnya sebagi pengganas dapat direkodkan dan dimasukkan kedalam silibus pembelajaran sejarah di semua peringkat pendidikan di seluruh dunia.
Untuk itu, saya mencadangkan Kementerian Pelajaran dengan kadar segera memasukkan bab Pengganas Antarabangsa didalam silibus matapelajaran Sejarah. Tokoh-tokoh pengganas seperti Bush, Olmert, Livni, Rice, Barak dan lain-lain wajar dikenang dalam buku-buku sejarah agar dapat dijadikan rujukan dan teladan sepanjang zaman.

Wednesday, January 7, 2009

Barack Obama


Berita perdana jam 8 malam tadi menyiarkan kenyataan pertama Barack Obama, bakal Presiden Amerika; berkenaan "krisis di Gaza" selepas 12 hari Gaza diserang pengganas dan hampir musnah.

Mungkin Obama baru mendapat lampu hijau dari Markas Pengganas Zionis di Tel Aviv maka baru kini, selepas lebih 500 mangsa rakyat Palestin dibunuh kejam, Obama menyatakan pendiriannya untuk memberikan sepenuh perhatian dan komitmen terhadap krisis tersebut. Itupun hanya apabila dia memulakan tugasnya secara rasmi sebagai Presiden Amerika 20 Jan ini.

Jika kekejaman yang maha dahsyat ini perlu mengambil masa 12 hari untuk diambil perhatian, apa lagi yang boleh kita harapkan.

Tak keterlaluan jika saya katakan bahawa bakal Presiden Amerika ini juga bakal menjadi Raja Pengganas Antarabangsa, menggantikan Raja Pengganas sedia ada, George W. Bush.

Tuesday, January 6, 2009

Pengganas vs Hamas vs Fatah

Kita tahu Hamas & Fatah bertelagah. Presiden Mahmoud Abbas mengutuk serangan Pengganas Israel, namun dia mungkin juga berasa "lega" ramai pemimpin Hamas terbunuh dan pergerakan Hamas kian lumpuh.

Dimasa yang sama, Negara Haram Israel akan menghadapi pilihanraya dalam tempoh terdekat. Semestinya Si Pengganas Nentanyahu, Barak, PengganasWati Livni dan lain-lain pengganas menunjukkan taring sebenar keatas rakyat Palestin semata-mata untuk meraih sokongan para pengundi Pendatang Haram Yahudi.

Ini semua angkara PoCai.. (ubat sakit perut??)

PoCai

Politik kini sudah mati
Dimana pun
Peringkat apapun
Semuanya gila pangkat & kuasa
Gila dunia

Semua orang gilakan dunia ini
Kerana mereka hanya nampak segunung emas daripadanya
Tanpa mereka sedar nikmat Tuhan melebihi segalanya
Bukan gunung, bukan daratan & lautan
Bukan angkasa raya
Bukan
Tetapi segala-galanya
Yang tak mampu dinilai dengan dua biji mata
Satu hati dan satu kepala
Dua kaki dan dua tangan sahaja
Seketul otak yang berkarat
Dan jiwa yang berselirat

Hanya mereka yang ada tempat disisi Tuhan
Akan dapat melihat kebesaranNya
Tahu apa tujuan hidup ini
Tahu kemana nak pergi
Dan bagaimana mengharunginya
Tahu bila tersilap dan bertaubat

Bukan Politik maCai
Mulut manis
Kencing bersepah
Berak tak ngaku
Kentut buat tak tahu
Merapu
Dan tepu

Al-Hatt
27 Nov 2008

Serangan Pengganas Antarabangsa- Regim Zionis





















Monday, January 5, 2009

PBB

PBB mula memberi tekanan keatas Regim Pengganas Israel dan Hamas untuk memulakan proses gencatan senjata hanya selepas seminggu Gaza diserang dengan begitu dahsyat.
Selepas lebih 500 rakyat Palestin dibunuh kejam, dan beribu-ribu yang lain cerdera yang kebanyakannya hanya "menunggu masa" dan menderita.
Selepas rumah kediaman, masjid, kampung dan bandar musnah dibom.
Selepas hanya 4 orang pengganas Israel mati terbunuh akibat serangan balas roket buatan sendiri Hamas dan selepas ianya hanya mampu menjangkau 40 km kedalam wilayah haram si pengganas Israel!!
Bayangkan jika roket Hamas tak membunuh pengganas-pengganas itu & hanya jatuh di sekitar padang pasir dan sempadan yang tak berpenghuni antara Gaza & wilayah haram itu..
Mungkin PBB menunggu semunggu lagi. Adilnya PBB..
Sesi Persekolahan 2009
Sesi baru persekolahan telah bermula. Isteri saya; seorang guru yang amat komited dengan tugas & tanggungjawab (berdasarkan pemerhatian saya sejak mula berkawan lagi!), juga seorang warden asrama disalah sebuah MRSM di selatan tanahair, kembali bertugas “secara tak rasmi” seminggu sebelum sesi persekolahan bermula.

4 Jan pelajar mula mendaftar masuk. Kecoh sejak awal pagi hingga ke petang. Untungnya sekolah asrama ni, pelajar di hantar ibu bapa atau penjaga, siap dengan bekalan dan bermacam-macam keperluan asas anak mereka. Teringat zaman sekolah dulu-dulu. Al-maklumlah sekolah biasa, mana ada mak bapak nak hantar masa hari pertama. Pandai-pandai sendiri. Nostalgia betul. Terima kasih Mak, Bapak..

Kini tiba giliran saya mendaftarkan anak-anak, bukan ke sekolah biasa tapi ke Taska. Kakak berumur lima tahun, adik tiga tahun. Satu-satunya perkara yang "melekat" di kepala, bukan risaukan si anak atau malas berhadapan adegan menangis/melalak ketika diserahkan kepada guru taska tapi mengenangkan yuran pendaftaran yang agak tinggi!

Kalau la anak setahun satu, macam mana agaknya..hehe…

Saturday, January 3, 2009

Tahun Baru 1430H/2009M

Sambutan tahun baru pastinya meriah diseluruh dunia; 1430H disambut dengan kesyukuran manakala 2009M disambut dengan keriangan. Suka duka 1429H/2008M pantas lenyap dari memori.

Dalam pada segenap lapisan masyarakat di dunia terus-menerus memasang impian dan harapan, rakyat Palestin terus menerus menerima hujan bom dan peluru yang memadamkan segala-galanya...

Sajak nukilan peribadi sejurus meluasnya berita Gaza diserang Pengganas..



Palestin

Aku cuba memahami dirimu
Aku tahu, kau tak perlukan semua itu
Kerana ianya tak mampu mengubah nasibmu
Yang sentiasa diduga dengan malapetaka dan bencana

Siapalah diriku
Berbanding liku hidupmu yang berganda
Dihujani bom dan peluru berpandu
Dinafikan hak dan matlamat hidup
Yang tak punya masa depan dan harapan
Yang terus bertanya sampai bila mesti bertahan

Dalam mana pengertianku
Memikirkan kesengsaraan dan penderitaan
Yang kau lalui saban hari dan waktu
Setiap detik yang berlalu
Setiap darah yang menitik dari rongga yang tak berdosa
Tumpah di halaman sendiri
Di hina dan dikeji
Bersendiri

Apalah pengorbananku
Setakat doa yang kuhambur
Sedikit wang yang kuhulur
Yang tak mampu menandingi pengorbananmu
Mempertahankan tanahair dan maruah agama
Yang kau pikul sendirian
Dan terus bertahan

Jika hidupmu bukan disini
Pasti, pasti kau akan bahagia dikemudian hari
Disaat Yahudi-yahudi itu diheret dan disumbat
Disaat mereka membenarkan dosa-dosa yang dipahat

Dan kau tetap suci
Dikala cahaya pagi bersinar kembali

Doa buat mu… Palestin.

AlHatt
29 Dec 08