Wednesday, February 24, 2010

Dr. Tajdid

Setiap manusia ada kelebihan tersendiri, lebih-lebih lagi orang yang berilmu dan memanfaatkan ilmu yang dikuasainya. Dan sesungguhnya atas kuasa Allah lah yang membuatkan seseorang itu "berkuasa" keatas apa yang dia ada. Namun manusia tetap manusia; tidak terlepas dari salah dan silap, juga seringkali memiliki sifat perasan hebat dan sentiasa betul. Rupanya rencana dibawah sealiran dengan apa yang ada dalam kepala saya; iaitu selepas saya membaca tulisan Dr Maza disini. Mungkin juga bersarang dalam minda kebanyakan peminat setia serta pengikut blog Dr. Maza. Saya yakin Dr. Maza amat berjiwa besar untuk menerima perbezaan pendapat  seperti ini. Dan saya pasti ini bukanlah kali pertama beliau menghadapinya..
Sumber asal rencana dibawah boleh dibaca terus menerusi Utusan Malaysia Online.

Jadilah umat Islam, bukan umat Melayu?

Oleh NOOR AZAM

noor.azam33@gmail.com

"BUKAN perarakan maulid yang menentukan survival 'Melayu Pulau Pinang'. Ya, 'survival Melayu'. Itulah bahasa yang sering mereka gunakan "Melayu Pulau Pinang".
Saya antara orang kurang selesa dengan perkataan perkauman seperti itu. Sebutlah 'umat Islam Pulau Pinang'. Dada agama jauh lebih luas dari kesempitan bangsa. Insan boleh menjadi Muslim walaupun dia dilahir tidak Muslim.
Namun, seorang bukan Melayu tidak boleh bertukar menjadi Melayu. Isu bangsa sentiasa sempit. Isu Islam sentiasa luas dan memberi rahmat untuk semua.
Hakikatnya yang mengangkat sedikit sebanyak nama orang Islam di Pulau Pinang bukanlah Melayu tetapi 'India Muslim' di Pulau Pinang." Ini petikan daripada "Minda Dr. Maza" bertajuk Maulid, Melayu dan Mamak Penang (Mingguan Malaysia 21 Februari 2010).

Kolum ini sentiasa menarik perhatian saya, kerana bukan saja penulisnya seorang ilmiahwan, pensyarah universiti, ahli agama dan bekas mufti negeri; juga kerana tulisannya menambahkan pengetahuan dan pemahaman saya tentang Islam.
Petikan di atas adalah bahagian yang paling merangsang fikiran saya dalam tulisannya pada minggu ini.
Memang betul "survival Melayu Pulau Pinang" tidak ditentukan oleh perarakan maulid. Semua orang yang waras tahu. Melayu Pulau Pinang lebih tahu lagi! Tetapi rasanya tidaklah wajar menganggap istilah "Melayu Pulau Pinang" sebagai "perkataan (atau istilah) perkauman".
Melayu itu, walau di negeri mana pun mereka berada dalam Malaysia ini - meskipun tak ada raja - adalah suatu "bangsa" bukan suatu kaum atau suatu ras.
Melayu itu suatu bangsa kerana sejak turun temurun mempunyai negara-bangsanya sendiri. Punya peradaban dan kerajaan sendiri yang memerintah negara sendiri.
Sebenarnya, Dr. Maza tidak perlu merasa "kurang selesa" dengan istilah itu. Kalau beliau tidak mahu termasuk dalam kumpulan "Melayu" pun tak mengapa. Isytiharkan saja, "Saya bukan orang Melayu. Saya bukan keturunan bangsa Melayu. Saya orang (bangsa) Islam. Saya tidak terlibat dan tidak mahu melibatkan diri dalam apa juga hal yang berkaitan dengan orang Melayu, kerana Melayu itu perkauman. Saya pun tidak akan bercakap Melayu, kerana bahasa Melayu itu bahasa perkauman."
Dengan demikian tentulah tidak timbul rasa "kurang selesa" atau rasa "perkauman" atau rasa rendah diri kerana terpaksa bergantung imej kepada 'India Muslim'.
Kata Dr. Maza "seorang bukan Melayu tidak boleh bertukar menjadi Melayu." Benarkah pendapat ini? Saya lihat banyak orang yang asalnya bukan keturunan Melayu - dari Johor sampai ka Kedah - telah jadi "orang Melayu", bahkan jadi pemimpin Melayu yang banyak pula jasanya kepada bangsa dan ibu pertiwi Melayu.
Dr. Maza bersyukur, "Alhamdulillah, mamak Penang sudi untuk mereka dipanggil orang Melayu." Betulkah begitu Dr.? Saya tidak bermaksud merendahkan atau memperkecilkan "mamak Penang", tetapi saya rasa perkataan "sudi" itu tak betul.
Saya baru tahu, rupa-rupanya "yang mengangkat sedikit sebanyak nama orang Islam di Pulau Pinang bukanlah Melayu, tetapi India Muslim". Rupa-rupanya Pak Lah, Anwar Ibrahim, Tun Abdul Rahman Abas, Haji Abdullah Fahim, Haji Ahmad Badawi, Haji Hamdan Sheikh Tahir - dan ramai lagi tokoh Pulau Pinang yang lain - bukanlah Melayu, tetapi India Muslim belaka.
Mungkin yang Melayu hanyalah Dr. Maza - kalau beliau berasal dari Pulau Pinang dan kalau sudi disebut Melayu.
Kembali kepada isu perarakan maulid, saya percaya orang Melayu-Islam Pulau Pinang tidak melihat isu ini dari sudut pandangan yang begitu sempit. Pendirian kerajaan Pulau Pinang terhadap perarakan maulid ini hanyalah satu titik kecil daripada sikap keseluruhan kerajaan negeri itu terhadap kedudukan orang Melayu dan orang Islam di pulau ini yang sekarang dikuasai oleh DAP.
Ada banyak lagi isu lain yang 'menyakitkan' hati dan menggugat kedudukan orang Melayu-Islam di pulau ini sejak bertahun-tahun lalu. Dan sikap serta tindakan kerajaan DAP kalau dibiarkan akan merupakan 'pukulan terakhir' kepada kewujudan orang Melayu-Islam di pulau yang asalnya sebahagian dari negeri Kedah.
Isu perarakan maulid ini, pada pandangan saya, sebenarnya bukanlah sangat isu agama, tetapi lebih sebagai isu politik. Faktor utama yang akan menentukan masa depan Melayu-Islam Pulau Pinang ialah kekuatan politik, bukan agama.
Bagi Dr. Maza, "Kekuatan kita ialah Islam." Namun dalam perjuangan untuk menegakkan kemerdekaan dan kedaulatan agama, bangsa dan tanah air - setakat yang telah saya baca dan lihat - kekuatan kita adalah gabungan bangsa dan agama - Melayu dan Islam. Jika Melayu dan Islam terpisah atau dipisahkan, pasti kita akan hancur binasa sudahnya.

DATUK NOOR AZAM ialah pemerhati politik

No comments:

Post a Comment