Wednesday, March 24, 2010

Kami Juga Prihatin

Kempen Kami Prihatin yang digerakkan Utusan Malaysia kian mendapat sambutan dan galakan dari pelbagai pihak.
Publisiti meluas ini diharap dengan segera mendapat perhatian semua warga Malaysia dalam usaha mencapai objektif bagi membendung gejala penderaan kanak-kanak dan pembuangan bayi.
Kita sering memperkecilkan dan memandang sinis dalam kebanyakan kempen yang dijalankan sebelum ini.
Namun tak keterlaluan jika dikatakan sebenarnya kitalah punca kempen-kempen sebelum ini menemui kegagalan. Sambutlah dengan hati yang terbuka dan penuh harapan. Semoga Allah berikan petunjuk jalan.
Kami juga prihatin..   

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat secara rasmi sertai kempen Kami Prihatin dapat sambutan


Oleh FAIRUS KASSIM dan ISWAN SHAFIQ MAT ISA
pengarang@utusan.com.my
--------------------------------------------------------------------------------
KUALA LUMPUR 23 Mac - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat hari ini secara rasmi menyertai kempen Kami Prihatin yang bertujuan membangkitkan kesedaran masyarakat terhadap gejala penderaan kanak-kanak dan pembuangan bayi.
Keputusan itu diumumkan oleh menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil selepas mengadakan pertemuan dengan Utusan Malaysia, Astro, Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez, komposer, S. Atan dan penulis lirik, Habsah Hassan di sini.
Shahrizat berkata, kementerian akan menggunakan sepenuhnya kerjasama yang dijalinkan bersama media terutamanya Utusan Malaysia dalam menjayakan kempen Kami Prihatin.
"Pada masa sama, saya turut berharap agar kempen ini dapat mempromosikan Dasar Perlindungan Kanak-Kanak yang terkandung dalam Akta Kanak-Kanak 2001 di setiap premis yang berkaitan seperti sekolah.
"Ini penting kerana dasar itu menyeluruh dalam segenap aspek berkaitan kanak-kanak," katanya.
Lagu Harapan Tanpa Suara gubahan komposer S. Atan dan lirik oleh Habsah akan menjadi lagu khas kempen Kami Prihatin yang digerakkan oleh akhbar Utusan Malaysia ini.
Terdahulu, dalam pertemuan dengan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak di ibu pejabat Utusan di sini, Freddie berkata, Kami Prihatin diadakan tepat pada masanya iaitu ketika negara dilanda masalah peningkatan gejala penderaan kanak-kanak dan pembuangan bayi.
"Pendekatan kempen ini harus tepat pada sasaran iaitu golongan berusia 15-25 tahun dan berharap dapat menemui jalan penyelesaian terbaik.
"Tahniah kepada Utusan Malaysia kerana menganjurkan kempen amal seperti ini dan semua ahli Karyawan akan sentiasa membantu menjayakan kempen ini sehingga mencapai matlamatnya,'' katanya.
Freddie menambah, kerjasama daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan melonjakkan lagi tahap kempen ini ke peringkat yang lebih luas.
Sementara itu, Habsah berkata, dokumentari yang akan turut disiarkan oleh Astro Awani boleh membangkitkan kesedaran masyarakat dengan lebih berkesan.
"Pelbagai program berunsur kewanitaan, keagamaan dan berita perlu diperbanyakkan melalui stesen radio dan televisyen sepanjang kempen ini berlangsung," katanya.
Pengurus Besar Astro Awani, Rozina Aziz pula memberi jaminan yang pihaknya akan bekerjasama dengan Utusan Malaysia antaranya dalam perkongsian berita demi menjayakan kempen ini.
"Kami juga akan merangka beberapa program yang boleh membantu mempromosikan kempen ini melalui Astro Awani dan rangkaian radio Astro,'' katanya.

No comments:

Post a Comment