Thursday, December 5, 2013

"Kembali kepada kebenaran lebih baik dari berada terlalu jauh dalam kebatilan!"

 
TERJEMAHAN KENYATAAN DR.YUSUF QARADHAWI LETAK JAWATAN DARI "HAIAH KIBAR ULAMAK AL-AZHAR"

Sesungguhnya Al-Azhar semenjak dikuasai oleh Salahuddin Al-Ayubi dan mereka yang selepasnya pada kurun-kurun yang lampau, Al-Azhar telah menjadi pemimpin ummah dalam urusan agama,pengetahuan, pengajian dan perubahan. Dia (Al-Azhar) berkata dengan kalamnya, menyanjungi ulamak-ulamaknya. Maka ia digeruni oleh hati-hati, ia dihormati oleh tua dan muda, berlalu rakyat dengan kalam-kalam ini di belakang pembesar mereka, mengagungkan kalimah Allah dan meninggikan panji Islam.

Al-Azhar dalam sejarahnya telah menerima anak-anak dari dunia Islam untuk dididiknya. Dari Timur dan Barat, Selatan dan Utara. Dari mazhab Ahlu Sunnah yang terkenal: Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali. Lalu mereka keluar menjadi ulamak ummah, menyeru kepada Islam dengan ajaran yang jelas, memberikan kefahaman kepada manusia dan mereka berkata kepada pemerintah dan pembesar: "Takutlah kalian kepada Allah, peliharalah agamaNya."

Al-Azhar berdiri teguh dengan risalahnya, memelihara janjinya, menasihati kerana Allah, RasulNya, kitabNya dan seluruh umat Islam pada zaman Mamalik, Turki dan raja-raja selepasnya. Al-Azhar juga memimpin kebangkitan menentang Perancis, menentang Inggeris maka Al-Azhar tetap kekal memimpin rakyat. Tatkala kita diuji dengan terdapat orang yang zalim dan maksiat maka tidak dapat tidak bagi ulamak yang bebas perlu menyatakan pendirian ketika itu, tiada rujukan melainkan Al-Quran dan Sunnah.

Oleh demikian, saya Yusuf Abdullah Al-Qaradhawi menyatakan peletakan jawatan saya dari "Haiah Kibar Ulamak" kepada rakyat Mesir, kerana mereka merupakan "pemilik Al-Azhar", bukannya Syeikh Al-Azhar. Saya mengira jawatan Syeikh Al-Azhar dan beberapa jawatan yang hampir dengannya telah 'dirampas' dengan kekuatan senjata dengan perkiraan kudeta tentera seperti yang dilakukan kepada jawatan Presiden Mesir, sama sahaja.
Sewajarnya dikembalikan hak memilih Presiden itu kepada rakyatnya maka begitu juga ulamak-ulamak yang berhak memilih ketua (Syeikh) mereka, iaitu "Haiah Kibar Ulamak" dengan pemilihan yang bebas dan tidak dicampuri oleh mana-mana pihak agar mewakili semua golongan ulamak, bukannya mewakili dirinya sendiri.

Sukacita saya katakan kepada rakyat Mesir: Saya sesungguhnya Alhamdulillah, pada usia 88 tahun yang saya sudah tidak berhajat kepada apa-apa jawatan. Allah telah memuliakan saya dengan keredhaan dan penerimaan rakyat-rakyat serta pemerintah-pemerintah umat Islam. Saya tidak mahukan kecuali umat ini kembali ke kedudukannya yang tinggi dan menjadi kewajipan kepada Al-Azhar untuk menjadi "tiang seri" kepada umat ini.

Saya meletakkan tangan saya di tangan Syeikh Al-Azhar di tangga Pejabat Syeikh Al-Azhar (dalam satu lawatan beliau melawat Syeikh Al-Azhar selepas Revolusi 25 Januari 2011) bahawa saya ingin menjadi sandaran bagi beliau bersama-sama rakan yang ikhlas. Beliau melupakan atau buat-buat lupa apa yang dilakukannya sebelum itu, ketika beliau (Dr.Ahmad Toyyib) menjadi Rektor Al-Azhar, beliau telah mentohmah anak-anak muridnya untuk kepentingan kerajaan Mubarak, beliau juga merupakan anggota sebuah parti kerajaan, berada dalam Biro Politik (Parti NDP), kami katakan: "Semoga Allah ampunkan apa yang telah berlalu, kita buka lembaran hidup baru." Akan tetapi, malangnya kita mendapati pendiriannya cenderung ke arah rampasan kuasa yang meranapkan Revolusi 25 Januari yang telah mengembalikan kebebasan, kemuliaan, demokrasi, musyawarah dan sistem baru yang memberikan kepada rakyat kuasa sepenuhnya, ini semua dimusnahkan oleh kudeta.

Sewaktu di Mesir, saya diundang oleh sebahagian saudara-saudara (dalam Ikhwan Muslimin) untuk menyampaikan ucapan di atas pentas dataran Raba'ah tetapi saya ingin berucap kepada rakyat melalui 'pentas berkecuali' melalui kaca televisyen. Saya berucap menyeru agar berhadapan dengan mereka yang melampau, mengubati kesilapan dan bukannya melalui rampasan kuasa.

Kemudian, kita dan rakyat Mesir begitu terkejut dengan penyertaan Syeikh Al-Azhar pada malam rampasan kuasa, diberikan kepadanya peluang berucap yang beliau nyatakan menggunakan kaedah "akhaffu dhororoin" atau "mengambil mudharat yang lebih ringan" iaitu menyokong rampasan kuasa. Apakah mudharat yang lebih besar dan lebih berat melainkan membatalkan hak demokrasi serta mengembalikan negara kepada pemerintahan tentera?!

Syeikh Al-Azhar telah mengumumkan sejurus selepas beliau dilantik ke jawatan itu dalam satu temubual dengan katanya, "Al-Azhar akan merujuk semula selepas campurtangan di zaman Jamal Abdul Nasser. Maka sejak itu Al-Azhar telah kehilangan kuasa kebebasan akibat campurtangan politik dalam urusannya." Maka ditunggu-tunggu berdasarkan pandangan beliau ini akan kekal Al-Azhar sebagai pembantu rakyat, tetapi beliau tidak lakukannya.

Saya ternanti-nanti juga sewaktu saya berada di Mesir sebelum saya mengumumkan pandangan saya secara peribadi, jikalau Syeikh Al-Azhar akan menjemput untuk diadakan mesyuarat Haiah Kibar Ulamak Al-Azhar bagi mengambil pandangan terhadap peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam negara, tetapi tiada jemputan dibuat. Maka tiada jalan lain melainkan bagi saya mengeluarkan fatwa berasingan untuk menyatakan pandangan saya agar dibantu kebenaran yang menjadi akidah saya. Demikian juga dibuat oleh Dr.Hasan Syafie dan pemikir Islam Dr.Muhammad 'Imarah kerana mereka berdua juga seperti saya merupakan anggota Haiah Kibar Ulamak.

Seharusnya, bagi Syeikh Al-Azhar setelah berlaku banyak pandangan di kalangan ulamak untuk beliau himpunkan anggota Haiah untuk dikeluarkan pandangan yang satu atau pandangan majoriti dan diumumkan kepada rakyat Mesir pandangan yang disepakati ini, yang akan membenarkan kebenaran dan membatalkan kebatilan walaupun dibenci oleh golongan yang berdosa.
Malangnya tiada perjumpaan atau mesyuarat diadakan selepas tragedi demi tragedi dalam sejarah: Pembunuhan di hadapan Bangunan Pengawal Republik, di Tugu Peringatan, pembunuhan di Mansurah, Iskandariah, wilayah-wilayah lain, operasi meleraikan Raba'ah dan Nahdhah yang meragut ribuan nyawa hingga penangkapan ribuan yang lain. Pencerobohan polis, tentera yang dibantu oleh militia samseng ke atas masjid Qaid Ibrahim, Masjid Fath dan selainnya, pencerobohan di universiti-universiti di seluruh Mesir dan utamanya ialah Universiti Al-Azhar, digubal undang-undang rimba menentang penuntut Al-Azhar dengan hukuman penjara 17 tahun setiap seorang, ke atas 14 orang wanita Iskandariah dipenjara 11 tahun seorang yang tidak pernah berlaku dalam sejarah Mesir, dipecat 710 orang pelajar Al-Azhar dari universiti, penangkapan para ulamak, penutupan stesen-stesen tv agama Islam, menghalang jalan-jalanraya dengan kereta perisai dan kebal, siri serangan ke atas rakyat dengan gas pemedih mata dan peluru hidup.

Sesungguhnya kita masih menantikan Syeikh Al-Azhar kembali kepada kebenaran, dia mengumumkan dirinya bebas dan tiada kaitan lagi dengan pemerintah zalim hari ini yang telah mengubah beberapa hari dan dalam masa beberapa minggu apa yang tidak pernah dilakukan oleh rejim-rejim sebelum ini pada era Abdul Naser, Sadat dan Mubarak 60 tahun, membunuh ribuan dan memenjarakan rakyat berkali-kali ganda. Maka Syeikh Al-Azhar perlu mengadakan pertemuan "Haiah". Kami telah nasihati beliau agar beliau kembali kepada kebenaran-Kembali kepada kebenaran lebih baik dari berada terlalu jauh dalam kebatilan. Kami telah menjawab hujah beliau dengan ilmiah dan kami sebarkan kepada awam, akan tetapi lelaki ini lebih suka duduk bersama-sama "jeneral-jeneral" pejabat beliau dari duduk bersama-sama saudaranya dari kalangan ulamak. Dan demikianlah Allah telah ciptakan manusia ini dengan kecenderungannya.

Saya menyeru kepada mereka yang berjiwa merdeka yang ikhlas dari kalangan ulamak dan anak-anak Al-Azhar: Agar mengumumkan penentangan mereka apa yang berlaku di Mesir hari ini dengan berani, agar mereka meletakkan jawatan dari "Haiah" ini yang telah 'mati' (iaitu gagal berfungsi dengan baik), tinggalkannya kepada Syeikh Al-Azhar dan pengikut-pengikutnya.

Maka saya menjangkakan sejurus peletakan jawatan saya ini akan semakin kuat serangan upahan kepada saya melalui media-media.Saya tidak takut kepada manusia dan hanya takut kepada Allah.
Sesungguhnya saya menantikan detik-detik kejatuhan penzalim-penzalim ini sedikit masa lagi. Dan mereka ini telah jatuh dari pandangan (rahmat) Allah, kemudian jatuh dari pandangan mata rakyat, kemudian akan jatuh lagi dari mata Arab dan orang Islam. Semakin hari bertambah kerosakan dan penyelewengan dalam negara, negara yang baik berubah kepada buruk, menjadikan negara buruk berubah ke arah lebih buruk.

Sesungguhnya 'sunnatullah' tidak akan berubah bertukar ganti iaitu akan dibantu kebenaran atas kebatilan, keadilan atas kezaliman, akan menang rakyat ke atas toghut.
Ya Allah Ya Hayyu Ya Qayyum..kami memohon kepadaMu agar Kau rahmati syuhada' kami di Mesir, di Syria, Iraq, Palestin, Somalia dan seluruh bumi Islam. Ya Allah, Kau sembuhkanlah mereka yang cedera dan sakit. Ya Allah, bebaskan tahanan-tahanan di dalam penjara, angkatkatlah bala dari mereka yang ditimpa bala, satukan kalimah orang-orang beriman, timpakan kepada orang-orang zalim itu azab yang pedih, turunkan kepada mereka kemurkaanMu yang tidak mampu ditolak oleh mereka. Bantulah ummat kami dengan bantuanMu.

Al-Faqir Ilaihi Ta'ala
Yusuf Al-Qaradhawi
29 Muharram 1435/ 2 Disember 2013

Kesimpulannya:

1) Syeikh Qaradhawi berjuang mahukan suara Al-Azhar kembali seperti zaman kegemilangannya satu masa dahulu. Hebat dari sudut jihad penentangan menentang kezaliman.

2) Kekecewaan beliau kerana Haiah Kibar Ulamak yang menjadi badan tertinggi Al-Azhar gagal berfungsi dengan baik.

3) Jawatan Syeikh Al-Azhar sepatutnya dipilih oleh anggota Haiah ini seperti jawatan Mufti yang melantik Dr.Syauqi 'Alam sebagai Mufti baru sepertimana juga rakyat yang berkuasa penuh memilih Presiden mereka. Sepatutnya Dr.Ahmed Toyyib sewajarnya menyerahkan mandat semula kepada Haiah untuk dibuat pelantikan semula kerana beliau ke jawatan itu dengan lantikan oleh Mubarak pada tahun 2010 tetapi ia tidak pernah dilakukan.
See More
............................................

alHatt:
Saya pernah beberapa kali menulis tentang Mesir di Galeri Nurani, salah satu darinya bertajuk "Mesir..Kau Takkan Faham Apa Yang Aku Tak Faham!"

Apa yang berlaku kepada institusi tersohor bagi umat Islam di zaman ini cukup sekadar menambahkan lagi "ketidakfahaman saya" selama ini.

Suka saya memetik kata-kata Dr. Yusuf Al-Qaradhawi dalam kenyataannya di atas;
"Kembali kepada kebenaran lebih baik dari berada terlalu jauh dalam kebatilan!!"

Jika kata-kata ini pun tidak dapat difahami/ tidak mahu difahami, apa lagi nak dikata?
Masih belum terlewat bagi Al-Azhar.
Tiada yang mustahil bagi Mesir!

Mustahil bukan bermakna tiada penyelesaian.
Tetapi kita belum lagi berjumpa jalan penyelesaiannya!!

Moga memperoleh Taufik dan Hidayah dari Allah..

No comments:

Post a Comment