Sunday, January 3, 2010

Galeri Nurani- Setahun Berlalu..


Saya mula mengenali dunia blog sejak pertengahan 2007. Itupun gara-gara ledakan “tsunami politik” dalam negara yang diterajui blogger-blogger politik. Minat untuk mengambil tahu hal ehwal politik tanahair membuatkan saya seronok melayari blog. Namun tak pula terfikir untuk membangunkan blog sendiri.

Hinggalah pada akhir 2008, saya dihubungi seorang teman lama (pernah berjiran semasa menetap di KL suatu masa dulu) yang mengirimkan sms sempena menyambut Awal Muharam 1430H. Kami berbalas sms yang akhirnya membuatkan saya ingin sekali mengetahui perkembangan terbaru beliau. Jalan mudah adalah melalui internet. Mengapa saya kata begitu? Sebenarnya beliau merupakan seorang ilmuwan, juga seorang “selebriti TV” suatu masa dulu; mengendalikan rancangan sendiri selain sering menjadi tetamu dalam rancangan radio dan TV; juga menulis artikel di akhbar-akhbar utama serta majalah hinggalah kehari ini. Boleh kata glamor jugalah orangnya. Hanya internet jalan mudah bagi saya mengetahui perkembangan beliau. Cari punya cari, saya terjumpa blog Tropongskop. Baru saya tahu yang beliau merupakan seorang blogger!

Blog tersebut ternyata membuka minda serta memberi inspirasi kepada saya. Mesej yang disampaikan ringkas dan padat, dengan topik yang pelbagai. Disampaikan dengan santai dan mesra pembaca. Akhirnya saya membuat kesimpulan bahawa menulis blog tidak semestinya perlu membawa hal-hal yang berat, panjang lebar serta terlalu akademik. Apa saja topik atau idea boleh disampaikan dengan cara tersendiri melalui jalan cerita yang ringkas dan padat sekaligus dapat memberi manfaat kepada pembaca. Dengan bahasa mudah, blog merupakan medan berkongsi pandangan. Selepas dari itu, saya rasakan bahawa saya juga perlu menjadi seorang blogger.

Pencerobohan serta kezaliman pengganas Israel keatas Gaza ketika itu telah menguatkan lagi azam saya untuk bergelar blogger. Akhirnya, dengan izin Allah, saya berjaya menerbitkan posting pertama pada 3 Januari 2009 (disini), tiga hari selepas membuat keputusan menyertai Blogger.com.

Alhamdulillah, hari ini genap setahun Galeri Nurani memulakan operasinya. Sejujurnya, saya merasakan bukan mudah sebenarnya untuk mengendalikan blog. Saya yang baru setahun jagung bergelar blogger ini masih lagi dalam proses pembelajaran selain ingin memperbaiki skil penulisan agar dapat memastikan input yang diberikan dapat memberi impak berguna kepada pembaca. Cabaran utama bukanlah topik apa yang ingin diketengahkan tapi bagaimana untuk memulakan ayat pertama!

Akhir sekali, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para pengunjung blog Galeri Nurani.
Mohon maaf jika ada tersilap kata dan bahasa. Sesungguhnya yang baik itu datangnya hanya dari Allah dan yang buruk pastinya dari diri saya sendiri.

No comments:

Post a Comment