Friday, January 22, 2010

Tajuk Berita Utama..

Kadangkala masa yang ada kelihatan berpanjangan. Hingga leka dibazir dengan hal-hal duniawi.
Namun bila kehabisan, dikata masa yang ada hanya sedikit; mana mungkin dapat dibuat itu dan ini.
Walhal tidak tersedar masa itu hanya pinjaman. Bila-bila saja boleh ditamatkan..**peringatan buat diri sendiri..

Tiga minggu pertama 2010 berlalu dengan berbagai cerita. Kebanyakannya layak dijadikan tajuk berita terhangat (hangit!) 2010 dihujung tahun nanti.
1. Isu kalimah Allah agak reda seketika. Bukan nak kata hampir penamatnya, jalan penyelesaian pun kabur lagi. Tambah haru, bila ada segelintir pemimpin islam yang sibuk mempertahankan hak bukan islam daripada mempertahankan kesucian agama sendiri. Dan lebih “mengagumkan” bilamana isu sensitif bagi umat Islam ini tiba-tiba “bertukar tangan” kehangatannya kepada isu bakar gereja! Isu utama seakan dilupakan, isu yang satu lagi tu pula yang hangat dibicarakan! Malah sesama Islam pula bercakaran! Senang kata, orang lain yang buat tahi, kita pula yang kena cuci! Jangan marah..

2. Sedang kita di Malaysia sibuk dengan isu kalimah Allah, Haiti pula diuji dengan bencana gempa 7.0 skala Richter. Dilaporkan ratusan ribu manusia terkorban. Bandar lenyap dengan hanya satu gegaran. Bayangkan betapa hebatnya kuasa Tuhan (Allah Yang Maha Esa). Sekelip mata, tanpa sebarang amaran, tanpa halangan..

3. Pederitaan Palestin yang sepanjang masa dijadikan sasaran pengganas Israel juga kurang mendapat liputan dunia. Sudahlah diserang, dihalang pula dari mendapat bantuan. Lebih mengecewakan apabila Mesir yang sepatutnya membantu Palestin telah bersubahat menyulitkan lagi keadaan. Pintu keluar masuk ditutup, tembok keluli dibina; kononnya bagi menutup ruang terowong bawah tanah menembusi sempadan Mesir, sekaligus menghalang penyeludupan senjata. Mujur ada usaha murni pihak tertentu umpamanya VIVA Palestina yang sanggup menggadai nyawa berkonvoi menjayakan misi bantuan kemanusiaan ke Gaza tempohari. Terima kasih juga buat TV3 yang menyiarkan siri laporan khas (Tahrir As-Syams) berkenaan penderitaan Palestin di Buletin Utama beberapa minggu ini. Tidak dilupa kepada Tun Dr. Mahathir yang secara konsisten mencari publisiti bagi menempatkan isu Palestin dimata dunia.

4. Gempar seketika berita pembunuhan ngeri empat sekeluarga yang dilakukan salah seorang ahli keluarganya sendiri! Tertuduh juga dilaporkan membawa kepala arwah bapanya yang dipenggal dari tempat kejadian hingga ke Shah Alam tanpa dapat dikesan! Tak dapat dibayangkan. Apakan daya, manusia memang suka membuat kejutan. Al-Fatihah buat yang terkorban dan salam takziah buat keluarga mangsa.

5. Kecuaian membawa padah. Tragedi perahu naga karam dipukul ombak di Pulau Pinang juga pantas mengisi ranking teratas carta berita terhangat di Malaysia. Aktiviti sihat yang sememangnya digalakkan bertukar berita buruk terutama buat keluarga mangsa. Bila berlaku insiden sebegini, seperti biasa banyak komen serta cadangan-cadangan dan tak kurang juga adegan menuding jari. Apapun, dimanakah “suara-suara” pihak yang sebelum ini sibuk dan menggila meminta ditubuhkan suruhanjaya siasatan lah, inkues lah dan macam-macam bentuk siasatan untuk kejadian lain sebelum ini? Kenapa dalam kes ini mereka diam “menikus” sahaja? Mungkin mereka baru tahu yang dunia ini berputar sebenarnya..

6. Seluruh negara bahkan tak keterlaluan kalau dikatakan satu dunia menunggu-nunggu perbicaraan kes liwat bekas TPM Anwar Ibrahim pada 25 Jan 2010 ini. Namun kes ini ditangguhkan sekali lagi atas permohonan tertuduh yang memohon keadilan bagi penyediaan pembelaan untuknya. Saya tak faham selok belok dan prosedur mahkamah bagi kes-kes jenayah seperti ini. Tapi bila ditangguhkan berkali-kali dengan pelbagai alasan + sempat lagi buat roadshow satu negara bagi membela diri sendiri seolah menidakkan keadilan buat si pengadu, Saiful Bukhari yang juga sehingga hari ini masih boleh bersabar menunggu hari perbicaraan kesnya. Saya hanya mampu berdoa agar kes ini dapat diselesaikan segera dan pihak mahkamah dapat menjalankan perbicaraan serta membuat keputusan yang adil buat kedua-dua mereka. Bukan apa, kes peribadi sebegini bila diheret bersama satu negara telah menyebabkan kita hidup dalam ketidaktentuan dan semestinya menjejaskan keharmonian apatahlagi diambil kesempatan oleh pihak-pihak yang berkepentingan! Jangan lupa, Allah yang Maha Adil sentiasa berada dipihak yang benar.. Wassalam.

No comments:

Post a Comment