Monday, May 25, 2009

Terima Kasih!!



Hari ini genap 6 tahun perkahwinan saya dan isteri. 11 bulan sebelum detik bersejarah itu, kami bertemu buat kali pertama melalui pertemuan yang diaturkan seorang rakan sekerja saya dan isterinya (kini biras dan kakak ipar saya!). Saya tak pernah mengetahui dan mengenali isteri saya mahupun keluarganya sebelum pertemuan itu.

Nak dijadikan cerita, selepas beberapa kali dipujuk, akhirnya saya bersetuju untuk ditemukan dengan calon yang dikatakan sesuai untuk saya dengan tujuan mengenali satu sama lain. Katanya kalau serasi boleh pergi lebih jauh lagi, kalau tidak, kira kawan saja lah!

Saya telah dijemput untuk datang ke rumah, berkenalan dengannya dan ahli keluarganya. Tuhan saja yang tahu perasaan saya ketika itu; bertemu buat kali pertama bukan setakat dengan tuan punya badan, malah perlu berhadapan keluarganya sekali! Silap hari bulan, boleh jadi juga pertemuan terakhir antara kami semua! Hehe..

Syukur Alhamdulillah, saya berjaya melepasi ujian awal dengan jayanya walaupun saya tak tahu setakat mana pandangan dirinya dan ahli keluarganya terhadap saya selepas pertemuan pertama itu. Sekurang-kurangnya saya tak buat perkara yang pelik dan bukan-bukan selepas melihat wajahnya buat pertama kali begitu juga keramahan diri dan ahli keluarganya. Semuanya dalam kawalan dan bukan lakonan. Yang paling utama adalah diri saya. Walaupun tak dapat tidur pada malam itu, saya sangat gembira dapat berkenalan dengan mereka semua!!

Sejak dari itu, kami mula mengorak langkah mengenali hati budi masing-masing. Kami jarang berjumpa memandangkan isteri saya ketika itu bekerja di Mersing manakala saya di JB. Kami banyak beinteraksi melalui telefon dan SMS. Dalam tempoh 4 bulan perkenalan, kami memutuskan untuk mengikat tali pertunangan. Kami sepakat; kalau setakat nak berkawan, tak perlu berhubung setiap hari, jika tidak, itu namanya suka sama suka, maka batasan kena pelihara, hati keluarga kena jaga. Kalau betul serius, teruskan saja, jangan buang masa!

Tempoh bertunang tidak ditetapkan, namun kami menjangkakan sekurang-kurangnya setahun berdasarkan situasi semasa ketika itu.
Kami terus “berkenalan”. Sehingga satu peringkat, kami merasakan tiada apa lagi yang perlu dihuraikan, selebihnya perlu dilalui dan diterjemahkan melalui alam perkahwinan.
Lebih lama bertunang lebih banyak ruang untuk melakukan kesilapan selain boleh mendatangkan “fitnah”. Batas pergaulan wajib dijaga.
Kami sering mengingatkan diri masing-masing betapa pergaulan sebelum bernikah ini sesungguhnya akan memberi kesan kepada zuriat kami begitu juga dengan keharmonian hidup bekeluarga kelak. Jika dijaga dengan baik, InsyaAllah, baiklah semuanya. Begitu juga sebaliknya. Akhirnya kami membuat keputusan untuk bernikah lebih awal dari yang dijangkakan iaitu selepas hanya 7 bulan bertunang.

Semuanya menjadi kenangan manis buat kami berdua. Selepas 6 tahun bersama, kami dikurniakan dua orang Puteri yang menjadi penyeri hidup kami. Terima kasih buat Isteri dan anak-anak untuk 6 tahun yang cukup bermakna ini. Tak lupa juga buat Kakak Ipar dan Suami. Terima kasih banyak-banyak!!

No comments:

Post a Comment