Friday, October 25, 2013

Brunei vs Malaysia

Assalamualaikum,

Bersempena hari Jumaat yang mulia ini, Galeri Nurani membawakan khabar menarik dari Brunei..

Brunei laksana hukum Hudud

Sultan Hassanal Bolkiah merasmikan Majlis Ilmu 2013 di Bandar Seri Begawan, semalam. - AFP

BANDAR SERI BEGAWAN 22 Okt. - Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, hari ini mengumumkan penguatkuasaan hukum Hudud di negara ini, termasuk melaksanakan hukuman potong tangan ke atas pencuri dan rejam terhadap kesalahan zina.
Jelasnya, undang-undang yang dikenali sebagai Kod Penal Syariah itu, diwartakan, hari ini selepas beberapa tahun diteliti dan dikaji.
Sebelum ini, Sultan Hassanal dalam ucapannya pada satu majlis tertutup di sini pada 10 Oktober lalu berkata, pelaksanaan undang-undang Islam berlandaskan Syariah itu bakal dikuatkuasakan secara berperingkat-peringkat dalam tempoh enam bulan.
Peraturan lain yang bakal dilaksanakan termasuk hukuman sebat ke atas pesalah yang melakukan pengguguran dan minum arak.
"Dengan rahmat Allah, mudah- mudahan penguatkuasaan undang-undang ini akan memenuhi tanggungjawab kita kepada Allah swt.
"Saya berharap undang-undang ini boleh mengukuhkan pengaruh Islam di Brunei yang majoritinya didiami penduduk Islam," katanya.
Negara yang kaya dengan sumber minyak itu dihuni kira-kira 400,000 penduduk dan 70 peratus daripada mereka merupakan penganut Islam dan selebihnya Kristian, Buddha dan agama lain.
Brunei sebelum ini menguatkuasakan gabungan dua sistem peraturan iaitu mahkamah berdasarkan undang-undang Britain untuk kes sivil dan undang-undang Syariah bagi kes peribadi dan isu keluarga.
Kerajaan Brunei turut melarang penjualan dan pengambilan alkohol serta menyekat aktiviti keagamaan dan perayaan agama lain daripada diadakan secara terbuka. - AGENSI

alHatt:
Alhamdulillah, bertambah lagi Negara Islam yang berusaha menegakkan hukum Allah.
Doa semoga Negara kita yang tercinta ini dapat menjadikan Brunei sebagai model dalam pelaksanaan Hukum Hudud.

Mungkin ada yang mengatakan keadaan di Brunei banyak bezanya dengan di Malaysia terutama dari segi populasi, polarisasi kaum, ekonomi, politik dan macam-macam lagi.
Yang pasti, samada BN atau PR, kedua-duanya tidak menunjukkan komitmen yang sebenar untuk laksanakan Hudud ini. Sila rujuk ketetapan parti masing-masing ya..
Namun pokok pangkalnya umat Islam mestilah bersatu. Bukan berpecah dua atau tiga dan banyak lagi seperti sekarang ni.
Barangkali itulah sebenarnya yang membezakan antara Malaysia dan Brunei. 

Bersatulah wahai  Saudara-saudaraku, tak kiralah apa jua fahaman politikmu.

InsyaAllah, semua kesulitan akan dipermudahkan..

Wassalam.

No comments:

Post a Comment