Wednesday, October 23, 2013

M.O.N.A.














Jenazah diusung keperkuburan selepas solat.
Pemandangan biasa di MasjidilHaram.
Gambar Umrah- Jun 2012
.............................................

Kematian itu pasti.
Bukan hanya untuk si mati.
Tapi untuk kita yang masih hidup.
Kita akan pergi jua, akhirnya..

Jarang kita bertanya "Bila, dimana dan bagaimana.. Apakah destinasi terakhir ku?"
Dalam kesedihan dan kesayuan, beruntung benar orang yang berpeluang menziarahi jenazah disemadikan.
Ketika itulah kita dapat merasai apa makna kematian.

Alhamdulillah, Allah mengizinkan saya dan keluarga dan ramai lagi hambaNya untuk menziarahi jenazah sepupu isteri saya yang telah diuji dengan penyakit kronik; kanser usus (Tahap 4).
Mengimbau keadaannya sejak setahun yang lalu, tiada siapapun meletakkan harapan yang tinggi untuk melihat Intan Ralina Bt. Mohamed Ali (panggilan manja: Mona) kembali pulih seperti sediakala.
Akhirnya dia pergi meninggalkan dunia dan isinya pada Isnin, 21 Oktober 2013; genap 3 bulan selepas pemergian ayahnya ke Rahmatullah.
Usianya mencecah 27 tahun pada 29 Oktober ini.
Semoga Allah merahmati dan memberkati Roh beliau.

Sehingga dihujung nyawanya, dalam keadaan tidak bermaya, Mona masih sempat memohon maaf kepada yang hadir menziarahi beliau ketika sakit; "Maaf kerana menyusahkan semua orang.."
Kini suara itu tidak kedengaran lagi.
Yang tinggal adalah tanda kekuasaanNya.

Firman Allah dalam Surah Al-Ghaafir:

67: Dia lah yang menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari air benih, kemudian dari sebuku darah beku; kemudian Ia mengeluarkan kamu berupa anak kecil; kemudian kamu dipelihara sampai keperingkat dewasa; kemudian kamu sampai menjadi tua.
Dan ada diantara kamu yang dimatikan sebelum itu. Supaya kamu sampai ke masa yang ditentukan; dan supaya kamu memahami kekuasaan Tuhan.

68: Dia lah yang menghidupkan dan mematikan; oleh itu apabila Ia menetapkan sesuatu perkara, maka Ia hanya berfirman: Jadilah engkau! lalu menjadilah ia.  

Mungkin sudah terlewat untuk di "pos" di blog ini, tapi inilah rasa hati yang sempat dinukilkan sejurus menziarahi Allahyarhamah sehari sebelum beliau meninggal dunia.

M.O.N.A.
Menghadapi Sakaratulmaut
Bukanlah pilihannya
Tapi ketentuan
Dia kini sedang bertarung
Merelakan dalam keterpaksaan

Tiada siapapun sedar
Suasana sunyi dalam jasad terbujur itu sebenarnya medan pertarungan
Antara dirinya dan Izrail
Tiada pilihan lain
Kematian adalah penamatnya
Hanya masa akan menentukan

Di alam nyata
Mereka semua kesedihan
Sambil mengalunkan ayat-ayat suci
Ada yang cuba memberi kata-kata semangat
Tak kira dia mengerti atau sebaliknya
Juga membantu menyuap makan, memberi ubat
Sedaya upaya diri sendiri dan juga dirinya

Ramai yang berbicara sendiri
Berkata dengan hati
Memohon ampun jika ada berbuat dosa
Yang tersembunyi dan yang nyata
Dengan harapan ia didengari dan diampunkan
Mana tahu ini pertemuan terakhir..

Pertarungan itu
Semakin memuncak
Bila tiba saatnya
Tidak kurang dan tidak lebih
Nyawa akan dicabut dari jasad
Yang sedia terbujur dalam pembaringan
Bisikanlah;
Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah..
Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah..

Semoga dipermudahkan dan memperoleh rahmat..

alHatt
Jln. Sahabat,
Kg Melayu.
20 Okt 2013

2 comments: