Saturday, October 19, 2013

Taman Syurga
















Taman Syurga di Masjidil Haram.
Walaupun bahasanya tak kufahami, namun auranya amat membara.

Gambar Umrah- Jun 2012.
............................................

Alhamdulillah.
Selesai sudah solat jemaah Maghrib,
Masjid Al-Falah, Serom 3.
Biasanya kaki ini segera melangkah keluar.
Ada saja alasan urusan lain walhal sudah tahu setiap hari ada kuliah.
Sedar akan ceteknya ilmu agama namun "nama" nak mencarinya jauh sekali.
Alasan lagi; dah selalu dengar di radio dan kaca TV..

Teringat hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Apabila kamu melalui (bertemu) dengan taman-taman syurga (di atas muka bumi ini), maka hendaklah kamu berhenti untuk menikmati (hasilnya). Lalu Sahabat pun bertanya: Apakah dia taman-taman Syurga tersebut? Rasulullah berkata: Majlis-majlis ilmu". (riwayat at-Tirmidzi).

Alhamdulillah, taufik dan hidayah yang dipohon barangkali Allah tunaikan dengan niat untuk beriktikaf selepas Maghrib.
Dan ganjarannya amat lumayan: TAMAN SYURGA.

Seperti biasa, hampir semua hadirin terdiri dari warga emas.
Yang menariknya bangun seorang tua menggagahkan diri.
Lewat 70-an agaknya.
Berkopiah, berbaju melayu, berkain pelekat; yang sebelumnya hanya mampu duduk untuk menunaikan solat.
Melangkah perlahan, setapak demi setapak menuju meja penceramah.
MasyaAllah, Ustaz rupanya.
Malam ni giliran beliau menyampaikan Kuliah Maghrib.
Topiknya bukan calang-calang; Akidah.

Berbekalkan sebuah buku nota, dimulakan Majlis Ilmu itu dengan Ummul Kitab.
Mengucap syukur kehadrat Ilahi, Selawat dan Salam keatas junjungan mulia.
Jika tak kerana melihatnya didepan mata, pasti kusangka Ustaz ini masih muda.
Lantunan suaranya tak menggambarkan fizikal sebenar beliau.
Allahuakbar..

Ustaz memulakan bicara:
"Kalaulah kita benar-benar beriman kepada Allah, maka kita tidak akan terjerumus kelembah kebinasaan. Iaitu dengan membuat maksiat dan dosa dengan melanggar pantang larang Allah."

"Pelajari ilmu Tauhid dalam menuju kesempurnaan Iman.
Percaya akan kewujudan Allah dengan sebenar-benarnya.
Bukan sekadar merasa diri hamba ketika berada di Masjid atau ketika mengerjakan Haji mahupun Umrah. Tetapi dimana jua kita berada, setiap masa."

"Niat mesti jelas dan betul.
Kerana itu adalah akar kepada amal yang membawa kepada Iman dan Taqwa.
Jika niat disertakan dengan riak dan takbur, maka kau telah mengkhianati dirimu sendiri.
Kerana Allah SWT Maha Mengetahui segala isi hatimu dan akan dibalas setimpal."

"Yakinlah adanya Allah dan juga kekuasaaNya!
Berusahalah dan jangan berserah diri sahaja.
Jika kau jahil, belajarlah. Jika kau kafir, carilah cahaya keimanan.
Carilah jalan memahami hakikat Hari Pembalasan.
Bagaimana menuju ke Syurga dan kenapa dicampakkan ke Neraka.
Yakinlah adanya Hari Akhirat.
Hidup ini mencari bekalan reda menuju akhirat."

"Umat kini tipis imannya. Tidak kukuh.
Masih tidak yakin bahawa Allah Maha Melihat, Maha Mengetahui.
Diakui lafaz dua kalimah, namun hatinya masih diulit dosa dan maksiat.
Orang beriman bukan begitu sifatnya.
Bila diuji, hanya Allah dihati mereka.
Tidak perlu sumpah seranah, mengadu domba.
Senantiasa mencari jalan perdamaian antara dirinya dan Tuhan.
Segera memohon ampun dan reda Allah."

Ustaz menutup bicara:
"Ayuh tanya diri sendiri; Di mana kita disisi Allah? Berimankah kita? Iman yang bagaimana?"

MasyaAllah, hebatnya ilmu Allah yang dimiliki seorang tua yang kusangka biasa-biasa sahaja.
Semoga Allah merahmati dan memberkati beliau.

alHatt
18 Okt 2013

* Banyak hadis dan kisah sahabat yang disampaikan Ustaz. Coretan di atas hanyalah sebahagian inti pati penting kuliah beliau.

No comments:

Post a Comment