Monday, November 18, 2013

Taman Syurga- Kuliah Maghrib~16 Nov 2013

Nota Kuliah Maghrib~16 Nov 2013.
Masjid Tmn. Sri Pulai Perdana, JB.

Tafsir Al-Quran: Surah Ali Imran, Ayat 15.

1- Sebagaimana kita suka orang lain membaca buku, rencana, blog atau apa saja hasil dari penulisan kita, maka lebih lagi Allah menyukai akan hambaNya membaca dan memahami isi kandungan Al-Quran.

2- Maksud ayat 15, Surah Ali Imran:
Katakanlah: "Inginkah aku kabarkan kepadamu apa yang lebih baik dari yang demikian itu?" Untuk orang-orang yang bertakwa (kepada Allah), pada sisi Tuhan mereka ada syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; mereka kekal di dalamnya. Dan (mereka dikurnia) isteri-isteri yang disucikan serta keridaan Allah: Dan Allah Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya.

3- Takwa bermaksud mengerjakan segala perintah Allah SWT dan meninggalkan segala laranganNya.

4- Pada zaman Arab Jahiliyah, mereka tidak beriman kepada Allah SWT kerana mereka berpendapat bahawa merekalah yang lebih baik dari orang Islam (yang kebanyakannya terdiri dari golongan hamba dan fakir miskin). Dengan itu mereka menyangka Allah lebih menyayangi mereka berdasarkan status kedudukan mereka pada waktu itu.

5- Masyarakat Arab Jahiliyah percaya bahawa Allah yang menciptakan mereka dan alam semesta.
Namun cara mereka beriman ialah dengan mensyirikkan Allah.

6- Jika kita lihat dalam senario masa kini, ramai umat Islam sendiri merasakan bahawa Allah SWT menyayangi mereka dengan segala kurniaan dan kekayaan berbanding dengan apa yang dilalui oleh golongan miskin atau mereka yang ditimpa kesusahan.
Hakikatnya Allah hendak menguji mereka dengan ujian kesenangan hingga tiba ke satu tempoh tertentu agar mereka terus leka dan lalai.

7- Umat Islam kini dilanda krisis identiti bilamana mengaku sebagai umat islam tetapi sukar untuk mentaati perintah Allah. Contoh mudah ialah seruan mengerjakan Solat.
Tidak ramai yang mengerjakan solat secara berjemaah di Masjid walhal ganjarannya sangat lumayan iaitu memperoleh 27 kali ganda pahala berbanding solat bersendirian.

Analogi mudah: Anda mengerjakan solat isyak dirumah seorang diri sebanyak 27 kali (bersamaan 108 rakaat). Mampukah anda mengerjakannya? Berapa tempoh masa yang diperlukan untuk melengkapkan solat sebanyak 27 kali itu?
Maha Pengasihnya Allah itu diberikan kemudahan tetapi sedikit sahaja yang merebutnya.

8- Kenapa Allah tak menghancurkan kezaliman dan penindasan yang berlaku diseluruh dunia?
Ini kerana Allah ada perancangan tersendiri dengan membiarkan golongan zalim itu dalam kesesatan. Dengan maksud Allah mengizinkan sesuatu itu berlaku bukan dengan keredhaan Allah.
Inilah yang dinamakan Istidraj.

Wallahu a'lam.
alHatt

No comments:

Post a Comment