Monday, November 18, 2013

Taman Syurga- Kuliah Subuh (16 Nov 2013)















Nota Kuliah Subuh~ 16 Nov 2013.
Masjid Tmn. Sri Pulai Perdana, JB.

Topik Kuliah Subuh masih berkisar tentang sambutan tahun baru 1435H.

1- Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menjadikan Maal Hijrah dan bulan-bulan Islam sentiasa diceritakan dan diingatkan terutama kepada ahli keluarga. Mudah-mudahan kefahaman terhadap bulan-bulan Islam itu lebih menonjol berbanding bulan-bulan masehi.

2- Maal Hijrah bermaksud menghayati peristiwa hijrah Baginda Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah.
Zaman Jahiliyah bukan bermaksud orang Arab ketika itu jahil dalam setiap urusan kehidupan.
Mereka sebenarnya maju dalam segala hal. Jahil disini bermaksud kekufuran mereka terhadap Allah SWT.

3- Penetapan tahun Islam diputuskan pada zaman pemerintahan Khalifah Sayyidina Umar Al-Khattab.
Ini bagi memudahkan umat Islam mengetahui dan menjejak tahun berlakunya peristiwa penting dalam sejarah Islam.
Memandangkan Hijrah Rasulullah SAW itu satu titik tolak kebangkitan Islam, maka ianya telah dijadikan permulaan bagi tahun dalam kalender Islam.

4- Allah mengutus Rasulullah SAW, untuk mengajak manusia kembali kepada fitrah iaitu untuk menyembah Allah. Arab Quraish percaya akan kewujudan Allah tetapi mereka masih tetap menyembah berhala.
Selama 13 tahun Rasulullah SAW bersama pengikutnya dihalang untuk berdakwah dan hidup dalam keadaan terseksa. Kemuncaknya komplot untuk membunuh Rasulullah SAW yang akhirnya diperintahkan Allah untuk berhijrah ke Madinah.

5- Mengambil iktibar penghijrahan Rasulullah SAW,  kita pada hari ini melalui cabaran kehidupan yang berbeza. Umat kini perlu meningkatkan kefahaman tentang Islam melalui sumbernya iaitu Al-Quran dan Hadis.

6- Tanggungjawab umat Islam terhadap Al-Quran ada 5:
Pertama: Beriman bahawa Al-Quran adalah wahyu yang benar.
Kedua: Baca Al-Quran dan jadikan ia budaya dalam diri sendiri dan keluarga.
Ketiga: Berusaha untuk fahamkan maksud dan tafsirannya.
Keempat: Beramal dengannya.
Kelima: Menyampaikan/sebarkan isi kandungan Al-Quran.

7- Tumbuhnya amalan ajaran-ajaran sesat adalah disebabkan pengamalan agama yang tidak bersumberkan Al-Quran dan Hadis. Adalah menjadi tanggungjawab setiap Muslim untuk menyelidik dan mengkaji sesuatu perkara baru yang ditimbulkan kumpulan-kumpulan tertentu agar tidak terjebak dalam kumpulan ajaran sesat termasuklah Syiah.

8- Amal Makruf Nahi Mungkar- hendaklah dimulakan dari dalam rumah iaitu dalam lingkungan keluarga sendiri. Contohnya ajakan untuk bersolat, menutup aurat yang betul dan juga pembentukan akhlak mulia.

9- Jasa dan pengorbanan Rasulullah SAW dan para Sahabat tidak boleh dipersiakan.
Kita menikmati nikmat beragama Islam atas pengorbanan mereka. Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab kita untuk sampai dan sebarkan Islam.
Mulakan Hijrah kita dengan menyampaikan dan menyebarkan seruan Allah.

Wallahu a'lam.
alHatt.

No comments:

Post a Comment